- Advertisement -
5,023
published news
and counting

Lantikan Tetap: Berpencen Atau Bercarum?

Must read

PPermohonan kemasukan ke dalam perkhidmatan awam dalam kalangan rakyat Malaysia dijangka mencecah 1.3 juta tahun ini berbanding 1.2 juta pada tahun lepas berdasarkan jumlah permohonan yang diterima oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) dari semasa ke semasa.

Data tersebut memberi gambaran bahawa kerjaya dalam sektor awam masih menjadi pilihan ramai orang, biarpun kerajaan memutuskan untuk tidak lagi meneruskan skim pencen bagi lantikan baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Di bawah SSPA, pelantikan penjawat awam baharu akan dilaksanakan secara Lantikan Tetap dan Bercarum (LTB).

Ini bermakna, penjawat awam baharu akan menikmati skim perkhidmatan tetap secara bercarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Secara ringkasnya, pegawai lantikan skim LTB mendapat jaminan kerjaya jangka panjang di samping menerima simpanan persaraan KWSP dalam bentuk akaun individu caruman seperti pekerja sektor swasta.

Rasionalisasi di sebalik pelaksanaan LTB adalah untuk mewujudkan sistem perkhidmatan awam yang lebih fleksibel serta mampan dari segi fiskal di pihak kerajaan.

Kerajaan menjangkakan bahawa unjuran pembayaran pencen akan mencecah sekitar RM120 bilion menjelang tahun 2040, memberikan bayangan bahawa beban perbelanjaan kerajaan akan meningkat.

Oleh yang demikian, pelaksanaan lantikan bercarum bagi menggantikan lantikan berpencen dalam perkhidmatan awam adalah salah satu langkah yang diambil kerajaan dalam mengurangkan bebanan tersebut.

Dari sudut pandang yang lebih luas, keputusan untuk memansuhkan lantikan berpencen perlu mengambil kira faktor yang mewujudkan situasi sama menang di antara kakitangan awam dan pihak kerajaan.

Dalam hal ini, strategi jangka panjang harus dilaksanakan oleh kerajaan dan banyak faktor lain juga yang perlu diambil kira.

Sehubungan itu, satu tinjauan awam telah dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dari 1 Jun hingga 30 Jun lepas untuk mendapatkan pandangan orang ramai berkenaan pelaksanaan LTB.

Menurut JPA, pandangan kolektif daripada orang ramai penting untuk diambil kira bagi membentuk perkhidmatan awam yang lestari dan inklusif.

Pelaksanaan LTB di peringkat Persekutuan mendapat reaksi positif daripada Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki yang menyamakan skim berkenaan dengan skim Jawatan Berasaskan Caruman (JBC) dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak.

Menerusi bual bicara dengan sebuah akhbar tempatan, beliau menyifatkan JBC sebagai langkah strategik yang diambil oleh kerajaan untuk memodenkan perkhidmatan awam.

Skim JBC pada pandangan beliau adalah lebih fleksibel kerana membolehkan penjawat awam bertukar kerjaya dalam sektor swasta pada bila-bila masa tanpa perlu risau untuk ‘mengorbankan’ pencen.

Penjawat awam yang dilantik di bawah JBC tetap akan menikmati semua kelebihan yang dinikmati oleh penjawat awam lantikan skim pencen di bawah sistem terdahulu seperti kemudahan perubatan, pinjaman perumahan dan sebagainya.

JBC telah pun dilaksanakan di Sarawak sejak 2014 berdasarkan arahan Pekeliling Perjawatan Negeri Sarawak Bilangan 12 Tahun 2014 berkenaan perkara Tatacara Pengurusan Jawatan Berasaskan Caruman (JBC) bagi Pentadbiran Awam Negeri Sarawak.

Arahan pekeliling tersebut terpakai untuk semua kementerian, jabatan dan agensi di bawah Pentadbiran Awam Negeri Sarawak termasuk badan-badan berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Selama ini, skim lantikan berpencen, sama ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri merupakan salah satu faedah utama yang dinikmati oleh kakitangan kerajaan melalui sistem saraan lama sektor awam, iaitu Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Menerusi kelebihan tersebut, timbul naratif umum bahawa bekerja dalam sektor awam adalah lebih baik berbanding dengan sektor swasta kerana memberikan jaminan kewangan seumur hidup selepas bersara.

Skim pencen juga menjadi faktor utama yang menarik minat pencari kerja untuk berkhidmat dalam sektor awam.

Tidak dinafikan bahawa faedah skim pencen membantu mengurangkan kebimbangan tentang perbelanjaan pada usia emas kerana pesara akan mempunyai sumber pendapatan yang berterusan dan boleh diwarisi oleh pewaris mengikut syarat dan kelayakan yang ditetapkan.

Walau bagaimanapun, sesetengah kakitangan kerajaan memilih skim caruman KWSP kerana skim tersebut membolehkan mereka merancang kewangan dengan lebih baik untuk memenuhi keperluan hidup selepas bersara.

Simpanan KWSP boleh dikeluarkan sekali gus atau secara berkala, lantas memberikan lebih kebebasan untuk kakitangan kerajaan lantikan bercarum mengurus wang persaraan.

Secara kesimpulannya, lantikan berpencen dan lantikan bercarum ada kelebihan masing-masing. Kedua-duanya mempunyai kekuatan tersendiri yang bergantung pada matlamat kerjaya, perancangan kewangan serta keperluan jangka panjang individu.

Rujukan:

- Advertisement -

1. https://www.sinarharian.com.my/article/734916/berita/nasional/permintaan-sertai-perkhidmatan-awam-kekal-tinggi-spa-jangka-13-juta-permohonan#google_vignette

2. https://www.facebook.com/myjpa/posts/lantikan-tetap-bercarum-jpa-sedang-mengkaji-di-bawah-sspa- namun-lantikan-pegawai/864719735694830/

3. https://suarasarawak.my/lantikan-baharu-berasaskan-caruman-bermula-tahun-ini/

4. Pekeliling Perjawatan Negeri Sarawak Bilangan 12 Tahun 2014

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article