- Advertisement -spot_img
4,846
published news
and counting

PCDS 2030 Asas Kukuh Membentuk Landskap Sosioekonomi Sarawak

Must read

Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) yang dilancarkan pada Julai tahun 2021 merupakan inisiatif bagi Sarawak menjadi sebuah negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030 melalui inovasi dan data, di mana seluruh rakyat menikmati kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial, dan kelestarian alam sekitar.

PCDS 2030 berpaksikan kepada enam (6) sektor ekonomi utama sebagai pemacu pertumbuhan iaitu Pembuatan, Pertanian Komersial, Pelancongan, Perhutanan, Perlombongan dan Perkhidmatan Sosial.

Enam sektor berkenaan disokong tujuh (7) pemboleh ubah iaitu Transformasi Digital, Inovasi Infrastruktur Asas, Pengangkutan, Utiliti, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan serta Tenaga Boleh Diperbaharui

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyifatkan bahawa PCDS 2030 secara dasarnya telah menyediakan asas kukuh untuk membentuk semula landskap sosioekonomi Sarawak.

Premier Sarawak menyampaikan ucapan penggulungan semasa Persidangan Hari Kelapan Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19

Visi ini sudah mula dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif transformasi di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025).

Melangkah ke hadapan, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) akan menjadi fasa kedua dan terakhir buat PCDS 2030.

Infografik menerangkan secara ringkas tentang PCDS 2030 yang berpaksikan kepada 6 sektor ekonomi utama

Persiapan telah pun dimulakan, dengan perundingan meluas melibatkan kementerian, industri, dan masyarakat sivil untuk memastikan strategi yang inklusif dan komprehensif.

Perkara ini dinyatakan oleh Premier dalam ucapan penggulungan beliau semasa Persidangan Hari Kelapan Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada 20 November 2024.

Menurut Premier, RMKe-13 (2026-2030) akan menjadi titik penting dalam memperkasa inisiatif perintis Sarawak, menangani cabaran mendesak, dan mempercepatkan perjalanan Sarawak untuk mencapai hasil berimpak tinggi yang digariskan dalam PCDS 2030, malah ia akan menjadi penanda aras penting dalam usaha Sarawak menuju kemajuan.

Dalam perjuangan membentuk masa depan Sarawak yang lebih baik, Premier mengimbas kembali pandangan bernas Pemenang Hadiah Nobel, Dr. Joseph Stiglitz semasa Sarawak Future Forum pada Oktober lepas.

Menurut Premier, teori ekonomi Dr. Joseph Stiglitz adalah selari dengan visi beliau untuk Sarawak dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Dalam teorinya, Dr. Joseph Stiglitz menekankan keperluan mendesak untuk memperkenalkan model ekonomi yang mengutamakan kemampanan, keterangkuman, dan daya tahan dalam pembangunan secara menyeluruh.

Seruannya untuk mengutamakan ekonomi hijau sebagai landasan utama ke arah ketahanan dan kesaksamaan yang sejati mengingatkan kita bahawa kemajuan ekonomi tidak seharusnya tertumpu kepada pertumbuhan sahaja, tetapi juga dari aspek menjaga kelestarian alam sekitar serta meningkatkan kesejahteraan seluruh lapisan masyarakat.

Sebagai Pemenang Hadiah Nobel dalam Sains Ekonomi, beliau memuji pendekatan menyeluruh Sarawak melalui PCDS 2030, malah turut mengesahkan komitmen Sarawak untuk bergerak melangkaui metrik Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) konvensional dan ukuran kejayaan yang lazim digunakan.

Sokongan beliau telah memperkukuhkan usaha Kerajaan Sarawak untuk membentuk masa depan yang memfokuskan pada kemakmuran untuk semua, serta memastikan akses yang adil kepada sumber-sumber, terutamanya bagi golongan yang paling terpinggir.

Selain itu, sokongan beliau terhadap inklusiviti sosial juga seiring dengan usaha berterusan Sarawak untuk memperkasakan rakyatnya.

Oleh itu, belanjawan kali ini juga akan terus memberi tumpuan kepada pelaburan terhadap inisiatif yang memberikan manfaat kepada masyarakat di seluruh Sarawak, khususnya melalui pengembangan tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur mesra alam, dan pengurusan sumber yang lebih cekap.

Sebagai tambahan, pelaburan Sarawak dalam transformasi digital dan pendidikan juga adalah untuk memastikan bahawa setiap rakyat Sarawak bersedia untuk merebut peluang yang ada, justeru, ke arah usaha ini, teknologi memainkan peranan yang amat penting.

Pada IDECS 2024, futuris dari Australia, Dr. Jordan Nguyen, turut menyuarakan perkara yang sama dengan menyokong inovasi yang bertanggungjawab dalam kecerdasan buatan (AI) sebagai alat penting untuk mengurangkan ketidaksamaan dan meningkatkan kesejahteraan.

Gabungan perspektif ini menyokong usaha Sarawak untuk membangunkan ekonomi yang menghargai manusia, alam sekitar, dan pertumbuhan mampan, seterusnya mencipta masa depan yang lebih cerah dan inklusif untuk Sarawak.

Secara keseluruhannya, usaha Kerajaan Sarawak di bawah RMKe-13 akan kekal dalam pelbagai aspek, memberi tumpuan kepada tonggak utama seperti mendiversifikasikan ekonomi, inovasi digital, kemampanan alam sekitar, dan kesaksamaan sosial.

Inilah tonggak yang akan memandu Sarawak bagi membina masa depan yang makmur, inklusif, dan mampan untuk semua rakyat Sarawak.

Sarawak bakal menjadi sebuah negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030 melalui inovasi dan data Sumber gambar: https://suarasarawak.my/sarawak-melangkah-penuh-yakin-menuju-kemajuan-dan-kemakmuran-menjelang-2030/
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article