Sarawak masih berdepan cabaran besar dalam memastikan kelestarian sumber lautnya. Walaupun dasar Ekonomi Biru dan usaha pemuliharaan biodiversiti marin diterajui Sarawak Forestry Corporation (SFC) giat dilaksanakan, persoalan yang masih timbul sejauh mana keberkesanan polisi ini dalam menjamin kelestarian jangka panjang di Sarawak.
Adakah penguatkuasaan mencukupi dengan garis pantai Sarawak sepanjang lebih 700 km dan sejauh mana masyarakat pesisir benar-benar memahami tanggungjawab mereka terhadap laut.
Sudah pasti, semua pihak memainkan peranan penting untuk memastikan sumber marin Sarawak terus menjadi aset ekonomi dan ekologi yang mapan.
Berdasarkan statistik Jabatan Perikanan Laut Malaysia, hasil tangkapan atau pendaratan ikan laut Sarawak menunjukkan penurunan sejumlah 157,249 tan metrik pada tahun 2014 berada pada kedudukan ke 3 (pendaratan ikan laut tertinggi kepada sejumlah 96,103 tan metrik (2024) dan sejumlah 94,341 tan metrik (2023) masing-masing pada kedudukan ke 6. Angka ini masih kecil berbanding potensi sebenar laut Sarawak
Tidak dinafikan, Kerajaan Sarawak melalui Ekonomi Biru telah menekankan pembangunan sektor perikanan berasaskan sains, akuakultur moden, tenaga boleh diperbaharui, dan pelancongan marin. SFC pula melaksanakan pemuliharaan biodiversiti marin melalui perlindungan kawasan seperti Taman Negara Talang-Satang, program perlindungan penyu, serta perletakan tukun tiruan.
Projek Reef Ball Sarawak kini telah pun siap sepenuhnya (Fasa 1-2018-2021) dan (Fasa 2-2022-2025) dengan lebih daripada 21,800 unit tukun dilabuhkan sepanjang pesisir pantai negeri, menjadikannya “World’s Longest Reef Ball Barrier Reef” sejauh 746 km. Kesan ketara termasuk pemulihan ekosistem marin, peningkatan stok ikan, perlindungan habitat, dan pengiktirafan antarabangsa.
Walaupun terdapat maklum balas bahawa stok ikan di kawasan pemasangan reef ball meningkat antara 20–30% dalam tempoh 3 hingga 5 tahun selepas pemasangan, ia perlu lah diperkukuhkan dengan statistik yang kukuh, adakah nelayan pesisir melaporkan hasil tangkapan lebih konsisten berbanding sebelum ini.
Inisiatif ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan terhadap kelestarian. Namun, keberkesanan sebenar bergantung pada sejauh mana polisi ini diterjemahkan di lapangan.
Laporan menunjukkan masih berlaku penangkapan ikan secara berlebihan dan pencemaran pesisir.
Pada tahun 2025, sebanyak 11,938 pemeriksaan dilakukan Maritim Malaysia di perairan Sarawak dengan 81 tangkapan melibatkan 353 individu direkodkan atas pelbagai kesalahan maritim.
Kesalahan tertinggi melibatkan pelanggaran Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, selain kes perikanan tanpa lesen dan penggunaan peralatan tidak sah.
Di Malaysia, tiada “musim tangkapan ikan” yang ditetapkan secara umum, tetapi Jabatan Perikanan Malaysia menggariskan peraturan khusus melalui Akta Perikanan 1985 (dan pindaan 2025) yang menetapkan zon, kaedah, dan tempoh tertentu untuk aktiviti menangkap ikan.
Peraturan ini termasuk larangan penggunaan pukat tunda di zon pantai, keperluan permit, serta kawalan terhadap spesies tertentu
Malaysia tidak menetapkan tempoh musim tangkapan ikan secara umum, tetapi mengawal melalui zon perikanan, kaedah tangkapan, dan permit khas.
Di Sarawak, keberkesanan polisi ini bergantung pada penguatkuasaan dan kesedaran masyarakat pesisir. Tanpa pematuhan ketat, usaha pengurusan mapan sumber laut akan terus berdepan cabaran.
Beberapa kes penguatkuasaan di Sarawak dan Malaysia menunjukkan bagaimana aktiviti perikanan haram dan pelanggaran undang-undang boleh menggugat pembangunan mapan sumber laut.
Antara kes besar termasuk tangkapan bot nelayan asing, penggunaan pukat tunda di zon larangan, serta kesalahan perkapalan yang menjejaskan ekosistem marin.
Walaupun terdapat program pendidikan, tahap kesedaran komuniti pesisir masih rendah. Ramai nelayan kecil bergantung kepada kaedah tradisional tanpa memahami impak jangka panjang terhadap stok ikan.
Kekurangan infrastruktur jeti moden, bilik sejuk, dan pusat pengedaran menyebabkan hasil tangkapan tidak dioptimumkan yang turut mengurangkan daya saing Sarawak berbanding negeri lain.
