31 C
Kuching
Sunday, February 28, 2021

Ciri-ciri yang Membentuk Masyarakat Maju

Kemajuan sesebuah negara bukan semata-mata diukur berdasarkan pada teknologi atau infrastruktur yang maju, namun yang lebih penting adalah terdiri daripada sebuah masyarakat yang maju.

Cabaran untuk mewujudkan masyarakat saintifik dan maju atau progresif merupakan salah satu daripada sembilan cabaran strategik dalam Wawasan 2020.

Masyarakat maju yang ditakrifkan dalam wawasan berkenaan ialah masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan.

Walau bagaimanapun, terdapat ciri-ciri masyarakat maju yang boleh menyumbang kepada kemajuan sesebuah negara.

Pendidikan adalah teras pembentukan masyarakat maju

Ciri utama masyarakat maju ialah masyarakat yang kurang bebanan kewangan. Kurang bebanan kewangan di sini bermaksud masyarakat memiliki akses kepada keperluan asasi hidup dengan lebih mudah, tidak perlu berhutang dengan jumlah yang besar dan mempunyai jadual ansuran dalam jangka masa yang lama.

Selain itu, mengalami pertumbuhan pendapatan yang berpatutan seterusnya mempunyai kuasa membeli yang munasabah.

Ciri kedua masyarakat maju ialah masyarakat yang mempunyai nilai moral yang tinggi. Memiliki atau menguasai ilmu atau mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi bukanlah pra syarat kepada seseorang individu untuk mempunyai nilai moral yang tinggi.

Tidak dinafikan bahawa terdapat individu yang berpendidikan tinggi, namun juga cenderung untuk mempunyai nilai moral yang rendah apabila mengambil kesempatan di atas ilmu yang dimiliki untuk kepentingan peribadi dan bukannya untuk kepentingan masyarakat dan negara.

Nilai moral dalam masyarakat maju yang dimaksudkan termasuklah menghormati sesama manusia, taat perintah agama serta mematuhi undang-undang negara, beretika dan bersopan santun.

Yang ketiga, masyarakat maju ialah masyarakat yang mempunyai sistem jaringan sosial yang kukuh, iaitu bermula dari institusi keluarga.

Keluarga merupakan pusat pendidikan pertama bagi generasi yang akan dilahirkan. Ramai yang percaya bahawa kekukuhan institusi keluarga adalah jaminan hak asasi seorang manusia.

Dalam institusi keluarga, ibu bapa memainkan peranan penting dan memikul tanggungjawab yang besar dalam membimbing anak-anak merencana kehidupan mereka.

Kanak-kanak merupakan golongan yang mudah rapuh dan cenderung melakukan kesilapan. Oleh itu, ibu bapa perlu mendidik anak-anak dengan pendekatan yang bijak seperti pendekatan sebab-akibat tanpa terlalu menghukum.

Selain itu, sistem jaringan sosial yang kukuh adalah kunci perpaduan masyarakat setempat yang merangkumi saudara-mara dan jiran tetangga.

Masyarakat yang saling mengambil berat hasil daripada jaringan sosial yang erat akan bertanggungjawab dalam perkara-perkara yang berlaku dalam masyarakat seperti jenayah, kemiskinan yang tidak diketahui umum atau tidak dilapor, gotong royong dan saling menasihati demi kebaikan bersama.

Keempat, masyarakat yang cintakan ilmu pengetahuan juga ditakrifkan sebagai ciri masyarakat yang maju.

Hal ini dikatakan demikian kerana mencintai ilmu mendorong manusia untuk mencapai kejayaan dalam hidup.

Ilmu pengetahuan tidak hanya boleh dipelajari di sekolah atau institut pendidikan tinggi, malah juga boleh dipelajari daripada kemahiran dalam bidang tertentu dan juga persekitaran.

Keazaman dan kemahiran yang tinggi juga boleh menjadi jalan kepada seseorang individu mencapai kejayaan dalam hidup termasuklah kejayaan dalam ekonomi.

Akhir sekali, masyarakat yang maju ialah masyarakat yang bersedia untuk melakukan inovasi termasuklah mengambil kira idea dan pandangan orang lain.

Sebagai contoh, majikan dalam sesebuah organisasi perlu bersedia untuk memberi peluang kepada generasi baharu memberikan pandangan dan mencuba kaedah yang berbeza dalam produktiviti.

Demikian juga halnya dengan pemerintahan sesebuah negara. Para pemimpin perlu melihat dalam konteks masyarakat umum yang lazimnya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Proses ‘mengadun’ ciri-ciri tersebut ke dalam masyarakat pastinya mengambil masa yang lama, namun boleh dilakukan dengan kerjasama erat oleh semua pihak.

Oleh yang demikian, membentuk masyarakat maju seharusnya diutamakan kerana apabila tercapainya hasrat tersebut, matlamat sebagai sebuah negara maju dapat dicapai dengan sendirinya.

 
An eyewitness to Sarawak’s transformation

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

943FansLike
1,667FollowersFollow
21SubscribersSubscribe
- Advertisement -

Latest Articles