- Advertisement -spot_img
Thursday, 29 February 2024 8:47pm

Pembangunan Mampan Jaga Alam dan Pelihara Sumber Asli

Must read

Kemerosotan sumber alam semula jadi kesan daripada aktiviti ekonomi dan pembangunan fizikal sejak bermulanya revolusi perindustrian telah menyedarkan dunia betapa pentingnya pembangunan mampan bagi memelihara hasil bumi agar dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

Pembangunan mampan menekankan aspek penjagaan alam sekitar dan pemeliharaan sumber asli dan pada masa yang sama mengelakkan kesan buruk terhadap alam sekitar, kepelbagaian bio dan perubahan iklim.

Hari ini, dunia giat memperkenalkan model ekonomi hijau dan ekonomi biru sebagai solusi kepada masalah-masalah tersebut.

Kedua-dua model ekonomi ini menitikberatkan aspek pembangunan mampan, iaitu kemampanan ataupun kelestarian di daratan dalam ekonomi hijau dan kelestarian lautan dalam ekonomi biru.

Pendapat daripada pakar-pakar ekonomi meyakinkan bahawa ekonomi hijau dapat mengurangkan pencemaran karbon dan memperlahankan perubahan iklim.

Ekonomi hijau ditakrifkan sebagai rendah karbon, cekap dan bersifat inklusif dari segi sosial. Pertumbuhan pekerjaan dan pendapatan dalam ekonomi hijau didorong oleh pelaburan awam dan swasta ke dalam aktiviti ekonomi, infrastruktur dan aset yang membolehkan pengurangan pelepasan dan pencemaran karbon, kecekapan tenaga dan sumber yang dipertingkatkan termasuklah pencegahan kehilangan kepelbagaian bio dan perkhidmatan dalam ekosistem.

Ekonomi biru adalah istilah yang digunakan bagi menggambarkan aktiviti ekonomi yang berkaitan dengan laut.

Bank Dunia mentafsirkan ekonomi biru sebagai penggunaan lestari terhadap sumber laut untuk memberi manfaat ekonomi, sumber pendapatan dan kesihatan ekosistem laut.

Aktiviti-aktiviti yang mewakili ekonomi biru merangkumi industri perkapalan maritim, perikanan dan akuakultur, pelancongan pantai, tenaga boleh diperbaharui, penyahgaraman air, kabel dasar laut, industri ekstraktif dasar laut termasuk perlombongan laut dalam, sumber genetik marin dan bioteknologi.

Ekonomi biru dianggarkan bernilai lebih daripada AS$1.5 trilion setahun di seluruh dunia dengan menyediakan lebih 30 juta pekerjaan dan membekalkan sumber protein yang penting kepada lebih tiga (3) bilion orang.

Pakar ekonomi menjangkakan saiz ekonomi biru akan berganda kepada AS$3 trilion menjelang tahun 2030 berdasarkan pada minat yang diperbaharui dalam ekonomi tersebut.

Peningkatan pelaburan oleh kerajaan dan syarikat swasta dalam penyelesaian berasaskan alam semula jadi kepada perubahan iklim yang disediakan oleh lautan juga dijangka berlaku.

Sarawak adalah antara wilayah yang kini mengutamakan pembangunan mampan dengan memberi tumpuan kepada aktiviti ekonomi hijau dan ekonomi biru selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menggariskan pelbagai inisiatif bagi mencapai status maju menjelang 2030.

Usaha Pembangunan mampan Sarawak juga selari dengan inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg sering mengulangi komitmen Sarawak untuk menerajui ekonomi hijau di rantau ini.

Ketika merasmikan majlis penutupan Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2023: Wilayah Sarawak pada awal Oktober lepas, beliau memaklumkan bahawa Sarawak sedang meneroka beberapa kaedah untuk menyahkarbon sistem pengangkutan dan peralihan selanjutnya ke arah ekonomi rendah karbon.

Menurut beliau, Sarawak telah ditauliahkan Stesen Minyak dan Loji Pengeluaran Hidrogen pertama di rantau ini pada 2019 serta bekerjasama dengan Jepun dan syarikat multinasional Korea Selatan dalam membangunkan kilang pengeluaran hidrogen mega di Bintulu.

Dari segi pengangkutan, Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang menggunakan sistem Transit Aliran Autonomi (ART) disepadukan dengan penyelesaian digital juga menggunakan sel bahan api hidrogen.

Inisiatif pembangunan sistem pengangkutan awam bersepadu yang moden dan mesra alam tersebut dijangka mampu mengurangkan pelepasan karbon di bandar raya Kuching pada kadar 15 peratus menjelang tahun 2030.

Selain itu, Sarawak juga telah meneroka penggunaan mikroalga bagi menghasilkan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) yang penting dalam usaha industri penerbangan mencapai pelepasan karbon sifar menjelang tahun 2050.

Inisiatif penggunaan bahan api daripada mikroalga yang menghasilkan SAF untuk kapal terbang adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Sarawak mengurangkan pelepasan karbon daripada industri penerbangan

Jelas beliau, Sarawak kini sedang mengusahakan penanaman 1,000 ekar mikroalga di Bintulu yang berpotensi menghasilkan 500,000 tan minyak alga mentah setahun.

Jumlah tersebut bersamaan dengan 1,000 tong sehari dengan anggaran 37 peratus kadar pengekstrakan minyak alga mentah daripada biojisim alga.

Pada masa yang sama, Sarawak sedang mengusahakan simpanan karbon dengan anggaran kapasiti berjumlah 30 trilion meter padu di dasar laut yang juga menyumbang kepada matlamat pelepasan karbon sifar menjelang 2050.

Melalui inisiatif tersebut, Projek Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon Luar Pesisir (CCS) di Lapangan Pembangunan Gas PETRONAS Kasawari di Bintulu bakal menjadi projek CCS luar pesisir terbesar di dunia berdasarkan pada isi padu karbon dioksida (CO2) yang diserap dengan kemampuan untuk memerangkap sehingga 3.3 juta ton CO2 setahun.

Lapangan pembangunan minyak dan gas PETRONAS Kasawari, Bintulu bakal memiliki CCS luar pesisir terbesar di dunia

Projek tersebut yang pertama seumpamanya di Malaysia dijangka akan memulakan operasi pada akhir 2025 dan akan menjadi sebahagian daripada keseluruhan projek pembangunan gas Kasawari.

Dalam meneroka ekonomi biru, Sarawak mengambil langkah awal pada 2018 dengan menjalankan projek penempatan 16,800 bebola tukun tiruan ke lokasi-lokasi strategik di sepanjang pesisir Pantai Sarawak dari Tanjung Datu hingga ke Lawas sejauh 746 kilometer.

Projek Bebola Tukun Tiruan Sarawak kini memasuki fasa kedua pelaksanaan yang dijadualkan berakhir pada 2027

Sebanyak RM70 juta diperuntukkan untuk projek tersebut manakala fasa kedua projek pula telah pun dijalankan pada Ogos 2023 apabila sejumlah RM30 juta diluluskan untuk menempatkan bebola tukun tiruan di kawasan Kuala Rajang.

Projek yang dikendalikan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dengan kerjasama syarikat swasta akan dijalankan sehingga 2027.

Inisiatif di bawah ekonomi biru berkenaan dijangka dapat memberi perlindungan dan memelihara pembiakan pelbagai biologi marin di perairan Sarawak serta memberi faedah kepada komuniti nelayan di kawasan terlibat.

Penerokaan dalam ekonomi hijau dan ekonomi biru adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Sarawak untuk menggandakan saiz ekonomi negeri kepada RM282 bilion menjelang 2030.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article