- Advertisement -spot_img
Thursday, 29 February 2024 9:08pm

Sarawak Di Landasan Tepat Bangunkan SAF Melalui Biojisim Alga

Must read

Pelbagai inisiatif baharu telah diperkenalkan telah diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg yang secara dasarnya menjadi asas dalam merangka strategi pembangunan Sarawak dalam PCDS 2030.

Dalam masa beberapa tahun ini, Premier Sarawak telah banyak memberi perhatian terhadap penerokaan sektor ekonomi teknologi hijau di mana ia merupakan inisiatif berpandangan jauh bagi mengubah landskap ekonomi Sarawak untuk pembangunan masa depan Sarawak.

SBC jadi tulang belakang dalam menyokong usaha Kerajaan Sarawak memperkenalkan teknologi berteraskan algae

Penyelidikan dan pembangunan dalam ekonomi hidrogen, perniagaan karbon, pengeluaran bio-jisim alga untuk penghasilan bahan api penerbangan mampan (SAF) telah menghasilkan sumber ekonomi baharu yang akan menggandakan pendapatan Sarawak.

Ekonomi baharu berasaskan teknologi hijau ini telah menarik banyak pelaburan ke Sarawak lebih-lebih lagi penerokaan sektor baharu berteraskan teknologi alga yang dijangka akan membawa limpahan ekonomi kepada Sarawak.

Hal ini kerana, pengeluaran alga bukan sahaja mampu menghasilkan SAF, malah boleh diperluaskan kepada diesel dan gasolin di mana ketiga-tiganya ini merupakan minyak premium yang digunakan oleh industri.

SBC menjadi pusat penyimpanan sekurang-kurangnya 600 strain pelbagai spesies algae sehingga kini

Penggunaan SAF merupakan inisiatif global oleh industri penerbangan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau global.

SAF adalah sejenis biofuel yang diperbuat daripada bahan mentah lestari, seperti sisa pertanian, sisa hutan, dan tanaman bukan makanan seperti biojisim alga.

Menurut Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), industri penerbangan bertanggungjawab terhadap 2.5% daripada jumlah pelepasan karbon global.

Premier Sarawak meninjau Kemudahan Penangkapan Karbon Alga Mikro Sarawak (C4) di Loji Kuasa Sejingkat sempena perasmian C4

Sehubungan itu, ICAO telah menetapkan visi ICAO 2050 untuk memberi komitmen kepada semua pihak berkepentingan agar berusaha ke arah SAF dalam usaha mereka menangani perubahan iklim.

Selaras dengan visi ICAO 2050 itu, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) komited untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih daripada operasi mereka menjelang 2050.

Pengeluar pesawat termasuk Boeing juga giat meneruskan penggunaan SAF dan menetapkan sasaran untuk menggunakan 100% SAF untuk semua operasi pesawat komersialnya menjelang 2030.

CHITOSE telah memulakan pengeluaran mikroalga di Sarawak (Foto: https://www.fuelsandlubes.com/chitose-starts-microalgae-production-in-sarawak-malaysia/)

Melihat kepada permintaan global terhadap SAF, Kerajaan Sarawak kini berada di landasan yang tepat dalam membangunkan SAF melalui biojisim alga.

Kita menyaksikan Sarawak mencipta satu pencapaian baharu dalam industri penerbangan apabila buat pertama kalinya, sebuah pesawat Airbus A2203 dari Arbortech mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Dan apa yang paling bersejarah ialah pesawat yang dikuasakan oleh SAF yang diperbuat di Sarawak telah dinaiki oleh Premier Sarawak ke Langkawi untuk menghadiri Langkawi International Maritime and Aerospace (LIMA).

SAF yang dihasilkan daripada alga (tenaga hijau) hasil kerjasama PETRONAS dan SEDC Energy adalah selari dengan trend global dan ini adalah perkembangan yang sangat baik dari segi ekonomi Sarawak kerana ia akan menjadi satu lagi sumber pendapatan baharu bagi Sarawak.

CHITOSE telah merasmikan kemudahan C$ seluas 5 hektar bernama pada April 2023. (foto:https://chitose-bio.com/news/5803/)

Difahamkan juga, ia merupakan SAF pertama di dunia yang dihasilkan menggunakan alga dan ini jelas membuktikan bahawa Sarawak mampu menghasilkan SAF yang selamat dan boleh dipercayai untuk kegunaan komersial.

Sehubungan itu, Sarawak telah mengambil langkah progresif untuk meneroka mikroalga sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui yang berpotensi.

Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) dengan kerjasama Sarawak Energy Berhad (SEB) serta Makmal Chitose Group dan ENEOS Corp dari Jepun telah menubuhkan Kemudahan Penangkapan Karbon Alga Mikro Sarawak atau Chitose Carbon Capture Central Sarawak (C4) di Loji Kuasa Sejingkat milik SEB.

C4 merupakan lanjutan daripada SEB Sejingkat Power Loji dan teknologi yang dibangunkan secara berpotensi meletakkan asas untuk inisiatif hijau baharu yang akan memberi manfaat kepada rakyat, mencipta peluang pekerjaan baharu serta mengembangkan ekonomi.

Kemudahan seluas lima hektar ini akan bertindak sebagai “pokok cecair” untuk menangkap CO2 sambil berfungsi sebagai pembersih semula jadi dengan melepaskan oksigen melalui fotosintesis.

