KIK MPHLG Berjaya Tingkatkan Mutu Penyampaian Perkhidmatan

0
87

Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) Sarawak yang telah berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 10 Ogos 2022 merupakan konvensyen kali yang ketujuh dianjurkan.

Pada tahun ini, penganjuran telah diselaraskan menerusi Garis Panduan Pelaksanaan Konvensyen KIK Peringkat Kementerian, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Residen dan Daerah (R&DO) serta Jabatan Premier Sarawak dengan mengangkat tema “Innovation and Creativity Towards Sustainable Local Authorities in Sarawak”.

Konvensyen KIK MPHLG dianggap sebagai satu platform yang terbaik kerana peserta dapat berkumpul dan berkongsi pengalaman dari segi permasalahan di dalam tugasan harian serta mengetengahkan cadangan penyelesaian yang inovatif dan kreatif terhadap permasalahan masing-masing.

Gambar pemenang-pemenang Konvensyen KIK MPHLG 2022

Melalui konvensyen ini juga, ia dapat menggalakkan kakitangan PBT Sarawak serta agensi di bawah seliaan MPHLG untuk menjana idea-idea baharu dalam memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan masing-masing.

Secara tidak langsung, pelaksanaan inisiatif KIK ini telah dapat mempertingkatkan mutu sistem penyampaian perkhidmatan agensi-agensi di bawah seliaan MPHLG.

Konvensyen KIK yang diadakan pada saban tahun merupakan usaha berterusan untuk membentuk dan membudayakan para penjawat awam dengan pelbagai dimensi inovasi.

Setiausaha Tetap MPHLG, YBhg. Datu Antonio Kahti Galis menyempurnakan Majlis Penutupan Konvensyen KIK MPHLG 2022

Inovasi juga telah menjadi asas kepada Pelan Tindakan SCS 10-20 dalam merangsang amalan kreativiti dan inovasi dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (PANS) amnya.

Perkara ini dijelaskan oleh Setiausaha Tetap MPHLG, YBhg Datu Antonio Kahti Galis ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Penutupan Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) MPHLG 2022 di Hotel Ra’ia Kuching pada 10 Ogos 2022.

Menurut beliau, penekanan kepada inovasi dan kreativiti ini akan memastikan perkhidmatan awam dapat melaksanakan nilai tambah secara berterusan dalam penyampaian perkhidmatan yang disediakan kepada Rakyat.

Kumpulan A.I.M Dari Majlis Daerah Matu dań Daro menerangkan produk inovasi mereka kepada juri dan peserta-peserta lain

Hasil daripada konvensyen selama tiga (3) hari tersebut, peserta konvensyen telah diperkenalkan kepada 19 buah produk dan perkhidmatan yang disuntik dengan DNA inovasi.

Sehubungan itu, tiga daripadanya telah dinobatkan sebagai pemenang Piala Menteri, Naib Johan dan Tempat Ketiga manakala kumpulan yang memberikan persembahan terbaik turut memenangi Piala Setiausaha Tetap.

Sama ada menang atau tidak, bagi beliau yang paling penting bagi semua pasukan yang bertanding adalah peluang memupuk semangat dan menimba pengalaman berinovasi di kalangan mereka.

Kumpulan G.U.R.L dari Majlis Daerah Lundu telah menerima anugerah kategori Persembahan Terbaik

Beliau yakin, kesemua peserta telah memperoleh ilmu berfaedah dari penyediaan dan perlaksanaan projek KIK sehinggalah ke persembahan dan perkongsian ilmu dengan pasukan-pasukan lain sepanjang berlangsungnya konvensyen tersebut.

Bagi agensi khususnya PBT yang tidak mengambil bahagian dalam konvensyen kali ini, beliau sarankan supaya mereka giatkan perancangan dan persediaan untuk penyertaan dalam program inovasi pada masa yang akan datang.

Ilmu dan pengalaman daripada penyertaan dalam program seperti ini adalah jauh lebih bermanfaat berbanding kebanyakan latihan dan lawatan penandaarasan lain yang kerap kali dipohon oleh PBT.  

Berakhirnya Konvensyen KIK MPHLG tidak bermakna noktahnya usaha memajukan projek KIK, maka bagi langkah seterusnya, hasil-hasil projek KIK yang dipertandingkan ini harus dilindungi harta intelek, disesuaikan dan diamalkan di pelbagai agensi lain.

Para peseta Konvensyen KIK MPHLG 2022 merakam gambar kenangan bersama tetamu-tetamu kehormat

Lebih daripada itu, hasil projek-projek ini perlu terus digilap dan dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi. Dengan kerjasama daripada semua pihak, beliau pasti usaha-usaha KIK memberi sumbangan lebih bermakna kepada pembangunan sosioekonomi inklusif seperti yang ditekankan dalam Post Covid-19 Development Strategy (PCDS) 2030.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]