31.8 C
Kuching
Tuesday, April 20, 2021

Memperkasa Kemahiran dan Keupayaan Digital Komuniti

Inisiatif mewujudkan Pusat Komuniti Digital atau Digital Community Centre (DCC) menerusi kerjasama di antara Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak (MLGH), Pustaka Negeri Sarawak dan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) bermatlamat memperkasa kemahiran dan keupayaan bakat komuniti yang lestari serta dapat merapatkan jurang capaian internet di antara kawasan bandar dengan luar bandar.

Setakat ini, sebanyak 42 perpustakaan komuniti di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dikenal pasti untuk dijadikan sebagai DCC.

Perpustakaan Desa Pekan Batu Kawa merupakan antara perpustakaan pertama yang dinaiktaraf menjadi DCC sejak 7 Oktober 2020.

Diletakkan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Padawan, DCC Perpustakaan Desa Pekan Batu Kawa kini turut memainkan peranan dalam meningkatkan kecekapan dan persediaan komuniti dalam ekonomi digital.

Menurut Ketua Seksyen Komuniti, Korporat dan Perpustakaan MPP, Nor Aziah binti Jumaini, perpustakaan berkenaan baru dua tahun dinaiktaraf sebagai Pusat Komuniti Pekan Batu Kawa pada 18 Oktober 2018 sebelum dinaiktaraf sebagai DCC sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2020.

Kemudhan Ipad yang terdapat di DCC Perpustakaan Desa Pekan Batu Kawa

Jelas beliau, selain menawarkan perkhidmatan pinjaman buku, DCC ini juga memiliki kemudahan tambahan seperti WiFi percuma, kemudahan multimedia seperti komputer dan komputer riba, Ipad, kamera web, projektor, skrin putih serta sebuah bilik seminar.

Dari segi bilangan pengunjung, hanya hampir 40 orang pengunjung dicatatkan setakat Januari 2021, disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan berikutan penularan pandemik COVID-19 berbanding dengan jumlah pada tahun sebelumnya, iaitu seramai 1,264 orang.

Seorang kanak-kanak ditemani ibunya menggunakan kemudahan internet di DCC Perpustakaan Desa Pekan Batu Kawa

Manakala statistik pengunjung untuk tahun lepas (2020) pula majoritinya merupakan kanak-kanak, iaitu seramai 916 orang diikuti dewasa seramai 348 orang.

Yang turut berkongsi pandangan ialah Pelatih GETS (Graduate Enhancement Training Sarawak) yang ditugaskan di DCC tersebut, Kamalia Anum binti Zainal.

Menurut Kamalia, usaha kerajaan mewujudkan DCC sangat memberi impak positif kepada komuniti, terutamanya kanak-kanak.

Kamalia berbesar hati kerana berpeluang membantu komuniti dalam asas kemahiran komputer, khususnya di sekitar Pekan Batu Kawa sama ada secara bersemuka mahupun secara dalam talian.

Program asas kemahiran komputer untuk kanak-kanak yang diadakan di DCC Perpustakaan Desa Pekan Batu Kawa

DCC tersebut juga menurutnya kini menjadi pusat rujukan bagi mereka yang kurang mahir dalam digital dan mereka yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut berkaitan ekonomi digital.

Kamalia yang kini sudah berkhidmat di situ selama enam (6) bulan pernah terlibat dalam program komuniti berasaskan digital antaranya program PANDei, GO-Digital ASEAN & Reading SEEDS di bawah Program Inklusiviti Digital, pertandingan bercerita secara dalam talian, perkongsian ilmu kemahiran asas komputer, aktiviti seni digital dan kraf tangan dan sebagainya.

Malah, menurut Kamalia, sambutan daripada masyarakat setempat dan dari kawasan luar berhampiran Pekan Batu Kawa dalam aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan begitu menggalakkan.

Seorang lagi pelatih GETS yang berkhidmat di DCC tersebut, Norasyikin binti Hipni yang masih menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) juga berkongsi pandangan.

Ruang atas perpustakaan yang turut menyediakan kemudahan bilik seminar

Norasyikin berpendapat, dengan adanya kemudahan bilik seminar di DCC tersebut, beliau dapat mengadakan perbincangan secara berkumpulan.

Kemudahan internet yang terdapat di situ membolehkan beliau mengikuti pembelajaran secara dalam talian dan membuat pembentangan.

Di samping itu, Norasyikin turut membantu komuniti setempat dengan mengguna pakai ilmu pengetahuan yang dipelajari di universiti tentang cara-cara menulis tugasan, statistik, kemahiran keusahawanan dan sebagainya.

Emily Boo Ee Huoy

Bagi Emily Boo Ee Huoy, dia sering ke DCC Perpustakaan Desa Pekan Batu Kawa untuk mendapatkan perkhidmatan internet bagi menjalankan perniagaan pakaian terpakai dan produk kecantikan dalam talian yang diusahakannya secara kecil-kecilan.

Ada kalanya, Emily mendapatkan bimbingan dan tunjuk ajar daripada kakitangan yang berkhidmat di DCC berkenaan tentang bagaimana untuk meningkatkan pendapatan melalui perniagaan dalam talian.

Capaian internet yang disediakan di situ juga sangat baik, jelasnya.

Emily turut menyeru ibu bapa dalam kalangan komuniti setempat supaya menggalakkan anak-anak mereka berkunjung ke DCC Perpustakaan Desa Pekan Batu Kawa dalam usaha mendedahkan generasi muda dalam perkembangan teknologi, ICT dan digital. Melalui tindakan strategik sejajar dengan pewujudannya, DCC Perpustakaan Desa Pekan Batu Kawa mampu membentuk komuniti yang bersedia secara digital di samping berperanan mempromosi budaya penyertaan digital yang inklusif di kalangan masyarakat.

(Dari kiri) Norasyikin binti Hipni, Nor Aziah binti Jumaini dan Kamalia Anum binti Zainal

 
An eyewitness to Sarawak’s transformation

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

994FansLike
1,667FollowersFollow
21SubscribersSubscribe
- Advertisement -

Latest Articles