OACP Beri Impak Positif Kepada Organisasi

0
52

Sebelum pembangunan dan pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP), Pentadbiran Bahagian Bintulu pada dasarnya sudah lama mengamalkan tadbir urus seperti penubuhan Jawatankuasa Anti Rasuah di peringkat bahagian.

Jawatankuasa Anti Rasuah berkenaan disertai Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri di Bahagian Bintulu serta pelaksanaan Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) sejak 2019.

Para pegawai di semua peringkat telah melaksanakan tanggungjawab secara telus dan berhemah dari segi pengambilan dan penyampaian hasil, budaya kerja, dasar, strategi serta tatacara dalam berurusan dengan pelbagai pihak berkepentingan (Stakeholders).

Residen Bahagian Bintulu YBhg Datu Jack Aman Luat

Selain itu, Pentadbiran Bahagian Bintulu turut berkolaborasi dengan Unit Integriti Dan Ombudsman Negeri (UNION), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Institut Integriti Malaysia (IIM) dan lain-lain bagi menjayakan penganjuran pelbagai jenis program dan aktiviti pengukuhan integriti.

Perkara ini dinyatakan oleh Residen Bahagian Bintulu YBhg Datu Jack Aman Luat yang ditemu bual RAKAN Sarawak baru-baru ini secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom.

Menurut beliau, OACP dilihat sebagai satu pelan yang lebih menyeluruh yang berupaya memberikan impak positif yang berkekalan kepada Pejabat Residen Bintulu.

OACP Pentadbiran Bahagian Bintulu (OACP-PBB) yang telah dilaksanakan pada 1 April 2021 merupakan satu dokumen dasar antirasuah di peringkat organisasi yang bertujuan untuk menangani permasalahan dan kelemahan tadbir urus, integriti dan antirasuah dalam organisasi.

OACP-PBB diperkenalkan setelah mengambil kira pandangan pelbagai lapisan penjawat awam yang bertugas di setiap bahagian, seksyen dan unit di Pentadbiran Bahagian Bintulu menerusi sesi bengkel dan penganalisisan data-data yang sedia ada.

OACP-PBB akan memacu dan mencetus ke arah merekayasakan kebertanggungjawaban, ketelusan dengan menerapkan prinsip integriti dan semangat akauntabiliti yang tinggi dalam sistem dan prosedur di semua peringkat.

OACP-PBB bermatlamat untuk menangani permasalahan dan kelemahan tadbir urus, integriti dan antirasuah dalam organisasi

Jelas beliau, beberapa bidang berisiko yang terdedah kepada perlakuan rasuah telah dikenal pasti melalui kajian dan analisis terperinci terhadap data primer dan sekunder, dapatan kajian dan perancangan senario.

Hasilnya, OACP-PBB telah menggariskan sebuah kerangka inklusif yang memayungi strategi yang menyeluruh dalam memerangi jenayah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa Ketua Jabatan yang dilantik sebagai Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi Organisasi (JPTO) memainkan peranan penting untuk menyelaras dan memastikan pembangunan OACPserta memantau pelaksanaan dan juga pematuhan pelan ini.

JPTO juga perlu melantik ahli dalam Jawatankuasa Pembangunan OACP (JP-OACP)serta ahli dalam Sekretariat Penyelaras OACP (SP-OACP).

BengkelPembangunan OACP-PBB di Pejabat Residen Bahagian Bintulu (Januari – Februari 2021)

Selain itu, JPTO perlu memperuntukkan sumber kewangan, tenaga dan logistik bagi tujuan pembangunan serta pelaksanaan OACP, selain memberikan autoriti kepada JP-OACP melaksanakan keterlibatan, perbincangan, semakan kajian dan penelitian terhadap segala kelemahan.

Antara lain, JP-OACP bertanggungjawab untuk membangun dan melaporkan terus perkembangan pembangunan OACPkepada JPTO dan bertanggungjawab untuk menganjurkan sesi pra-bengkel bagi mengumpul maklumat dan bahan-bahan bacaan yang berkaitan bagi proses analisa data.

Datu Jack Aman Luat menyifatkan bahawa, OACP-PBB adalah manifestasi komitmen Pentadbiran Bahagian Bintulu bagi menyokong dasar Antirasuah Nasional untuk menjadi sebuah negara bebas rasuah.

Bagi tujuan tersebut, isu-isu dalaman Pentadbiran Bahagian Bintulu berkaitan kelemahan integriti, tadbir urus dan rasuah telah dikenal pasti dan dimuatkan dalam OACP-PBB.

Sesi pembentangan semakan draf akhir POACP-PBB bersama UNION pada 25 Mac 2021

Sebanyak lima (5) bidang keutamaan dan strategi, 12 objektif strategi serta 50 inisiatif telah digariskan dengan lebih terperinci bagi menangani isu-isu tersebut.

Oleh itu, semua warga Pentadbiran Bahagian Bintulu perlu memberi komitmen yang jitu dalam melaksanakan semua strategi dan inisiatif OACP-PBB dalam tempoh lima tahun mendatang iaitu bermula tahun 2021 sehingga tahun 2025.

Beliau turut menjelaskan, semua proses penyediaan OACP-PBB dilaksanakan melalui beberapa siri bengkel yang khusus bagi membincangkan kerangka pelan yang merangkumi Visi, Misi, Matlamat, Bidang Keutamaan, Strategi, Objektif Strategi, Inisiatif Jangka Pendek dan Inisiatif Jangka Panjang.

Bengkel Pembangunan OACP Pentadbiran Bahagian pada 21 -23 September 2020 di Hotel Pullman, Kuching

Bengkel pembangunan OACP yang pertama telah diadakan bersama pihak UNION dan fasilitator yang terdiri daripada kalangan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Negeri Sarawak pada pada 21 hingga 23 September 2020 di Hotel Pullman, Kuching.

Manakala, beberapa siri bengkel di peringkat bahagian Bintulu telah bermula pada 28 Januari 2021 sehingga kemuncaknya adalah pada Sesi Pemurnian bersama pihak UNION yang telah diadakan di Kuching pada 25 Mac 2021.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]