- Advertisement -spot_img
Thursday, 29 February 2024 9:06pm

Penerima Anugerah Pegawai Contoh Tahun 2023

Must read

Pengiktirafan kepada pekerja akan mewujudkan iklim organisasi yang positif, produktif dan inovatif.

Pengiktirafan kepada kakitangan secara hakikatnya adalah satu bentuk pengiktirafan kepada kualiti kerja yang telah ditunjukkan oleh kakitangan berkenaan kerana pekerja yang berkualiti adalah aset utama sesebuah organisasi.

Melalui pengiktirafan yang diberikan, ia sebenarnya menggalakkan lebih banyak tindakan dan merangsang pemikiran seseorang kakitangan tersebut untuk mempercayai bahawa dirinya memiliki potensi dan kemampuan untuk terus menyumbang kepada kemajuan dan kejayaan organisasinya.

Pada Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2024, beberapa tokoh penjawat awam Sarawak telah dianugerahkan pengiktirafan ke atas sumbangan dan jasa mereka.

Penerima Anugerah Pegawai Contoh Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Kategori Perkhidmatan Awam Negeri Tahun 2023 ialah YBhg Dato Sri Talat Mahmood bin Abdul Rashid, Penasihat Undang-Undang di Jabatan Premier Sarawak.

Beliau merupakan graduan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya serta pemegang Ijazah Sarjana Undang-Undang dari London School of Economics, University of London, United Kingdom.

Premier Sarawak menyampaikan pingat Anugerah Pegawai Contoh, YBhg. Dato Sri Talat Mahmood bin Abdul Rashid

Sebelum dilantik sebagai Peguam Besar Negeri Sarawak pada tahun 2017, beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Dekan, Fakulti Undang-Undang di Universiti Malaya.

Kejayaan manis terbesar beliau adalah mengetuai pasukan perundangan Sarawak dalam memperjuangkan pengembalian hak-hak Sarawak dalam pelbagai perkara melalui Perjanjian Malaysia 1963, Perlembagaan Persekutuan dan Inter-Governmental Committee Report 1962.

Di atas sumbangan dan pencapaian sepanjang perkhidmatan, beliau telah diberi pelbagai anugerah daripada Kerajaan Sarawak, antaranya Pingat Perkhidmatan Cemerlang 2016; Darjah Panglima Gemilang Bintang Kenyalang, 2017; dan Darjah Panglima Negara Bintang Sarawak 2021.

Beliau juga pernah diberikan Anugerah Maal Hijrah 1445H Kategori Penjawat Awam Islam pada tahun 2023.

Penerima Anugerah Pegawai Contoh Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Kategori Perkhidmatan Awam Persekutuan Tahun 2023 ialah YBhg Datu Ken anak Leben, Timbalan Ketua Pengarah (Kawalan), Jabatan Imigresen Malaysia.

Beliau telah berkhidmat selama 27 tahun di Jabatan Imigresen Malaysia dan merupakan anak Sarawak yang pertama dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah di Jabatan Imigresen Malaysia.

Premier Sarawak menyampaikan pingat kepada YBhg. Datu Ken Anak Leben

Sepanjang perkhidmatan, beliau telah banyak menyumbang kepada dasar keselamatan masuk ke Malaysia seperti mentransformasikan tatacara permohonan permit pekerja warga asing dengan mewujudkan aplikasi permohonan secara atas talian.

Di antara Digital Apps yang dibangunkan adalah seperti ePLKS, eSP, eCom dan lain-lain lagi.

Selain daripada itu, beliau juga telah memperkenalkan permohonan pembaharuan pasport secara atas talian serta pengenalan Queue Management System (QMS) yang mana telah membantu memastikan proses perkhidmatan yang teratur dan lancar di pejabat Imigresen.

Dengan pengenalan aplikasi tersebut, ianya telah membantu pihak Jabatan Imigresen Malaysia untuk menyampaikan perkhidmatan yang cepat dan berkualiti.

Bagi menghargai komitmen dan kecemerlangan dalam menjalankan tugas, beliau telah diberikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak dua (2) kali, Pingat Perkhidmatan Bakti (PPB) 2006, Pegawai Bintang Kenyalang (PBK) 2014 dan Darjah Jasa Bakti Sarawak (DJBS) 2018.

