- Advertisement -spot_img
4,846
published news
and counting

STEM Memacu Pembangunan Ekonomi Negara

Must read

Kebanyakan negara maju menekankan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik) kerana aliran tersebut meliputi setiap aspek kehidupan masyarakat dan menyumbang kepada kemajuan ekonomi masa hadapan.

Oleh sebab itu, STEM penting sebagai persediaan kepada murid untuk menghadapi cabaran dan berdaya saing di peringkat global.

Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), YBhg Datu Dr. Haji Azhar bin Haji Ahmad, modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran STEM diperlukan untuk negara kekal berdaya saing dan dinamik di peringkat global.

Pengarah JPNS, YBhg Datu Dr. Haji Azhar bin Haji Ahmad ketika ditemu bual RAKAN Sarawak

Hal tersebut demikian kerana kecemerlangan murid STEM sehingga ke peringkat tertiari akan menggalakkan penyelidikan dan pembangunan dalam ciptaan baharu dan inovasi serta dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.

Beliau yang ditemu bual RAKAN Sarawak menerangkan, aliran STEM mempunyai kelebihan dalam beberapa aspek seperti Peningkatan Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif, Inovasi dan Pembangunan Teknologi, Persediaan untuk Pasaran Pekerjaan Masa Depan, Kolaborasi Antarabangsa dan Pembangunan Ekonomi.

STEM menggalakkan pembangunan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam menyelesaikan masalah kompleks yang merangkumi kemampuan menganalisis, menilai dan merumuskan penyelesaian berdasarkan bukti secara saintifik.

Dalam aspek inovasi dan pembangunan teknologi, STEM mendorong inovasi dengan memberikan asas kepada pengetahuan saintifik dan teknikal yang diperlukan untuk mencipta teknologi baharu, memperbaiki sistem sedia ada dan menjawab cabaran global seperti kesihatan dan alam sekitar.

Aliran STEM penting sebagai persediaan kepada murid untuk menghadapi cabaran di masa hadapan selain mampu berdaya saing di peringkat global

Sebagai persediaan untuk pasaran pekerjaan masa depan, kecekapan dalam STEM menyediakan murid dengan kemahiran yang dihargai dalam pasaran pekerjaan global termasuk keupayaan dalam penggunaan teknologi, pemprograman, analisis data dan penyelesaian masalah teknikal.

Dari sudut kolaborasi antarabangsa, kepakaran STEM memungkinkan murid untuk bekerjasama di peringkat antarabangsa dalam projek-projek penyelidikan dan pembangunan yang bakal memperluas persepsi global murid dan membolehkan mereka menyumbang kepada inisiatif kebangsaan dan antarabangsa.

Dalam aspek pembangunan ekonomi, beliau menjelaskan bahawa keterampilan STEM membantu pembangunan ekonomi dengan menarik pelaburan dalam bidang-bidang teknologi maju dan inovasi yang dijangka akan memacu pertumbuhan sektor-sektor seperti ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi), bioteknologi dan kejuruteraan maju.

Untuk menguasai STEM, beliau menekankan empat (4) fokus yang perlu diberi perhatian utama oleh murid mengikut peringkat pendidikan sekolah.

Di peringkat pendidikan awal, murid perlu memupuk minat melalui aktiviti-aktiviti yang boleh merangsang sifat ingin tahu.

Seterusnya di peringkat rendah, murid perlu memberikan fokus dalam mengaitkan pengetahuan dengan situasi dalam kehidupan harian melalui aktiviti penyiasatan dan penerokaan.

Di peringkat menengah rendah, kemahiran STEM digilap melalui aktiviti penganalisisan isu global dan penyelesaian masalah manakala di peringkat menengah atas pula, pelajar perlu fokus pada pengukuhan dan pengayaan kemahiran STEM menengah atas melalui aktiviti yang boleh mempamerkan konsep STEM pada peringkat tinggi.

Selain itu, beliau menjelaskan, murid-murid juga perlu memberi perhatian kepada perkara-perkara berikut:

  1. Asas Matematik dan Sains – Memahami dan menguasai konsep-konsep asas dalam matematik dan sains adalah kunci utama termasuklah pemahaman yang kukuh dalam algebra, trigonometri, geometri serta prinsip-prinsip asas sains seperti fizik, kimia dan biologi.
  2. Kemahiran Kritis dan Analitis – Memupuk kemahiran berfikir kritis untuk menilai maklumat, menarik kesimpulan berdasarkan bukti dan menyiasat masalah secara mendalam bagi membantu dalam membuat keputusan yang berasaskan data dan memberikan solusi yang tepat.
  3. Kemahiran Berkomunikasi – Keterampilan untuk menyampaikan idea dan pengetahuan dengan jelas dan efektif adalah penting. Murid perlu dapat berkomunikasi dalam bentuk lisan dan bertulis serta bekerjasama dalam projek kumpulan untuk mencapai objektif bersama.
  4. Kemahiran Teknologi – Memahami dan menggunakan teknologi moden seperti perisian simulasi, pengaturcaraan komputer dan alat-alat digital lain yang relevan dalam pembelajaran dan penyelidikan STEM.
  5. Kolaborasi dan Kerjasama – Kemampuan untuk bekerjasama dengan rakan sebaya, mentor dan pakar dalam bidang STEM untuk mendapatkan pengetahuan tambahan, berdiskusi dan belajar dari pengalaman bersama.
  6. Kesungguhan dan Komitmen – Proses mempelajari STEM memerlukan kesungguhan dan komitmen yang tinggi. Murid perlu bersedia untuk melakukan latihan berterusan, menghadapi cabaran dan memperbaiki diri secara berterusan.

