TEGAS Digital Village Menyediakan Kemudahan Moden dan Menarik

0
63

TEGAS (Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak) Digital Village (TDV) yang diilhamkan oleh Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg pada 2017 merupakan sebuah pusat untuk mempromosi inovasi digital dan keusahawanan di Sarawak.

Matlamat dan misi pewujudan TDV ialah untuk memudahkan pemindahan teknologi dan pengkomersialan serta memperkasa syarikat pemula (start-up) melalui kerjasama organisasi awam dan swasta.

Antara syarikat pemula yang mempunyai akses di TDV ialah seperti Borneo Digital, Mindswitch, VM Creative Consultants, SnappEd/Austral Media, Thirts, Trifold X, Cendana dan CtrID yang merupakan alumni program pecutan TEGAS Pre-Accelerator Bootcamp, TEGAS Startup Lab dan Sarawak Shell LiveWIRE anjuran TEGAS.

Pada 22 November lepas, TDV yang terletak di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya secara rasminya telah dilancarkan oleh Ketua Menteri.

Seni bina perkampungan inovasi serba moden tersebut berkonsepkan ‘bangunan hijau’ serta memiliki ruang dalam dan luar yang luas.

Bumbung bangunan turut dilengkapi dengan panel solar selain landskap halaman belakang yang ditumbuhi tanaman hijau segar yang kesemuanya boleh dimakan.

Lobi di pintu masuk utama TDV
Kafe yang terletak bersebelahan pintu masuk utama

TDV merangkumi dua (2) tingkat ruang kerja (co-working space), auditorium, lab terbuka yang turut memiliki tapak ujian IR 4.0 yang dihasilkan dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Extended Reality (XR) Lab hasil kerjasama dua alumni program TEGAS Startup Lab, iaitu Borneo Digital dan Trifold X serta Makmal Inovasi SOLIDWORKS dengan kerjasama IME.

Antara ahli syarikat pemula yang mempunyai akses di TDV

Kemudahan-kemudahan lain yang terdapat di TDV termasuklah mesin pencetak 3D, “makerlab”, bilik latihan, bilik mesyuarat, ruang acara, ruang santai, bilik rehat dan beberapa lagi kemudahan lain.

Auditorium TDV yang boleh memuatkan seramai 250 orang dilengkapi dengan internet berkelajuan tinggi, paparan tirai latar LED, sistem pembesar suara dan pintu keluar menuju ke ruang parkir kenderaan.

Auditorium TDV boleh memuatkan 250 orang

Kemudahan ini juga dibuka kepada orang luar yang ingin menyewa untuk mengadakan aktiviti seperti program syarikat pemula, pitching dan sebagainya.

Pihak TDV menawarkan pakej sewaan auditorium yang menarik, iaitu RM2,500 sehari pada Isnin hingga Jumaat, RM4,000 sehari pada Sabtu dan Ahad dan RM4,500 sehari pada hari cuti umum.

Ruang acara yang terdapat di TDV juga dilengkapi dengan internet berkelajuan tinggi dan sistem sokongan teknikal seperti visual, audio dan pencahayaan.

Kemudahan tersebut sesuai untuk menganjurkan pelbagai program seperti kursus, latihan, ceramah, aktiviti pembinaan pasukan dan sebagainya.

Kadar sewa yang dikenakan untuk ruang acara ialah sebanyak RM700 untuk satu-satu masa.

Kemudahan ruang bekerja di TEGAS Digital Village atau singkatannya TDV
Ruang kerja di tingkat bawah

Selain ruang kerja yang kondusif, di tingkat bawah juga disediakan sebuah bilik kalis bunyi yang sesuai digunakan untuk tujuan rakaman audio.

TDV bukan sahaja menyediakan ruang kerja yang selesa kepada ahli syarikat pemula dan kakitangannya, malah, perkampungan digital tersebut turut menyediakan kafe yang terletak bersebelahan dengan pintu masuk utama.

Ruang kafe yang luas dengan hiasan dalaman yang menarik mewujudkan suasana kondusif di samping hidangan pelbagai makanan dan minuman yang menyelerakan.

Kemudahan parkir yang dilengkapi pengecas kenderaan elektrik (EV)

Bersesuaian dengan konsep bangunan hijau, ruang parkir TDV turut dilengkapi dengan kemudahan pengecas kenderaan elektrik (EV) yang disumbangkan oleh Sarawak Energy.

Antara inisiatif-inisiatif lain yang akan dijalankan di TDV termasuklah program pecutan, sokongan perniagaan, peningkatan pertumbuhan, pengkomersialan kajian dan pembangunan (R&D), akses pasaran, kemudahan pembiayaan, inovasi korporat serta peningkatan ekosistem inovasi keusahawanan.

Kemudahan Extended Reality (XR) Lab

Melalui penubuhannya, TDV juga akan berperanan penting dalam mempromosi Sarawak sebagai destinasi inovasi dan keusahawanan berteknologi tinggi yang akan membantu meningkatkan pelaburan dalam dan luar negara serta memperkasakan rakyat Sarawak untuk mencapai skala global.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]