- Advertisement -spot_img
Thursday, 29 February 2024 8:04pm

Pengeluaran Padi Antara Fokus Utama Tingkatkan Keselamatan Makanan

Must read

(Bahagian 1)

Beras merupakan makanan ruji rakyat Malaysia dan sebarang kejadian kekurangan bekalan beras pastinya akan menimbulkan keresahan yang besar di kalangan rakyat kita.

Pada 2022, Sarawak telah mengeluarkan 85,700 tan metrik beras mewakili 5.1 peratus daripada jumlah keseluruhan negara.

Jumlah ini bersamaan dengan 34 peratus Tahap Sara Diri (SSL) beras Sarawak dan bagi memenuhi permintaan tempatan kita, Sarawak telah mengimport 164,621 tan metrik bernilai RM362 juta.

Import beras yang tinggi sebahagian besarnya disebabkan oleh pengurangan mendadak dalam pengeluaran padi akibat daripada penurunan jumlah hektar kawasan penanaman padi.

Infografik menunjukkan jumlah keluaran padi dn import beras pada tahun 2022

Dalam tempoh tujuh (7) tahun kebelakangan ini, jumlah hektar kawasan tanaman padi telah menurun sebanyak 37 peratus (124,111 hektar pada 2016 kepada kira-kira 78,000 hektar pada 2022).

Penurunan ini adalah disebabkan faktor-faktor seperti kurangnya penanam padi yang aktif; Keadaan infrastruktur ladang yang semakin merosot di kebanyakan skim padi sedia ada; Peningkatan kos input pengeluaran;

Lebih banyak tanah digunakan untuk perladangan tanaman lain yang lebih menguntungkan; dan Kurang minat dalam kalangan generasi muda untuk menanam padi.

Infografik menunjukkan penurunan hektar kawasan tanaman padi di Sarawak

Melihat kepada situasi semasa sektor padi dan beras di Sarawak, M-FICORD telah mengambil langkah-langkah intervensi untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan ke arah memastikan tahap keselamatan makanan yang memuaskan.

Perkara ini dijelaskan Menteri M-FICORD, YB Dato Sri Dr Stephen Rundi anak Utom, dalam ucapan penggulungannya semasa Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 pada 28 November 2023 (Selasa).

Menurut beliau, M-FICORD akan menggunakan pendekatan baharu untuk pembangunan padi di mana semua infrastruktur ladang akan dibangunkan sepenuhnya oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak manakala Jabatan Pertanian (DOA) Sarawak akan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap penanaman padi.

M-FICORD telah mengenal pasti lebih 30 skim di bawah Jabatan Pengairan Sarawak (JPS) sedia ada di seluruh Sarawak yang dibangunkan terutamanya untuk penanaman padi, dengan anggaran keluasan lebih 10,000 hektar.

M-FICORD komited mengambil langkah-langkah intervensi untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan

Di kawasan tertentu, skim ini telah dibangunkan pada tahun 1970-an dan pada masa ini, sama ada ia telah terbengkalai sepenuhnya atau sebahagiannya bahkan ada yang diusahakan bersama tanaman lain seperti kelapa sawit.

Oleh sebab itu, M-FICORD bercadang untuk mewartakan kawasan penanaman padi yang meliputi beberapa skim JPS sedia ada dan kawasan baharu yang dikenal pasti.

Bagi menghidupkan semula penanaman padi dalam skim-skim ini, M-FICORD mencadangkan agar infrastruktur ladang yang usang itu dipulihkan serta dinaik taraf.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), sejumlah RM8.3 juta telah diperuntukkan untuk menaik taraf infrastruktur ladang di Skim Pengairan Tanjung Purun, Lundu dan membangunkan infrastruktur baharu bagi cadangan Skim Saliran Terkawal di Kampung Mujat, Serian.

Kedua-dua projek itu dalam peringkat akhir perancangan dengan keluasan gabungan kira-kira 350 hektar.

Dato Sri Dr Stephen Rundi anak Utom menunjukkan teks ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan DUN pada pada 28 November 2023 (Foto: Chimon Upon / https://www.utusanborneo.com.my/2023/11/28/m-ficord-akan-amal-pendekatan-baharu-pembangunan-padi)

Projek-projek pemulihan lain yang sedang dijalankan ialah di Skim Lubok Punggor, Gedong (peringkat reka bentuk) dan Skim Saliran Terkawal Tanjung Sebekut, Betong (sudah siap) dengan peruntukan masing-masing RM30 juta dan RM5 juta.

Sementara itu, cadangan pembangunan infrastruktur saliran tertiari dan pengairan di Selepong Panggil, Sri Aman sedang dalam proses pengesahan sempadan tanah dalam kalangan pemilik tanah.

Penyelarasan pembangunan projek-projek ini akan dikendalikan oleh JPS dan DOA sementara M-FICORD akan memantau pembangunan infrastruktur ladang yang sedang dilaksanakan di kawasan jelapang padi Batang Lupar, Sri Aman.

Luas keseluruhan kawasan jelapang padi Batang Lupar dianggarkan sekitar 5,100 hektar dimana pembangunan infrastruktur di kawasan ini dibahagikan kepada lima pakej utama, meliputi Stumbin, Tanjung Bijat, Gran, Entulang, Seduku, Lingga dan Banting.

Sehingga kini, pembangunan infrastruktur asas dan saluran paip sekunder bagi projek Pakej Stumbin-Bijat Fasa 1 meliputi Tanjung Bijat, Stumbin, Gran dan Entulang telah siap dengan keluasan 1,500 hektar.

Daripada jumlah tersebut, 196 hektar daripadanya Blok C, di Tanjung Bijat telah dibangunkan dengan infrastruktur tertiari.

Fasa pembangunan seterusnya melibatkan Blok A dan B di Stumbin, dengan anggaran keluasan 400 hektar, kini dalam peringkat reka bentuk dan kerja pembinaan dijangka bermula pada 2024.

Skim Lingga-Banting yang berada di kawasan jelapang padi Batang Lupar dengan keluasan keseluruhan 2,100 hektar akan dibangunkan secara berperingkat.

Pembangunan Fasa 1 melibatkan pakej Lingga-Banting seluas 260 hektar terdiri daripada Blok C dan D sedang dalam proses dan dijangka siap pada 2026 manakala tiga (3) pakej lagi dirancang untuk dibangunkan di bawah RMKe-13.

Apabila projek-projek ini siap, jumlah hektar kawasan pengeluaran padi yang dilengkapi infrastruktur tertiari di Sarawak akan meningkat kepada sekitar 1,300 hektar.

Kawasan yang telah dibangunkan dengan infrastruktur ladang tertiari akan membolehkan penanaman padi sekurang-kurangnya dua kali setahun sekali gus akan menyumbang kepada peningkatan pengeluaran padi.

Bagaimanapun, untuk mencapai sasaran 60 peratus SSL menjelang 2030, M-FICORD memerlukan bajet sekurang-kurangnya RM3 bilion untuk membangunkan kawasan baharu penanaman padi serta menaik taraf infrastruktur ladang yang usang dalam skim JPS sedia ada dengan anggaran jumlah hektar lebih daripada 10,000 hektar.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article