Ketersambungan Infrastruktur Rangsang Pertumbuhan Ekonomi

0
52

Pengangkutan dan logistik memainkan peranan penting dalam memudah cara pertumbuhan dalam semua sektor ekonomi.

Oleh itu, penekanan akan terus diberikan kepada peningkatan ketersambungan batuan pertama dan akhir, daya saing industri dan memperkukuh tadbir urus sektor ekonomi.

Walaupun begitu, cabaran dalam memenuhi permintaan untuk ketersambungan yang lancar serta infrastruktur pengangkutan dan logistik yang berdaya harap terus menghalang usaha memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

RMK-12 Bertemakan “Malysia Makmut, Inklusif, Mampan”

Penyediaan infrastruktur pengangkutan dan logistik yang cekap dan inklusif akan terus diberi perhatian dengan meningkatkan kebolehcapaian pengangkutan awam, mempertingkat fasiliti perdagangan dan memperkukuh institusi serta rangka kerja awal selia.

Usaha akan dilaksanakan bagi menambah baik ketersambungan batuan pertama dan akhir melalui rangkaian rel dan jalan raya yang bersepadu antara lapangan terbang, pelabuhan, kawasan perindustrian dan bandar.

Rangkaian rel dan jalan raya bersepadu akan dipertingkatkan di bawah RMK-12

Keupayaan infrastruktur dan perkhidmatan pelabuhan akan dipertingkatkan, manakala pendekatan pergerakan kargo pelbagai mod dengan pengendali perkhidmatan yang sama diguna pakai.

Di samping itu, mentransformasikan ekosistem logistik bagi kecekapan yang lebih baik telah dikenal pasti sebagai pemacu perubahan bagi sektor logistik.

Pengangkutan dan logistik memainkan peranan penting dalam memudah cara pertumbuhan ekonomi

Inisiatif akan diambil untuk memusatkan perancangan dan pembangunan hab logistik, mempercepat penerimagunaan teknologi, mendorong penggabungan dan pengambilalihan dalam kalangan pemain industri, menubuhkan agensi tunggal sempadan dan menggubal rangka kerja awal selia bagi pergudangan dan ekonomi maritim.

Usaha ini akan menyokong dan memudahkan aktiviti ekonomi dan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.

Semasa membentangkan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan bahawa infrastruktur dan utiliti asas yang berkualiti dan berdaya harap seperti jalan raya, rel, bekalan air dan elektrik penting bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.

Selain itu, ia juga penting dalam usaha untuk merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Oleh itu, beliau menegaskan bahawa rangkaian rel dan jalan raya bersepadu yang menghubungkan lapangan terbang dan pelabuhan dengan kawasan perindustrian, bandar dan luar bandar akan dipertingkatkan.

Langkah tersebut melibatkan antaranya projek-projek utama seperti;

  1. Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa Satu yang menghubungkan Rawang ke Salak Selatan yang dijangka siap pada 2022
  2. Landasan Berkembar Elektrik Gemas ke Johor Bahru yang merupakan jajaran akhir landasan berkembar elektrik dari Padang Besar, Perlis ke Johor Bahru yang dijadualkan siap pada 2023
  3. Pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diteruskan dan dijangka siap pada 2026
  4. Projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan stesen Bukit Chagar, Johor Bahru dengan stesen Woodlaands North di Singapura akan mula dibina pada hujung tahun 2021
  5. Lebuh raya Pantai Barat yang melibatkan negeri Selangor dan Perak dijangka siap sepenuhnya pada 2024
  6. Projek Central Spine Road dari Bentong, Pahang ke Kuala Krai, Kelantan dijadualkan siap sepenuhnya pada 2025
  7. Lebuh raya Kota Bharu ke Kuala Krai dijangka siap sepenuhnya pada 2025

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa Dana mudah cara khusus untuk projek infrastruktur akan diwujudkan di bawah model Perkongsian Awam Swasta atau Public Private Partnership (PPP) 3.0.

Beliau menegaskan bahawa model pelaksanaan projek tidak akan melibatkan komitmen kewangan kerajaan dan menggunakan kaedah Request forn Proposal (RFP).

Pelaksanaan projek-projek di bawah model baharu ini dijangka dapat diumumkan pada pertengahan tahun 2022.

Sementara itu, Jawatankuasa khas PPP yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara akan ditubuhkan bagi membolehkan perundingan projek PPP dapat diselesaikan dalam tempoh setahun.

Dalam usaha mengurangkan pembangunan ekonomi antara negeri serta mempercepatkan pertumbuhan KDNK yang perlahan terutama di Sarawak dan Sabah, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan Pembangunan Asas Persekutuan akan diagihkan.

Peruntukan ini ditumpukan kepada penyediaan infrastruktur asas, pendigitalan, pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi.

Semasa sambutan Hari Malaysia yang lepas, Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM7.7 bilion, iaitu RM3.61 bilion untuk negeri Sabah dan RM4.09 bilion untuk negeri Sarawak disediakan bagi pelaksanaan JENDELA sepanjang tempoh RMK-12.

RM3.61 bilion diperuntukan untuk negeri Sabah dan RM4.09 bilion untuk negeri Sarawak bagi pelaksanaan inisiatif JENDELA sepanjang tempoh RMK-12

Dengan peruntukan tersebut, liputan jalur lebar akan dipertingkatkan melalui pembinaan infrastruktur digital termasuk pembinaan Menara atau pemancar telekomunikasi.

Untuk rekod, sehingga Ogos 2021, sebanyak 2, 645 infrastruktur digital siap dipasang di Sabah dan 2,117 di Sarawak.

Bagi menambah baik bekalan elektrik, loji jana kuasa baharu akan dibina dan talian penghantaran Grid Timur-Barat Sabah akan dinaik taraf manakala projek pembinaan hidroelektrik Baleh di Sarawak dijangka siap pada 2025.

Intipati Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12)
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]