Peluang Terbaik Komuniti dan Industri Tingkatkan Kemahiran Tinggi

0
16

Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Bintulu bukan sahaja menyediakan kursus pengajian secara penuh iaitu enam (6) kursus peringkat diploma teknologi tetapi turut menyediakan kursus jangka pendek dan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat dan pihak industri.

Demikian menurut Pengarah ADTEC Hj Ab Rahman Bin  Hj Mohd Said, ketika ditanya RAKAN Sarawak sewaktu lawatan baru-baru ini tentang peranan lain yang turut dimainkan ADTEC Bintulu sejak kewujudannya.

Pengarah ADTEC Hj Ab Rahman Bin Hj Mohd Said

Menurut Pengarah ADTEC, setakat ini terdapat tujuh (7)  bengkel kursus jangka pendek telah diadakan antaranya melibatkan Bengkel Elektrik, Bengkel Penyejukbekuan & Penyamanan Udara, Bengkel Mekatronik, Bengkel Automotif, Bengkel Minyak Dan Gas, Bengkel Kimpalan, Bahagian Pusat Sumber Dan Multimedia.

Jelas beliau, kebiasaan kursus jangka pendek ini diadakan pada hujung minggu (bagi memudahkan mereka merancang masa) paling minimum lapan (8)  jam dalam satu waktu dan ada yang 40 jam tetapi diadakan berperingkat-peringkat dan waktu serta minggu yang berlainan.

Kursus-kursus pendek yang ditawarkan ADTEC Bintulu

Kursus jangka pendek ini diadakan kerana terdapatnya permintaan daripada pihak industri untuk meningkatkan kemahiran di kalangan pekerja mereka.

Pekerja ini akan dihantar oleh pihak industri untuk menghadiri dan mengikuti kursus untuk menambah kelayakan dan mendapatkan sijil kemahiran.

Bagi merealisasikannya selain sukatan pelajaran yang telah ditetapkan mengikut standard pekerjaan nasional (Nos), pihaknya ada berbincang dengan pihak industri untuk menyesuaikan dan membangunkan modul menepati keperluan pihak industri tersebut.

Jalinan kerjasama dengan Industri

Tambah beliau, ada juga kursus yang melibatkan peperiksaan dan Latihan Industri tertentu manakala kursus yang melibatkan pentauliahan  ada sedikit melibatkan kos berbanding kursus lain.

Berdasarkan pengalaman yang lepas, jelas beliau institusi Pendidikan lain turut menghantar pelajar dan kakitangan mereka untuk menjalani kursus pendek di sini, antara 36 pelajar Kolej Vokasional Bintulu telah menyertai Kursus Jangka Pendek (KJP) Pengujian Mekanikal Tensile Test), 24 orang peserta dari KV Betong Di Teknologi Elektrik (Kuasa) menjalani Latihan ‘Switch On 11KV RMU & VCB’ dan pensyarah UCTS menjalani kursus penyesuaian Sistem Pencawang 11KV.

Perjanjian Persefahaman dengan pihak Industri dengan melatih pekerja mereka dan berkongsi kepakaran

Malah pihak industri seperti Sakura Ferroalloys Sdn Bhd turut menghantar pekerja untuk menghadiri kursus jangka pendek. Bengkel yang terlibat Chargeman, Mekatronik dan Kimpalan.

ADTEC Bintulu turut mengadakan lawatan ke Industri berkaitan untuk memahami keperluan mereka

Berdasarkan rekod, peningkatan kemahiran pekerja industri melalui kursus Jangka Pendek 2017-2019 terdapat  666 peserta telah menyertai kursus jangka pendek iaitu 151 peserta (2017), 173 peserta (2018) dan 342 peserta (2019).

Jika ditinjau daripada kursus kebanyakannya Kluster Penyelenggaraan Elektrik melibatkan bengkel automotif, elektrik, mekatronik, kimpalan dan Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara (dengan pilihan tiga (3) kategori Modular, Profesional dan Customised).

Perkongsian bijak dengan pihak Industri

Selain itu, tidak terhad kepada industri kerana turut melibatkan kemahiran asas yang lain seperti yang dikendalikan  Pusat Sumber (Kursus Kecekapan Operator Dron  TOT Certified Drone Operation Proficient 101 Professional Drone Operator dan Kursus Peningkatan Asas kemahiran Fotografi.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]