RM14.2 Bilion Disediakan Untuk PKS

0
97

Bajet 2022 menyediakan dana keseluruhan berjumlah RM14.2 bilion untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menteri Kewangan, YB Senator Datuk Seri Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz

Menurut Menteri Kewangan, YB Senator Datuk Seri Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz, untuk ketersediaan dana berterusan, Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) Bank Negara Malaysia (BNM) turut ditingkatkan sebanyak RM2 bilion.

Peningkatan tersebut menjadikan jumlah ketersediaan pelbagai dana PKS BNM pada masa ini sebanyak RM11.2 bilion.

TRRF merupakan kemudahan pembiayaan yang diperkenalkan oleh BNM untuk memberi bantuan dan sokongan pemulihan kepada PKS dalam sektor perkhidmatan yang terjejas berikutan pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan COVID-19 sejak bulan Jun 2020.

Selain itu, institusi kewangan seperti SME Bank, PUNB, BPMB, AgroBank, MIDF dan MARA juga menyediakan dana untuk PKS.

Satu inisiatif khusus untuk membantu syarikat tersenarai di Bursa juga akan diperkenalkan bagi membantu syarikat berdaya maju yang terkesan akibat pandemik COVID-19 mendapat suntikan dana tambahan melalui sebuah syarikat tujuan khas (SPV) milik kerajaan dalam bentuk instrumen ekuiti atau instrumen lain yang berkaitan.

Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) Bank Negara Malaysia untuk PKS dalam sektor perkhidmatan ditingkatkan sebanyak RM2 bilion dalam Bajet 2022

Bagi tujuan tersebut, Khazanah Nasional Berhad akan diberi mandat untuk membantu kerajaan menyediakan infrastruktur untuk mentadbir dana bersaiz sekurang-kurangnya RM3 bilion.

Mengulas mengenai jaminan pembiayaan perniagaan, YB Tengku Zafrul memaklumkan, sehingga kini, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) telah memberikan jaminan pembiayaan perniagaan bernilai lebih RM46 bilion kepada lebih 44,000 syarikat.

Langkah berkenaan bertujuan membantu memudahkan PKS mendapat pembiayaan, terutamanya dalam tempoh sukar berdepan pandemik.

Sehubungan dengan itu, SJPP akan ditambah baik dengan menyediakan jaminan untuk pembiayaan yang dijadualkan dan distrukturkan semula dengan tambahan had jaminan sebanyak RM10 bilion termasuk RM2 bilion dikhaskan untuk bumiputera.

Komuniti PKS yakin bahawa tahun 2022 adalah masanya untuk merancakkan semula ekonomi negara

Usaha tersebut akan membantu syarikat mendapatkan pembiayaan baharu yang sebelum ini sukar diperolehi.

Pengecualian duti setem juga akan diberikan ke atas dokumen transaksi penjadualan dan penstrukturan semula pembiayaan yang bertujuan untuk mengurangkan kos transaksi.

Kerajaan sedia maklum tentang keyakinan komuniti PKS bahawa tahun 2022 adalah masa untuk merancakkan kembali ekonomi negara.

Namun, selepas dua tahun diselubungi pandemik COVID-19, golongan tersebut tetap memerlukan bantuan sebelum mampu bangkit semula sepenuhnya.

Bagi memberi maklum balas kepada permasalahan sektor PKS, kerajaan mencadangkan beberapa inisiatif seperti berikut:

  1. Penangguhan bayaran ansuran cukai pendapatan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) selama enam bulan sehingga 30 Jun 2022.
  2. Semua perniagaan dibenarkan membuat pindaan anggaran cukai pendapatan yang kena dibayar dalam bulan ke 11 sebelum 31 Oktober 2022.
  3. Potongan cukai khas sehingga Jun 2022 kepada pemilik bangunan atau ruang perniagaan yang memberikan pengurangan sewa sekurang-kurangnya 30 peratus.
  4. Kerugian terkumpul yang tidak dapat diserap boleh dibawa ke hadapan untuk tempoh daripada maksimum tujuh tahun taksiran berturut-turut kepada maksimum 10 tahun taksiran berturut-turut.

Dalam mengembalikan keupayaan perniagaan, kerajaan akan memperbanyakkan akses pembiayaan kepada sektor perniagaan, terutama untuk pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan sektor formal.

Oleh itu, tahun 2022 akan menyaksikan sebanyak RM40 bilion jumlah keseluruhan pakej pembiayaan akan disediakan di bawah Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia atau SemarakNiaga.

Skim pembiayaan tersebut merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti yang menyasarkan untuk memberi manfaat kepada setiap golongan usahawan sama ada dalam perusahaan mikro mahupun syarikat tersenarai awam.

Untuk skim kredit mikro, pembiayaan bernilai hampir RM1.8 bilion akan disediakan pada tahun depan melalui pelbagai agensi seperti TEKUN, Agrobank, BSN, Bank Rakyat dan BNM.

YB Tengku Zafrul mengulas lanjut, Skim Pembiayaan Informal dan Mikro di bawah TEKUN akan menawarkan pinjaman sehingga RM10,000 pada kadar faedah sifar peratus berserta moratorium selama 12 bulan dengan keutamaan diberi kepada peniaga sektor informal dan mikro.

Selain itu, BSN dan Agrobank juga akan menawarkan pinjaman mikro sehingga RM75,000 pada kadar sifar peratus untuk enam bulan pertama berserta kemudahan moratorium sehingga enam bulan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]