Bagi mengatasinya, beberapa pendekatan penyelesaian perlu dilaksanakan seperti memperkukuh penguatkuasaan seperti Undang-undang perlindungan laut mesti dipantau dengan lebih tegas, termasuk penggunaan teknologi satelit dan dron untuk mengesan aktiviti haram.
Begitu juga dengan meningkatkan kesedaran masyarakat: Program pendidikan perlu lebih inklusif, melibatkan komuniti pesisir sebagai rakan kongsi, bukan sekadar penerima arahan.
Pembangunan akuakultur berasaskan teknologi moden juga boleh mengurangkan tekanan kepada kebergantungan stok ikan laut.
Dari sudut kerjasama, agensi seperti SFC, Jabatan Perikanan Laut, Komuniti nelayan termasuklah agensi penguatkuasaan seperti Maritim Malaysia perlu bergabung dalam model pengurusan bersama.
Paling penting, model ini perlu disepadukan dan diintegrasikan dengan agenda global dengan matlamat pembangunan kelestarian (SDG) agar mendapat sokongan dana dan kepakaran antarabangsa.
Mengambil contoh, negara luar seperti Iceland, Norway, Filipina, dan Australia menunjukkan bahawa polisi yang tegas, penguatkuasaan berkesan, serta penglibatan komuniti mampu meningkatkan stok ikan dan biodiversiti secara signifikan.
Iceland, melaksanakan responsible fisheries dengan kerjasama kerajaan, industri, dan institut penyelidikan. Hasilnya, stok ikan kekal stabil dan industri perikanan menjadi tonggak ekonomi negara.
Negara Norway pula menggunakan pendekatan ekosistem dan teknologi seperti machine vision untuk mengesan spesies dan mengawal tangkapan. Polisi ini berjaya mengekalkan stok ikan di Laut Barents secara mampan.
Begitu juga, Filipina: Kajian kes di Binaliw dan Malabrigo menunjukkan bahawa Marine Protected Areas (MPAs) meningkatkan hasil tangkapan nelayan kecil dan memulihkan biodiversiti
Australia (Great Barrier Reef), pula melaksanakan Reef 2050 Long-Term Sustainability Plan dengan pelaburan lebih RM4 bilion sejak 2015. Polisi ini berjaya mengurangkan pencemaran air dan meningkatkan daya tahan ekosistem terumbu.
Sumber
Department of Fisheries Malaysia. (n.d.). Perangkaan perikanan I. Department of Fisheries Malaysia. Retrieved April 12, 2026, from https://www.dof.gov.my/sumber/perangkaan-perikanan-i/
Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia. (n.d.). Laporan tahunan. LKIM. Retrieved April 12, 2026, from https://www.lkim.gov.my/laporan-tahunan/
Jabatan Perikanan Laut Sarawak. (n.d.). Jabatan Perikanan Laut Sarawak. Retrieved April 12, 2026, from https://www.govserv.org/MY/Kuching/169805160622876/Jabatan-Perikanan-Laut-Sarawak
Government of Malaysia. (n.d.). Fish landings data catalogue. Data.gov.my. Retrieved April 12, 2026, from https://data.gov.my/ms-MY/data-catalogue/fish_landings
Utusan Borneo. (2025, June 26). Kaedah penanaman tukun reef ball menunjukkan kesan positif. Utusan Borneo. https://www.utusanborneo.com.my/2025/06/26/kaedah-penanaman-tukun-reef-ball-menunjukkan-kesan-positif
Jiwa Bakti. (n.d.). 21,800 tukun reef ball dilabuh. Jiwa Bakti. Retrieved April 12, 2026, from https://jiwabakti.com.my/21800-tukun-reef-ball-dilabuh/
Premier of Sarawak. (n.d.). News view: Reef ball project. Premier Sarawak. Retrieved April 12, 2026, from https://premier.sarawak.gov.my/web/subpage/news_view/5503
DayakDaily. (n.d.). Sarawak in final stages of deploying 300 artificial reefs under reef ball project phase 2. DayakDaily. Retrieved April 12, 2026, from https://dayakdaily.com/sarawak-in-final-stages-of-deploying-300-artificial-reefs-under-reef-ball-project-phase-2/
Rakan Sarawak. (2024, August 30). A milestone in marine biodiversity conservation. Rakan Sarawak. https://www.rakansarawak.com/v3/2024/08/30/a-milestone-in-marine-biodiversity-conservation/
Sarawak Forestry Corporation. (2025, n.d.). Lawatan ke aktiviti pemantauan reef ball projek rakyat. Facebook. Retrieved April 12, 2026, from https://www.facebook.com/sfcsarawak/posts/lawatan-ke-aktiviti-pemantauan-reef-ball-projek-rakyat-sarawak-forestry-corporat/679365647560769/