Penerima Anugerah Pegawai Contoh Kumpulan Pengurusan dan Profesional, Kategori Perkhidmatan Awam Negeri Tahun 2023 ialah YBhg Datu Wong Hee Sieng, Residen Bahagian Sibu.

Beliau telah menjalankan tugas dengan penuh dedikasi sepanjang 36 tahun perkhidmatan beliau dalam perkhidmatan awam negeri Sarawak.

Di atas kecemerlangan yang telah diberikan sepanjang perkhidmatan, beliau telah diberikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak 3 kali, Pingat Perkhidmatan Bakti (P.P.B) 2017, Pegawai Bintang Kenyalang (P.B.K) 2019 dan Darjah Jasa Bakti Sarawak (D.J.B.S) pada tahun 2023.

Beliau adalah individu yang bertanggungjawab menyelia pelaksanaan projek pembangunan di Bahagian Sibu.

Selain itu, beliau sangat aktif dalam kegiatan sosial di peringkat Bahagian Sibu, malah turut dilantik sebagai Ahli Lembaga Penasihat Tempat Transit Gelandangan (TTG) Bahagian Sibu yang berperanan untuk membantu mengubah masa depan gelandangan.

Beliau memainkan peranan penting untuk menyelamat serta membimbing gelandangan untuk menjana pendapatan agar mereka mampu berdikari dan selamat apabila kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat.

Penerima Anugerah Pegawai Contoh Kumpulan Pengurusan dan Profesional, Kategori Perkhidmatan Awam Persekutuan Tahun 2023 ialah YS PKPjB Datu Khirudin bin Drahman @ Hussaini, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak.

Sepanjang 34 tahun berkhidmat dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, beliau pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak lima (5) kali, Anugerah Khas Bomba sempena Maulidul Rasul tahun 2016 dan Pingat Ketua Pengarah Bomba pada tahun 2017.

Premier Sarawak menyampaikan pingat kepada YS PKPjB. Datu Khirudin bin Drahman @ Hussaini

Di antara sumbangan beliau kepada masyarakat adalah memperkenalkan program Public Education on Fire Safety, Fire Point dan Bomba Komuniti di kalangan penduduk di kawasan pendalaman Sarawak untuk memberikan kesedaran serta melatih mereka untuk sentiasa berwaspada dan sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan kebakaran.

Selain daripada itu, beliau juga bergiat aktif dalam aktiviti persatuan seperti The Institution of Fire Engineers (UK) dan beliau juga adalah Mantan Presiden the Institution of Master in Disaster and Emergency Management Malaysia (IMDEMM).

Pada masa ini, beliau banyak menyumbang buah fikiran melalui penghasilan artikel-artikel berkaitan hal keselamatan dan fire engineering untuk diterbitkan di akhbar-akhbar tempatan seperti Sarawak Tribune, Sin Chew dan portal Weekly Echo KL.

Pegawai Contoh Kumpulan Pelaksana I Kategori Perkhidmatan Awam Persekutuan Tahun 2023 ialah Encik Zamri bin Dollah, Pembantu Tadbir (P/O) N26 dari Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.

Beliau memiliki daya kepimpinan dan pengalaman yang tinggi dalam sukan lumba basikal, dan sering diberikan kepercayaan untuk menjadi Ketua Teknikal bagi penganjuran program perlumbaan basikal yang melibatkan penyertaan pelumba dari dalam dan luar negara.

Sepanjang perkhidmatan, beliau juga pernah menjadi penolong jurulatih pasukan lumba basikal SUKMA Sarawak 2004 dan 2006, Sukarelawan Le Tour De Langkawi, Setiausaha Kelab Perubatan Sarawak, Penyelaras Pasukan Sarawak ke Sukan KKM dan Pengacara majlis-majlis rasmi jabatan.

Di atas penglibatan aktif ini, beliau telah diberikan Anugerah Warga Aktif Warga Produktif peringkat JKNS pada tahun 2013.

Pada tahun 2006 dan 2016, beliau telah diberikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang atas komitmen dan hasil kerja cemerlang yang telah ditunjukkan.

Penerima Anugerah Pegawai Contoh Kumpulan Pelaksana I, Kategori Perkhidmatan Awam Negeri Tahun 2023, ialah Puan Foo Ting Ching, Pembantu Tadbir Kewangan W26 dari Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak.

