31.8 C
Kuching
Tuesday, April 20, 2021

Perdana Menteri Luang Masa Tinjau Peniaga di Medan Niaga Satok

Perdana Menteri YAB Datuk Patinggi Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin telah mengadakan walkabout Program Prihatin dan Penjana di Medan Niaga Satok, Kuching pada 2 April 2021 sempena lawatan kerja rasmi beliau di Sarawak.

Yang mengiringi beliau ialah Ketua Menteri Sarawak YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg serta Timbalan Ketua Menteri YB Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan.

Program walkabout oleh Perdana Menteri diadakan bagi mendekati rakyat dan berinteraksi dengan para penerima Bantuan Prihatin dan Penjana yang berniaga di Medan Niaga Satok dengan lebih dekat.

Perdana Menteri meninjau gerai hasil hutan En. Bobby anak Kimliang yang juga penerima BPN, BPR dan GKP

Secara keseluruhan, semua peniaga di Medan Niaga Satok telah menikmati bantuan yang disediakan melalui beberapa pakej yang diumumkan Kerajaan Persekutuan sama ada secara langsung mahupun tidak langsung, merangkumi Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Prihatin Rakyat dan Geran Khas Prihatin (GKP).

Perdana Menteri yang juga ditemani isteri, YABhg Datin Patinggi Puan Sri Hajah Noorainee binti Haji Abdul Rahman sempat beramah mesra dengan tiga orang usahawan yang merupakan penerima bantuan BPN, BPR dan GKP.

Perdana Menteri dan rombongan berkunjung ke gerai produk IKS milik En. Mohd Fadhil bin Aren dan Puan Dayang Salmah binti Abang Budin yang juga penerima GKP

Beliau dan rombongan turut menikmati jamuan dan beramah mesra dengan para pengusaha gerai makanan dan minuman di Benteng, Medan Niaga Satok.

Sejak pandemik COVID-19 melanda negara lebih setahun lalu, Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama Kerajaan Sarawak dengan sokongan padu rakyat bertungkus lumus berganding bahu dalam menangani kesan negatif penularan wabak COVID-19 yang menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat, kelangsungan perniagaan dan ekonomi negara.

Perdana Menteri yang diiringi isteri, Ketua Menteri Sarawak serta beberapa orang menteri kabinet negeri dan persekutuan beramah mesra dengan salah seorang peniaga di Benteng, Medan Niaga Satok

Bagi mengurangkan beban rakyat, lima (5) pakej rangsangan ekonomi diumumkan bermula dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pada 27 Mac 2020 diikuti PRIHATIN PKS Tambahan pada 6 April 2020.

Seterusnya, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) diumumkan pada 5 Jun 2020, Kerangka Inisiatif Tambahan Khas (KITA PRIHATIN) pada 23 September 2020 dan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) pada 18Januari 2021 dengan nilai keseluruhan pakej berjumlah RM320 bilion.

Bantuan terkini yang telah diumumkan kerajaan ialah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi atau PEMERKASA bernilai RM20 bilion dengan suntikan fiskal baharu oleh kerajaan berjumlah RM11 bilion.

Bantuan kewangan one-off di bawah GKP telah sedikit sebanyak meringankan beban 848,000 usahawan mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di seluruh negara yang bernilai RM2.55 bilion.

Manakala di Sarawak pula, seramai 31,058 penerima mendapat manfaat daripada GKP dengan jumlah bantuan RM93.2 juta.

Sehingga Mac 2021, sejumlah RM18.2 bilion di bawah BPN dan BPR Fasa 1 telah disalurkan dan memanfaatkan seramai 10.9 juta penerima daripada golongan bujang, B40 dan M40.

Di Sarawak, sejumlah RM1.8 bilion disalurkan di bawah bantuan ini dengan seramai 1.94 juta orang penerima.

 
An eyewitness to Sarawak’s transformation

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

994FansLike
1,667FollowersFollow
21SubscribersSubscribe
- Advertisement -

Latest Articles