Jelas beliau, apabila pelajar menitikberatkan fokus-fokus tersebut dan mengembangkan kemahiran dalam bidang-bidang yang relevan secara berterusan, pelajar dapat menguasai STEM dengan berkesan dan mempersiap diri untuk mengejar peluang-peluang kerjaya yang menarik di masa hadapan.

Dari perspektif yang lebih luas, Revolusi Industri 4.0 atau 4IR sangat berhubung kait dengan STEM dan revolusi ini membawa transformasi besar dalam teknologi dan ekonomi global.

STEM adalah kunci utama dalam menghadapi 4IR. Walau bagaimanapun, beliau mengakui terdapat cabaran-cabaran yang dihadapi pihak kementerian dalam menggalakkan dan mempromosi STEM dalam kalangan pelajar.

Kurangnya kesedaran dan minat dalam STEM adalah cabaran utama yang dihadapi. Ramai pelajar kurang kesedaran tentang peluang kerjaya dalam bidang STEM selain tidak kurang juga yang berfikiran ‘stereotype’ dengan menganggap bahawa STEM adalah sukar dan hanya untuk pelajar genius turut menghalang minat pelajar.

Kekurangan sumber dan infrastruktur juga menjadi cabaran, terutama bagi sekolah-sekolah di kawasan luar bandar atau kurang berkemampuan yang tidak mempunyai sumber mencukupi seperti makmal sains, peralatan teknologi termasuklah tidak mempunyai guru yang terlatih dalam bidang STEM.

Perubahan kurikulum yang lambat dalam sistem pendidikan untuk disesuaikan dengan perubahan pesat teknologi selain kurikulum yang tidak relevan dengan keperluan industri semasa boleh menyebabkan pelajar kurang bersedia untuk menghadapi 4IR.

Tambah beliau, pendekatan pengajaran konvensional yang terlalu fokus pada teori dan kurang aplikasi praktikal boleh mengurangkan minat pelajar.

Bagi menangani hal ini, pendekatan pembelajaran berasaskan projek dan hands-on untuk meningkatkan keterlibatan pelajar perlu diperbanyakkan.

Kekurangan akses kepada pendidikan berkualiti juga merupakan salah satu cabaran dalam menggalak dan mempromosi STEM.

Menurut beliau, tidak semua pelajar mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti dalam bidang STEM, khususnya mereka yang berpendapatan rendah.

Ketidakseimbangan akses tersebut menimbulkan jurang kemahiran antara pelajar di kawasan bandar dengan luar bandar.

Beliau menambah, kurangnya pembimbing sebagai suri teladan dalam bidang STEM turut menghalang pelajar dari melihat potensi yang ada pada mereka dalam bidang berkenaan. Pembimbing yang baik sangat diperlukan untuk memberi bimbingan dan inspirasi kepada pelajar.

Perubahan teknologi yang cepat dalam 4IR menurut beliau menyebabkan timbul kesulitan dalam memastikan pelajar sentiasa peka dengan kemahiran dan pengetahuan baharu dalam teknologi.

Bagi mengatasi cabaran-cabaran tersebut, beliau menekankan bahawa perlunya kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan, pemain industri termasuk masyarakat untuk memperkuat pendidikan STEM dan memastikan semua individu mempunyai peluang yang adil untuk menceburi bidang tersebut.

Mengulas mengenai kepentingan STEM terhadap pembangunan dan ekonomi negara, beliau menjelaskan bahawa matlamat akhir pendidikan STEM adalah melahirkan murid yang mempunyai literasi STEM yang berupaya untuk mengenal pasti, mengaplikasi serta mengintegrasikan konsep atau komponen STEM untuk memahami masalah dan menyelesaikannya secara kreatif dan inovatif.

Oleh yang demikian, pendekatan pembelajaran yang bersepadu menerusi pendidikan STEM dapat melahirkan pengguna teknologi yang efektif, murid yang boleh mereka bentuk produk dan mencipta produk baharu, berupaya mencipta idea baharu, berfikir secara lojik serta dapat menyelesaikan masalah secara kreatif dan inovatif.

Melalui pendekatan sedemikian, murid berliterasi STEM dapat dilahirkan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan dan ekonomi negara.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article