OACP Memartabatkan Prinsip Tadbir Urus, Integriti Dan Antirasuah

0
172

Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED) adalah komitmen Kementerian dalam memastikan MANRED bebas rasuah dan terhasil daripada beberapa perbincangan dan sesi sumbang saran semasa Bengkel Pembangunan Pelan berkenaan.

Bagi memastikan kejayaan OACP MANRED ini, Pengurusan tertinggi MANRED komited  dan akan berusaha untuk memastikan pelan Tindakan dan inisiatif yang digubal dalam OACP MANRED dilaksanakan bersama-sama pihak berkepentingan dan warga MANRED dengan telus, penuh tanggungjawab dan berintegriti bagi memastikan Sarawak maju dan berintegriti tinggi menjelang 2030.

Memberi kesedaran kepada kakitangan Kementerian melalui bunting poster yang dipamerkan di ruangan pejabat MANRED

Setiausaha Tetap MANRED, YBhg Datu Edwin Abit memaklumkan OACP MANRED yang dirangka merupakan satu mekanisme yang boleh membantu dalam mengawal, memantau dan mengukur prestasi kementerian dalam mencegah berlakunya rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Jelas beliau lagi, ia boleh dijadikan rujukan komprehensif dan inklusif kepada semua warga MANRED dalam memastikan organisasi diurus dengan cekap dan berkesan tanpa mengabaikan aspek akhlak, etika dan integriti.

Majlis Perjumpaan Setiausaha Tetap MANRED Bersama pengurusan Kementerian, Jabatan Pertanian Sarawak dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak dengan tajuk “Integriti” melalui aplikasi Zoom pada 19 Julai 2021

OACP MANRED yang dihasilkan adalah susulan daripada Arahan YAB Perdana Menteri No.1 Tahun 2018 berkenaan dengan pemantapan Tadbir Urus, Integriti dan Anti Rasuah Dalam Pengurusan Pentadbiran Kerajaan Malaysia : Mekanisme Pengurusan Tadbir Urus, Integriti dan Anti Rasuah Kebangsaan.

Selaras dengan arahan berkenaan, pihak Unit Integriti dan Ombudsman Negeri Sarawak telah mengeluarkan pekeliling Integriti Negeri Sarawak Bilangan 1 tahun 2019, mewajibkan penubuhan Jawatankuasa  Anti Rasuah Peringkat Kementerian, Bahagian dan Jabatan di Negeri Sarawak.

Justeru itu, OACP MANRED adalah dokumen utama yang telah dihasilkan untuk menggariskan Tindakan menyeluruh dalam memerangi rasuah di Kementerian.

Bengkel OACP diadakan pada 17 hingga 19 September 2020

Objektif utama OACP adalah  bagi menggariskan kerangka dan hala tuju Tindakan pencegahan bagi menangani permasalahan rasuah dengan lebih jelas dan berkesan.

Selain itu, menurut beliau ia turut dijadikan sebagai panduan untuk membudayakan sistem pentadbiran yang cekap, berintegriti, bermoral dan beretika. Paling penting, OACP MANRED yang dibangunkan juga dijadikan sebagai acuan untuk meningkatkan kesedaran, komitmen, kerjasama dan imej MANRED dalam membanteras rasuah.

Majlis Pelancaran Buku Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) MANRED serta jabatan dan agensi di bawah Kementerian pada 8 April 2021

Kementerian telah mengenal pasti empat (4) bidang keutamaan yang berisiko tinggi terdedah kepada amalan rasuah termasuk Pengurusan Projek dan Program, Pentadbiran dan Sumber Manusia, Kewangan dan Perolehan dan juga Tadbir Urus.

Daripada empat (4) bidang keutamaan tersebut, empat (4) strategi telah dikenal pasti iaitu memperkukuhkan kecekapan dan keberkesanan dalam pengurusan projek dan program, memperkukuhkan kecekapan dan keberkesanan dalam pentadbiran sumber manusia, meningkatkan keberkesanan dalam pengurusan kewangan dan perolehan awam serta memperkasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) .

Strategi tersebut seterusnya telah menjurus kepada 12 objektif strategik yang merangkumi 38 inisiatif yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima (5) tahun.

Dalam usaha pihak Kementerian untuk mencapai objektif membudayakan sistem pentadbiran yang cekap, berintegriti, bermoral dan beretika, Kementerian telah menubuhkan Unit Integriti melalui Pekeliling Integriti Negeri Sarawak Bilangan 2 Tahun 2019.

Unit ini bertanggungjawab untuk  melaksanakan semua enam (6) fungsi teras yang berkaitan dengan tadbir urus, pengukuhan integriti, pengesanan dan pengesahan, pengurusan aduan, pematuhan dan tatatertib.

Menguruskan Kementerian aduan, kes salah laku dan tatatertib berpandukan kepada Kaedah-Kaedah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, 1996, Perintah-Perintah Am Perkhidmatan Awam Negeri 1996, Manual Pengurusan Tatatertib Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak dan arahan serta peraturan-peraturan tatatertib yang sedang berkuat kuasa.

Bengkel Pemurnian OACP pada 14 hingga 15 Disember 2020

Kerangka OACP MANRED 2020-2024 adalah amat penting dalam memberikan panduan yang jelas terhadap risiko dan inisiatif yang telah digariskan bagi membantu Kementerian dalam memartabatkan prinsip tadbir urus, integriti dan antirasuah.

Amalan rasuah perlu dihapuskan sepenuhnya daripada sistem pentadbiran bagi mengembalikan kepercayaan kepada Kementerian.

Maka dengan itu, kementerian telah menetapkan matlamat yang jelas untuk mencapai visi iaitu melahirkan warga Kementerian yang berintegriti tinggi dan bebas rasuah bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan yang telus dan tanpa penyelewengan untuk kestabilan organisasi dan kesejahteraan orang awam.

Tanpa kewujudan pelan ini, sudah pasti usaha ke arah menjadikan Kementerian sebagai organisasi yang berintegriti tinggi akan mengalami kesukaran.

Ketiadaan garis panduan dan hala tuju Kementerian dalam memerangi rasuah boleh membantutkan Hasrat kerajaan negeri untuk memastikan Negeri Sarawak maju dan berintegriti tinggi menjelang 2030.

Dengan adanya OACP MANRED, maka ia dapat dijadikan sumber rujukan di peringkat kementerian untuk meningkatkan ketelusan dengan menerapkan prinsip integriti dan kebertanggungjawaban dalam semua sistem dan prosedur yang telah ditetapkan.

Pada akhirnya, OACP MANRED ini akan menghapuskan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dan kelemahan tadbir urus.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]