- Advertisement -spot_img
Thursday, 29 February 2024 7:04pm

Perlu Literasi Data Dan Maklumat

Must read

Kemahiran literasi data dan maklumat penting bagi memenuhi keperluan maklumat semasa malah sangat berguna dalam mempersiapkan masyarakat kepada proses pembelajaran sepanjang hayat.

Seperti yang kita ketahui, kemunculan teknologi digital telah membolehkan bermacam jenis maklumat disimpan dalam pelbagai format yang pastinya memerlukan teknik dan kaedah tertentu untuk mendapatkan maklumat tersebut.

Data merupakan himpunan fakta mengenai sesuatu benda, kejadian, orang atau entiti yang terdiri daripada perkataan, angka atau gambar dan boleh menjadi sesuatu fakta yang bermakna atau tidak bermakna sehingga ia diproses.

Data dalam pangkalan data terdiri daripada beberapa jenis seperti teks (huruf, simbol atau gabungan angka), nombor (angka atau nombor perpuluhan) dan tarikh (gabungan angka, huruf atau simbol mengikut format tarikh).

Maklumat pula merupakan hasil daripada pengumpulan, pemprosesan dan penganalisisan data yang boleh digunakan untuk membuat sesuatu keputusan atau lebih tepat lagi ialah sesuatu penerangan yang diperoleh daripada pelbagai sumber seperti buku, jurnal, agensi kerajaan, persidangan, media, laporan penyelidikan, pangkalan data elektronik dan seterusnya.

Literasi data pula ialah kemampuan membaca, memahami, membuat, menterjemahkan data sebagai maklumat manakala literasi maklumat ialah satu keupayaan untuk mengakses dan menilai maklumat dengan berkesan bagi menyelesaikan sesuatu masalah dan mengambil keputusan.

Literasi maklumat secara amnya merangkumi kemahiran perpustakaan, kemahiran berkomunikasi, kemahiran belajar, kemahiran membaca, kemahiran penyelidikan dan kemahiran penyampaian (Aripah Mohamed, UKM, 1998).

Literasi maklumat dianggap sebagai satu kemahiran berterusan atau kemahiran sepanjang hayat yang sentiasa dan perlu ditingkatkan dalam diri seseorang supaya ia dapat menghadapi atau menangani cabaran masa depan yang berkait dengan ledakan maklumat dan teknologi yang begitu pantas dan berubah-rubah.

Dalam berdepan dengan revolusi industri 4.0 yang menggunakan teknologi canggih dalam menyelesaikan pekerjaan yang lebih efisien, maka kemahiran ini wajib dimiliki oleh setiap penjawat awam kerana hampir setiap pekerjaan akan selalu berkaitan dengan teknologi.

Setiap data yang ada pasti akan disimpan dan diolah dengan menggunakan teknologi tersebut dan pengolahan data inilah yang akan menjadi pekerjaan baharu.

Memandangkan ia ialah suatu ilmu yang baharu, masih sedikit saja yang dapat menguasainya, justeru, generasi pada hari ini perlu komited untuk belajar dan memahaminya sehingga dapat mendepani revolusi industri 4.0 serta menaklukkan teknologi yang canggih tersebut.

Pada zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ini, setiap individu perlu menguasai maklumat bagi menjamin kejayaan hidup malah, mereka perlu tahu membeza dan menilai kesahihan maklumat kerana maklumat akan sentiasa berubah dan semakin berganda dari hari ke hari.

Individu yang tidak celik maklumat akan ketinggalan kerana kemajuan dan perubahan dunia kini lebih berorientasikan maklumat malah, ia telah menjadi ramuan penting sebagai penentu kualiti hidup seseorang.

Kemahiran menulis, membaca dan mengira yang ditekankan dalam sistem pendidikan kini juga perlu ditambah dengan kemahiran literasi data dan maklumat agar individu itu mampu bersaing dalam era gelombang ketiga ini.

Dengan memiliki semua kemahiran tersebut maka seseorang itu akan berupaya mengenal pasti dan mengguna maklumat untuk kehidupan seharian seperti menyiapkan tugasan atau projek tertentu, menyelesaikan masalah yang dihadapi serta membuat keputusan penting.

Begitu juga dengan penjawat awam di mana mereka harus mempunyai literasi data dan maklumat kerana setiap detik mereka menyumbang tenaga bekerja di pejabat.

Mereka adalah ‘jentera’ yang menghasilkan maklumat, menggunakan maklumat dan menganalisis maklumat bagi membolehkan mereka membuat keputusan yang sesuai bagi kepentingan dan manfaat masyarakat dan pelanggan organisasi mereka.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article