- Advertisement -spot_img
4,846
published news
and counting

Kerajaan Sarawak dan IIM Jalin Kerjasama Dalam Pembudayaan Integriti

Must read

Satu Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan usaha menerapkan pembudayaan nilai integriti dalam kalangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) di Sarawak telah dimeterai di antara Kerajaan Sarawak dengan Institut Integriti Malaysia (IIM).

Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), Jabatan Premier Sarawak, Tuan Haji Semawi bin Haji Mohamad mewakili Kerajaan Sarawak manakala Ketua Pegawai Eksekutif IIM, YBhg Datuk Nor Yahati binti Awang pula mewakili IIM untuk menandatangani MoU tersebut yang telah berlangsung di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, Kuching pada 8 September lepas.

Majlis turut disaksikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), YBhg Datu Muhammad Abdullah bin Zaidel.

Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), Jabatan Premier Sarawak, Tuan Haji Semawi bin Haji Mohamad mewakili Kerajaan Sarawak
Ketua Pegawai Eksekutif IIM, YBhg Datuk Nor Yahati binti Awang pula mewakili IIM

Mengulas mengenai pertukaran MoU tersebut, Datu Muhammad Abdullah menjelaskan, garis panduan yang melibatkan perihal integriti bagi petugas barisan hadapan yang sering berdepan dengan masyarakat seperti PBT dan KMKK perlu diperkenalkan.

Menurut beliau, kepimpinan akar umbi lazimnya terdiri daripada golongan warga emas yang mempunyai banyak pengalaman hidup dan merupakan penghubung di antara rakyat dengan pihak kerajaan.

Oleh yang demikian, penting untuk mereka mengetengahkan prinsip integriti yang bukan sahaja berhubung kait dengan rasuah sahaja, jelas beliau.

Beliau juga menyarankan supaya pihak penguatkuasaan PBT serta ketua masyarakat dan ketua kaum perlu didedahkan dengan nilai integriti seperti menghadiri kursus berkaitan integriti.

MoU berkenaan ditandatangani dengan tujuan untuk menjalinkan kerjasama dalam usaha advokasi, kesedaran, latihan dan penyelidikan dalam penerapan dan pembudayaan nilai integriti, tadbir urus dan anti rasuah di Sarawak.

Dalam hal berkaitan integriti, UNIONS dan IIM mempunyai peranan yang hampir sama. UNIONS ditubuhkan dengan misi untuk meneraju pembudayaan integriti dalam kalangan semua komuniti di Sarawak selain mempromosikan kesaksamaan, akauntabiliti dan ketelusan dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak.

Demikian juga halnya dengan IIM yang berperanan melalui tiga (3) fungsi teras utama merangkumi aspek Pendidikan, Advokasi dan Latihan; Penyelidikan dan Penerbitan; serta Kerjasama Strategik dengan pemegang taruh dari pelbagai bidang.

IIM juga diberikan peranan untuk membantu mengukuhkan kapasiti dan kompetensi integriti dan tata kelola sektor awam dan swasta bagi membantu negara dalam merealisasikan objektif untuk menjadi sebuah negara yang dikenali kerana integriti, dan bukannya rasuah.

Perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan IIM termasuklah khidmat perunding, instrumen penilaian dan khidmat latihan kepada agensi-agensi kerajaan, organisasi swasta termasuk pengusaha kecil dan sederhana melalui Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS), Pelan Pembangunan Anti-Rasuah (OACP), Penilaian Profil Individu (IIP), Instrumen Penilaian Integriti (IAT), Pembangunan Integriti Komuniti (CIB) dan Program Latihan Etika dan Integriti.

Majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di antara UNIONS diwakili Pengarah, Tuan Haji Semawi bin Haji Mohamad (kiri) dan IIM diwakili Ketua Pegawai Eksekutif IIM, YBhg Datuk Nor Yahati binti Awang. Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), YBhg Datu Muhammad Abdullah bin Zaidel (tengah) hadir menyaksikan upacara tersebut.
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article