Beliau telah berkhidmat dengan cemerlang selama 28 tahun dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak dan telah dianugerahkan Perkhidmatan Cemerlang sebanyak dua kali dan Pingat Perkhidmatan Terpuji (PPT) pada tahun 2023.

Beliau juga aktif mewakili Sarawak dalam Sukan Ping Pong di peringkat negeri dan kebangsaan serta sering mendapat tempat pertama dalam pertandingan yang disertainya.

Di samping itu, beliau sering meluangkan masa untuk menganjurkan program-program yang memberikan manfaat kepada masyarakat setempat melalui kerjasama dengan agensi awam dan swasta seperti Persatuan Pekak Sarawak dan sebagainya.

Beliau juga melibatkan diri sebagai salah seorang ahli di dalam Kumpulan KIK Jabatan yang pernah memenangi pelbagai anugerah di peringkat negeri, negara dan antarabangsa.

Penerima Anugerah Pegawai Contoh Kumpulan Pelaksana II, Kategori Perkhidmatan Awam Persekutuan Tahun 2023, ialah Encik Ibrahim bin Sibi, Pembantu Awam H14 dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sri Aman.

Beliau telah berkhidmat selama 38 tahun dengan Polis Diraja Malaysia dan sentiasa aktif dalam sukan badminton dan futsal yang dianjurkan oleh jabatan sehingga memperolehi pelbagai kejayaan di peringkat negeri serta di peringkat kebangsaan.

Di samping itu juga, beliau melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa Surau Darul Solihin, Ibu Pejabat Polis Daerah Sri Aman.

Pada tahun 2006, beliau telah diberikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang oleh Ketua Polis Negara bagi menghargai komitmen dan hasil kerja cemerlang yang telah ditunjukkan sepanjang perkhidmatan.

Pegawai Contoh Kumpulan Pelaksana II Kategori Perkhidmatan Awam Negeri Tahun 2023 ialah Puan Aminah binti Morshidi, Pengawal Keselamatan KP16 dari Perbadanan Perusahaan Kayu Sarawak.

Beliau sentiasa melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan setempat dengan memegang pelbagai jawatan di peringkat tertinggi seperti Ketua PIBG Sekolah, Ketua Rukun Tetangga dan Setiausaha Surau.

Di samping itu, beliau merupakan Sukarelawan di Pusat Perkhidmatan Warga Tua Kuching dan Rumah Sri Kenangan Kuching.

Beliau juga adalah Anggota Simpanan Angkatan Tentera Malaysia (Rejimen 511 Askar Wataniah) mulai tahun 1985 sehingga sekarang.

Pada tahun 2023, beliau telah dianugerahkan sebagai Penderma Darah Terbanyak, Kategori Penderma Perempuan bersempena Hari Penderma Darah Sedunia 2023 Peringkat Sarawak oleh Malaysian Red Crescent.

Sepanjang tempoh 29 tahun perkhidmatan, beliau telah menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang sehingga dianugerahkan Sijil Khidmat Cemerlang Tahun 2008, 2016 dan Anugerah Pegawai Contoh PUSAKA pada tahun 2011.

Ringkasan Senarai Penerima Anugerah Pegawai Contoh Tahun 2023 Sempena Hari Perkhidmatan Awam Tahun 2024

BILKATEGORIPERKHIDMATAN AWAM NEGERI SARAWAKPERKHIDMATAN AWAM PERSEKUTUAN
1Pengurusan TertinggiYBhg. Dato Sri Talat Mahmood bin Abdul Rashid
Penasihat Undang-Undang
Pejabat Peguam Besar Negeri
YBhg. Datu Ken Anak Leben
Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan)
Jabatan Imigresen Malaysia
2Pengurusan dan ProfesionalYBhg. Datu Wong Hee Sieng
Residen Bahagian Sibu
YS PKPjB. Datu Khirudin bin Drahman @ Hussaini
Pengarah
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak
3Pelaksana 1Puan Foo Ting Ching
Pembantu Tadbir, W26
Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak
Encik Zamri bin Dollah
Pembantu Tadbir (P/O), N26
Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak
4Pelaksana 2Puan Aminah binti Morshidi
Pengawal Keselamatan, KP16
Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak
Encik Ibrahim Bin Sibi
Pembantu Awam, H14
Polis Diraja Malaysia Negeri Sarawak

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article