Gedong Dimajukan Sebagai Bandar Satelit

0
85

Gedong akan dibangunkan sebagai Bandar Satelit selepas dinaikkan taraf sebagai daerah baharu dalam pentadbiran Bahagian Samarahan.

Menurut Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, daerah baharu tersebut sudah tentu akan mempunyai struktur pentadbiran yang lebih tersusun dan terperinci.

Malah, besar kemungkinan Majlis Daerah Gedong juga akan diwujudkan pada masa hadapan.

Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari menyampaikan ucapan ketika merasmikan pelancaran Gedong sebagai daerah

Jelas beliau, Gedong diangkat sebagai daerah berdasarkan corak dan hala tuju pembangunan luar bandar oleh Kerajaan Negeri yang menumpukan pada pembangunan hubungan jalan raya termasuk jalan pesisir di samping sektor pertanian dan pelancongan serta khazanah yang ada di daerah berkenaan. 

Kawasan Gedong yang berdekatan dengan Samarahan di mana terletaknya beberapa buah institut pengajian tinggi (IPT) membolehkan pembangunan daerah baharu berkenaan akan disepadukan dengan Daerah Simunjan dan Sadong Jaya.

Menerusi hubungan jalan raya yang merapatkan Gedong dengan Samarahan dan Kuching, Gedong akan menjadi kawasan pinggir bandar dan dibangunkan sebagai bandar satelit yang tentunya akan meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.

Tambah beliau, naik taraf Gedong sebagai daerah merupakan impian masyarakat Gedong yang juga akan membawa kepada pembangunan dalam sektor pertanian moden berdasarkan lokasinya yang berdekatan dengan beberapa buah IPT dan pusat penyelidikan di Samarahan.

Beliau memaklumkan mengenai perkembangan tersebut ketika merasmikan pelancaran Gedong sebagai daerah pada 12 Disember 2021 di Dewan Terbuka Gedong.

Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari menyempurnakan simbolik pelancaran Gedong sebagai Daerah

Terdahulu, Setiausaha Kerajaan Negeri YB Datuk Amar Jaul Samion dalam ucapan beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Menteri atas pengiktirafan Gedong sebagai sebuah daerah yang merupakan cetusan idea Ketua Menteri sendiri.

Menurut Datuk Amar Jaul, pengiktirafan Gedong sebagai daerah dapat membantu meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam, seterusnya membangunkan kawasan-kawasan luar bandar secara amnya.

Setiausaha Kerajaan Negeri YB Datuk Amar Jaul Samion (kanan) menyampaikan watikah naik taraf Gedong sebagai daerah kepada Residen Bahagian Samarahan, Tuan Haji Brahim bin Lumpu

Beliau berharap supaya dengan kehadiran Pegawai Daerah Gedong serta sokongan agensi-agensi kerajaan yang lain kelak akan mendokong pelaksanaan program dan projek pembangunan sosioekonomi yang lebih berkesan dan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih baik akan dinikmati oleh seluruh penduduk di Daerah Gedong.

Menerusi kewujudan Pejabat Daerah Gedong juga, beban tugas Pejabat Daerah Simunjan akan diringankan dan penyampaian perkhidmatan kerajaan menjadi lebih responsif serta memenuhi keperluan masyarakat Gedong.

Gedong akan dibangunkan sebagai bandar satelit selepas dinaik taraf sebagai daerah baharu dalam pentadbiran Bahagian Samarahan

Semua urusan pentadbiran seperti pengurusan harta pusaka atau probet, pengurusan anak angkat, permohonan kebajikan dan sebagainya akan diuruskan di Pejabat Daerah Gedong.

Beliau menambah, pewujudan Daerah Gedong adalah sangat bertepatan dalam mendokong dan mengkoordinasi pelaksanaan pelbagai projek dan program di Bahagian Samarahan melalui Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA).

Sebelum diangkat menjadi daerah baharu, Gedong yang berkeluasan 2,218 kilometer persegi dengan jumlah penduduk seramai 49,000 orang sebelum ini diletakkan di bawah pentadbiran Daerah Simunjan.

Naik taraf Gedong sebagai daerah dijangka akan meningkatkan sosioekonomi penduduknya dan kawasan-kawasan sekitar

Selain Gedong, empat buah kawasan baharu yang turut dinaikkan taraf sebagai daerah ialah Sebuyau di Bahagian Samarahan, Siburan di Bahagian Serian serta Lingga dan Pantu di Bahagian Sri Aman.

Manakala Balai Ringin di Bahagian Serian pula telah dinaikkan taraf sebagai daerah kecil.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]