Jenama dan Slogan Baharu Saraspice Dilancarkan

0
80

“SaraSpice: Sarawak’s Pride”

Jenama dan slogan baharu produk lada Sarawak, Saraspice yang kini dikenali sebagai “SaraSpice: Sarawak’s Pride” telah dilancarkan pada 25 Ogos 2025 oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Zuraida Kamaruddin.

Menurut Datuk Zuraida, “SaraSpice: Sarawak’s Pride” adalah salah satu inisiatif Lembaga Lada Malaysia (MPB) untuk meningkatkan jualan dan produk lada Sarawak ke peringkat antarabangsa.

SaraSpice dengan pembungkusan yang baharu dan lebih menarik
Antara produk produk lada Sarawakyang boleh didapati di galeri jualan Saraspice

Usaha tersebut memerlukan sokongan daripada Kerajaan Sarawak untuk menyediakan lebih banyak tanah bagi tanaman lada di Sarawak kerana sektor komoditi ini mempunyai potensi yang sangat besar.

Oleh itu, beliau berharap agar Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg dapat memperuntukkan lebih banyak tanah untuk tanaman lada di Sarawak.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Zuraida Kamaruddin meninjau galeri jualan produk SaraSpice

Hal ini kerana MPB amat memerlukan bekalan yang mencukupi bagi memenuhi permintaan dari luar negara, apatah lagi beliau yakin bahawa Malaysia mampu menjadi pengeluar lada berkualiti nombor satu di dunia.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pelancaran SaraSpice: Sarawak Pride bersempena dengan perasmian Pejabat dan Galeri Jualan baharu di ICOM Square pada 25 Ogos 2022.

Pengerusi Saraspice Sdn Bhd, Puan Voon Shiak Ni menunjukkan jenama dan slogan baharu produk saraspice semasa menyampaikan ucapan alu-aluan beliau

Sehubungan itu, beliau memaklumkan, penjualan dan pengedaran produk-produk baharu SaraSpice di kedai-kedai runcit di Semenanjung Malaysia dan di seluruh negara akan bermula pada September depan.

Oleh itu, beliau mendorong Saraspice Sdn Bhd bekerja lebih keras lagi bagi mencapai sasarannya untuk menembusi jualan secara global dengan meningkatkan penggunaan lada dengan meluas dalam industri makanan dan minuman (F&B Industries) seperti sektor perhotelan.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa komunikasi diantara MPB dan SaraSpice Sdn Bhd harus diperkukuhkan untuk mempergiatkan pasaran daripada lada.

Bercakap semasa Sidang Media yang diadakan selepas lawatan ke pejabat baharu SaraSpice, Datuk Zuraida memaklumkan bahawa Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berhasrat hendak membuka estet mini khusus bagi penanaman lada hitam di Sarawak.

Lawatan ke pejabat baharu Saraspice Sdn Bhd

Antara sebab perlunya estet mini tersebut dibangunkan di Sarawak adalah kerana, ketika ini penanaman lada hitam di negeri Sarawak hanya dilakukan oleh pekebun kecil sahaja.

Justeru, dengan pembukaan estet mini ini, sekurang-kurangnya pengeluaran lada hitam akan dapat digandakan lagi, malah penggunaan teknologi moden juga boleh dimanfaatkan oleh estet-estet yang dibangunkan tersebut.

Tambah beliau, kaedah estet mini ini juga akan memudahkan MPB menyalurkan bantuan kepada pekebun dengan lebih sistematik selain membolehkan penggunaan teknologi dalam meningkatkan pengeluaran lada.

Sarawak ketika ini menyumbang kira-kira 98 peratus pengeluaran lada hitam di Malaysia membabitkan kira-kira seramai 70,000 pekebun kecil yang mengusahakan kawasan penanaman lada dianggarkan seluas 15,000 hektar keseluruhan.

Pembungkusan produk lada hitam Sarawak yang lebih menarik berupaya meningkatkan jualan ke peringkat antarabangsa
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]