Inovasi Untuk Terus Kekal Berdaya Saing

0
191

Inovasi bukan sahaja berperanan sebagai langkah kreatif untuk menyelesaikan masalah, malah mampu melonjakkan pencapaian sesebuah negara ke tahap yang lebih cemerlang dan terus kekal berdaya saing serta relevan dalam arus kepesatan globalisasi.

Berdasarkan Laporan Produktiviti 2021 yang dikeluarkan Perbadanan Produktiviti Negara (MPC), edisi ke-28 merumuskan bahawa pelbagai cabaran ekonomi global dan domestik termasuklah penularan COVID-19 yang melanda Malaysia menyebabkan negara merekodkan penguncupan produktiviti buruh sebanyak -5.5% dengan tahap produktiviti RM89,025 pada tahun 2020 berbanding dengan tahun 2019 di mana tahap produktiviti adalah RM93,973.

Bagi mengatasi situasi tersebut, rakyat perlulah membuat anjakan berganda (quantum leap) dalam menggalakkan inovasi dan mewujudkan ekosistem untuk rakyat menyumbang ke arah taraf hidup yang lebih tinggi selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia bagi memastikan tiada rakyat Malaysia yang ketinggalan dalam gelombang pendigitalan.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Negara (MPC), YBhg Dato’ Abdul Latif bin Haji Abu Seman ketika merasmikan Penutupan dan Penganugerahan (Regional Innovation Showcase on Team Excellence (RISTEx) 2021 turut menekankan transformasi negara ke arah ekonomi digital pada masa hadapan melalui evolusi yang pesat dalam Industri 4.0 perlu menekankan kepada sistem kerja yang lebih bersifat automasi dan robotik.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), YBhg Dato’ Abdul Latif bin Haji Abu Seman

Bagi mendepani era Industri 4.0 ini, yang menekankan kepada digital economy, artificial intelligence, big data, robotic, Internet of Things (IoT), integrasi sistem dan sebagainya, maka memerlukan pekerja yang mampu berfikir secara kreatif, berkemahiran tinggi yang cekap dan pantas.

Menurut beliau, pekerja beginilah yang akan mengawal dan menggerakkan mesin serta robot untuk membantu meningkatkan produktiviti perusahaan dan menuntut semua supaya memajukan diri dengan mempelajari kemahiran-kemahiran baharu sesuai dengan keperluan pekerjaan dalam Industri 4.0.

Perkembangan dan kemajuan di dalam revolusi baharu ini, menurut beliau amat bergantung kepada teknologi internet dan analisis data yang besar bagi memacu pengeluaran, perkhidmatan mahupun perniagaan.

Melihat kepada perkembangan ini, jelas beliau semua organisasi disarankan tidak hanya terus bergantung kepada modal dan buruh sebagai pendorong produktiviti, malah transformasi ini perlulah didorong oleh pekerja, proses dan teknologi dalam syarikat tersebut.

Ini turut menuntut kesediaan kita untuk mengadaptasi dengan revolusi ini dan kita perlu  segera mengadaptasi transformasi digital, menggalakkan inovasi dan mewujudkan ekosistem untuk kita menyumbang ke arah meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.

Untuk kita kekal kompetitif dan berdaya saing, kita perlu mencipta pelbagai cetusan idea yang berinovatif dalam sistem penyampaian perkhidmatan seiring dengan arus globalisasi yang pesat.

Melalui RISTEx anjuran MPC misalnya telah berjaya merekodkan penjimatan kos sebanyak RM490 juta daripada 202 kumpulan Team Excellence (TE) dari 98 organisasi.

Program RISTEx kali ini telah melibatkan penyertaan seramai 1,304 orang  dari  401 peserta dari sektor Perkilangan, 305 peserta dari sektor Perkhidmatan, 48 peserta dari sektor Elektrik dan Elektronik dan 550 peserta dari sektor Kerajaan.

Pada majlis tersebut, sebanyak 196 projek inovasi telah  mendapat pengiktirafan Emas dan layak untuk bertanding ke Peringkat Kebangsaan iaitu di Annual Productivity and Innovation Showcase (ArISe) 2021 yang akan berlangsung secara atas talian pada 15 hingga 18 November 2021.

Pengarah MPC Wilayah Sarawak, Hajah Nor Hafizah Mohd Arop turut mengumumkan senarai pemenang bagi RISTEx Wilayah Sarawak 2021

Selain itu, 10 kumpulan TE telah berjaya menerima anugerah persembahan video terbaik dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM500.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]