- Advertisement -spot_img
4,846
published news
and counting

Mengurangkan Jejak Karbon Tanggungjawab Semua

Must read

Jejak karbon merujuk pada jumlah keseluruhan gas rumah hijau (GHG) yang dilepaskan ke ruang atmosfera yang apabila dibebaskan akan memerangkap haba.

Jika semakin banyak gas rumah hijau dilepaskan, pemanasan global akan berlaku seterusnya menyebabkan perubahan iklim dan kerosakan ekosistem bumi.

Jejak karbon dinyatakan sebagai unit ukuran berat pengeluaran karbon dioksida (CO2) atau gas yang setara dengan CO2 dalam setahun.

Secara dasarnya, jejak karbon ialah kiraan jumlah pelepasan CO2 daripada pelbagai aktiviti manusia mahupun entiti lain seperti organisma, kenderaan, bangunan, pembakaran bahan api fosil dalam industri pembuatan termasuklah penghasilan tenaga elektrik.

Pelepasan gas metana, nitrous oksida atau klorofluorokarbon (CFC) juga dikira di dalam konsep jejak karbon.

Jejak karbon penting untuk diketahui jumlahnya dan perlu difahami supaya tindakan wajar dapat diambil sebelum kesan yang timbul daripada setiap aktiviti manusia menjadi semakin memudaratkan alam sekitar dan kehidupan sejagat.

Perjanjian Paris telah menetapkan bahawa pemanasan global perlu dikekalkan tidak lebih daripada 1.5°C menjelang tahun 2030 dalam usaha mencapai pelepasan sifar karbon pada 2050.

Ini bermakna, pelepasan karbon akibat daripada aktiviti manusia perlu diturunkan sebanyak 45 peratus di antara tahun 2010 menjelang 2030 bagi mencapai pelepasan bersih.

Dalam hal ini, setiap individu dalam sesebuah komuniti perlu memainkan peranan masing-masing untuk mengurangkan jejak karbon sebagai sumbangan dalam usaha menangani pemanasan global.

Langkah yang paling mudah dapat dimulakan oleh isi rumah dengan mengamalkan 3R dalam aktiviti pembuangan sampah, iaitu kurangkan sampah (reduce), guna semula (reuse) dan kitar semula (recycle).

Amalan 3R sedikit sebanyak mampu mengurangkan jejak karbon

Amalan 3R adalah langkah penting yang perlu dilakukan oleh setiap keluarga yang mahu mengurangkan jejak karbon dalam kehidupan seharian.

Langkah ini akan memberi kesan positif sekiranya setiap ahli keluarga memiliki kesedaran yang tinggi dalam amalan 3R.

Sebagai contoh, kesedaran dalam hal ini bermula dari pembelian makanan dan barangan keperluan harian yang mana pengurangan penghasilan sampah di rumah tidak akan berlaku sekiranya isi rumah masih membeli makanan ataupun barangan yang dibungkus dengan plastik secara berterusan.

Pengurusan sampah yang betul di rumah dan kawasan kejiranan memberi sumbangan besar kepada usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau yang terhasil daripada aktiviti pelupusan sampah.

Sedar atau tidak sedar, setiap aktiviti yang dilakukan manusia seperti membeli makanan dan barangan keperluan meninggalkan jejak karbon

Sampah yang melalui proses penguraian menghasilkan gas metana, iaitu sejenis gas rumah hijau yang lebih kuat impaknya berbanding dengan gas karbon dioksida.

Walau bagaimanapun, tempoh hayat gas metana lebih pendek, iaitu selama 12 tahun berbanding dengan gas karbon dioksida yang mampu bertahan selama 100 hingga ke 300 tahun.

Satu langkah mengurangkan jejak karbon yang paling mudah ialah mencabut plag perkakasan elektrik yang tidak digunakan.

Amalan ini secara tidak langsung menyumbang kepada pengurangan jejak karbon kerana proses penghasilan tenaga elektrik adalah salah satu punca utama pelepasan gas rumah hijau di seluruh dunia.

Oleh yang demikian, setiap amalan yang mampu mengurangkan ataupun mengelakkan penggunaan tenaga elektrik adalah satu tindakan yang mampu memberikan kesan kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau.

Selain itu, penggunaan elektrik bagi lampu jenis LED (light emitting diodes) didapati 80 peratus lebih efektif berbanding dengan lampu kalimantang dan lampu pijar.

Ini bermakna, lampu LED menggunakan tenaga elektrik sebanyak 80 peratus lebih rendah dan lebih menjimatkan.

Penggunaan penghawa dingin biasanya memerlukan janaan tenaga elektrik berkali-kali lebih tinggi daripada perkakasan elektrik yang lain justeru secara tidak langsung memberi kesan kepada pemanasan global.

Penghawa dingin menghasilkan gas hydrofluorocarbon (HFC) yang merupakan salah satu jenis gas rumah hijau.

Walaupun HFC membentuk hanya sebahagian kecil gas rumah hijau yang terhasil di seluruh dunia berbanding gas karbon dioksida dan nitrus oksida, namun HFC memiliki kemampuan untuk memerangkap haba panas beribu kali lebih baik daripada kedua-dua gas tersebut.

Oleh sebab itu, penggunaan penghawa dingin perlu dilakukan dengan berhemah. Pemilihan penghawa dingin yang memiliki kadar guna tenaga yang lebih efisien juga sedikit sebanyak membantu mengurangkan jejak karbon.

Antara langkah-langkah lain yang boleh mengurangkan jejak karbon termasuklah menanam sayur-sayuran untuk kegunaan sendiri bagi mengelakkan kebergantungan pada pembelian daripada industri pertanian, membeli barangan yang mesra alam dan mengeringkan pakaian dengan menyidai di ampaian tanpa menggunakan mesin pengering yang mana penggunaan kadar elektriknya yang sangat tinggi.

Mengurangkan jejak karbon adalah tanggungjawab semua. Tindakan dan pilihan bijak yang dilakukan dalam aktiviti harian walau sekecil mana sekali pun secara tidak langsung mampu mengurangkan jejak karbon, seterusnya dapat mengatasi pemanasan global dan perubahan iklim.

Rujukan:

  1. https://www.borneokomrad.net/apa-itu-jejak-karbon/
  2. https://netzeroclimate.org/what-is-net-zero
  3. https://www.xtra.com.my/pemanasan-global-7-langkah-mudah-kurangkan-jejak-karbon/
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article