- Advertisement -spot_img
Thursday, 29 February 2024 7:45pm

Relevan Seiring Trend dan Perubahan Semasa

Must read

Perkhidmatan Awam Sarawak, sebagai pelaksana dasar kerajaan dan jentera yang bertanggungjawab untuk menyampaikan perkhidmatan, perlu kekal relevan dan menyesuaikan diri dengan trend dan perubahan semasa untuk memenuhi keperluan dan jangkaan rakyat serta pihak berkepentingan.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki menyifatkan semua anggota Perkhidmatan Awam Sarawak termasuk negeri dan persekutuan bertuah kerana dapat menyumbang bakti menjadi pasukan jentera pelaksana dan penyampaian perkhidmatan Kerajaan Sarawak.

Untuk kekal relevan, beliau berkata Perkhidmatan Awam Sarawak perlu  meningkatkan keupayaan diri, mengguna pakai teknologi dan meneroka pendekatan inovatif untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan.

Ia bertepatan dengan tema Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2024 yang dipilih iaitu Perkhidmatan Awam Sarawak : Pemacu Relevan dan Inspirasi Perubahan Demi Masa Depan Sarawak (Sarawak Civil Service : Driving Relevan, Inspiring for Future Sarawak).

Premier Sarawak mengabadikan kenangan bergambar bersama anggota Perkhidmatan Awam Sarawak

Perkhidmatan Awam Sarawak pada masa yang sama, jelas beliau perlu mengekalkan kecekapan profesional dan menyesuaikan diri  ketika berkhidmat dalam memenuhi tanggungjawab mereka.

Aspek tersebut, menurut beliau penting kerana dunia sedang berkembang terutama kemunculan teknologi digital, dengan dunia yang saling berhubung dan maklumat yang tersedia.

Hari Perkhidmatan Awam yang diadakan setiap tahun sebagai mengiktiraf sumbangan penjawat awam dan menetapkan hala tuju perkhidmatan awam

Rakyat kini, mempunyai akses yang mudah kepada maklumat dan ekspektasi mereka turut meningkat dan mengimpikan tahap kualiti hidup yang lebih baik dan makmur.

Beliau turut berkongsi beberapa pencapaian dan inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Perkhidmatan Awam Sarawak.

Di bawah inisiatif ekonomi digital,  terdapat kemajuan ketara dalam transformasi digital terutama meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada pekerja dan rakyat.

Setakat ini, pihaknya telah mengenalpasti lebih 1,000 perkhidmatan untuk pendigitalan menjelang 2030, dengan 20% sudah beroperasi dalam talian.

Sebagai contoh, aplikasi Service Sarawak menyaksikan peningkatan yang ketara dari segi  muat turun dan pembayaran transaksi dalam talian, menunjukkan peningkatan akses kepada perkhidmatan kerajaan.

Dari segi pelaksanaan dan penyampaian program dan projek, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), sejumlah RM38.0 bilion telah diperuntukkan untuk 1,386 projek di mana hampir 50% siap. Pada tahun 2023 sahaja, 89.8% daripada peruntukan RM8 bilion telah digunakan secara berhemat.

Selain itu, di bawah Pembiayaan Alternatif sejumlah 2,133 projek bernilai RM41.4 bilion telah diluluskan dengan 786 projek telah siap manakala Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan taraf kehidupan masyarakat luar bandar, dengan 20,402 projek telah diluluskan sejak 2015.

Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak  diadakan sebagai platform untuk mengiktiraf dan menghargai sumbangan penjawat awam dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat di Sarawak.

Pada acara tersebut, turut diumumkan 24 Kategori dimenangi oleh pelbagai agensi, jabatan dan tokoh melalui Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak (AKPANS) dan Anugerah Pegawai Contoh.

Penerima Anugerah Bagi Kategori Agensi Utama -Setiausaha Kerajaan Sarawak dan Setiausaha Persekutuan Sarawak
Penerima Anugerah Bagi Kategori Agensi Utama -Premier Sarawak
Kesemua penerima Anugerah Tokoh Perkhidmatan Awam
Kesemua penerima pensijilan Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015 Pentadbiran Bahagian Sarawak dan 1 agensi utama -Unit Transformasi dan Inovasi (STIU)
Sejumlah 5,000 orang anggota penjawat awam memenuhi majlis Hari Perkhidmatan Awam 2024

Seramai 5,000 anggota penjawat awam Sarawak negeri dan Persekutuan hadir ke acara  tersebut secara fizikal disamping 5,000 anggota penjawat awam lagi menyertai secara maya atau live streaming di seluruh Sarawak.

Premier Sarawak meninjau di tapak pameran Unit Transformasi dan Inovasi (STIU)
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article