Mikroalga atau lebih dikenali sebagai lumut adalah tanaman perindustrian yang boleh membantu mengembangkan ekonomi Sarawak serta menjadi model untuk mencapai aspirasi di samping memelihara alam sekitar Sarawak.

Kemudahan ini juga akan berfungsi sebagai sebahagian daripada usaha pelepasan sifar bersih dengan jangkaan 700 tan CO2 boleh diserap oleh biojisim alga.

Kemudahan ini akan menghasilkan kira-kira 350 tan biojisim alga setiap tahun, yang akan diubah menjadi produk berkualiti tinggi seperti makanan, kosmetik, dan bahan-bahan farmaseutikal, juga berpotensi untuk memproses lipid untuk melawan anti-virus termasuk kanser.

Mikroalga juga menawarkan potensi untuk pembangunan produk yang inovatif dan mampan dalam industri makanan, justeru Kerajaan Sarawak akan terus melakukan penyelidikan mengenai mikroalga yang dilihat banyak memberi manfaat terhadap pemakanan dan perubatan.

Terdapat banyak spesies alga yang didapati mempunyai manfaat terhadap kesihatan manusia dan salah satunya ialah produk spirulina yang diiktiraf sebagai superfood.

Spirulina mengandungi nutrien penting termasuk vitamin, mineral, dan antioksida yang menjadikan ia sebagai makanan tambahan yang popular untuk individu yang mementingkan kesihatan.

Terdapat juga spesies alga lain yang amat berpotensi dalam bidang perubatan misalnya, sesetengah alga mempunyai ciri-ciri antibakteria dan antivirus yang boleh membantu dalam memerangi penyakit berjangkit.

Selain itu, alga boleh digunakan untuk mengurangkan keradangan, menyahtoksik badan, meningkatkan sistem imun serta membantu penurunan berat badan.

Pengkomersialan alga baharu sahaja bermula, dan disebabkan itu, data-data akan dikumpulkan untuk meningkatkan teknologi seterusnya meningkatkan kemudahan kepada 100 hektar dan menjelang 2030, ia akan dikembangkan kepada 2,000 hektar.

Dengan kemudahan seluas 2,000 hektar, ia boleh mencipta sehingga 5,000 peluang pekerjaan baharu dan menyahkarbonkan kira-kira 200,000 tan karbon setiap tahun.

Kerajaan Sarawak telah mengenal pasti dua lokasi iaitu di Balingian dan Tanjong Manis untuk membangunkan kemudahan ini, dan ini bermakna peluang pekerjaan juga akan diwujudkan di kawasan tersebut.

Dalam perubahan iklim yang mendesak serta peralihan tenaga, Sarawak mempunyai keupayaan untuk menyediakan penyelesaian bahan api hijau daripada sumber yang mampan.

Mikroalga menawarkan potensi besar untuk menghasilkan SAF yang penting kepada industri penerbangan untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

Mikroalga adalah sumber boleh diperbaharui yang dapat menawarkan kita penyelesaian mampan yang tidak bersaing dengan sumber makanan.

Di Sarawak, terdapat cahaya matahari yang mencukupi, iklim tropika yang hangat dan sumber air laut yang menyediakan keadaan yang sesuai untuk terus memelihara sumber minyak secara mampan.

Pada masa ini, Sarawak turut memberi tumpuan terhadap sektor hidrogen hijau di mana proses penghasilan yang digunakan adalah melalui elektrolisis (air).

Baru-baru ini, penyelidik telah mengenal pasti bahawa buluh boleh menjadi sumber tenaga yang baharu, di mana ia juga boleh meningkatkan kecekapan sel bahan api dan merupakan sebuah alternatif yang lebih mampan di mana sel bahan api tidak lagi perlu bergantung kepada bahan api fosil.

Sarawak yang kaya dengan sumber asli dan hutan, wajar melihat kepada perkembangan baharu ini dalam mengurangkan jejak karbon melalui teknologi penghasilan tenaga daripada buluh.

Dalam masa yang sama, Sarawak juga perlu melihat kepada perdagangan teknologi hijau dengan negara-negara yang berpotensi dalam teknologi hijau sama ada di Rantau Asia ataupun Asia Tenggara.

Salah satu contoh negara yang boleh kita lihat adalah Singapura yang telah menumpukan tenaga dalam penggunaan teknologi hijau dalam usaha mengatasi perubahan iklim (climate change).

Singapura adalah negara jiran yang banyak membuat pelaburan serta memberi penekanan kepada penggunaan teknologi hijau termasuk melabur di Johor, justeru wajar untuk Sarawak turut mengadakan kolaborasi dengan republik itu dalam teknologi hijau.

Jaringan kerjasama ini wajar dipertimbangkan memandangkan Singapura jauh ke hadapan dari segi pembiayaan, perniagaan yang menceburi aspek alam sekitar sama ada dari segi kepakaran dan teknologi.

Pelaburan besar telah dibuat oleh Singapura dalam menangani isu perubahan iklim dengan penubuhan pelbagai syarikat berasaskan teknologi hijau.

Oleh itu, Kerajaan Sarawak wajar melihat kepada aspek kemungkinan dan kebolehlaksanaan untuk perdagangan antara Sarawak dan Singapura dalam sektor teknologi hijau.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article