- Advertisement -spot_img
Thursday, 29 February 2024 7:55pm

58 Agensi Pentadbiran Bahagian dan Daerah Sarawak Diiktiraf Malaysia Book Of Records

Must read

Perkhidmatan Awam Sarawak melalui 58 agensi di bawah Pejabat Pentadbiran Bahagian dan Daerah Sarawak mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) apabila menjadi agensi kerajaan pertama di bawah satu pensijilan yang sama iaitu MS ISO 9001:2015 Sistem Pengurusan Kualiti (Pentadbiran Bahagian Sarawak).

Skop persijilan tersebut melibatkan sebanyak 28 prosedur proses dan prosedur utama di Pejabat Residen dan  Daerah di seluruh Sarawak.

Ini termasuklah Pengeluaran Lesen Perkahwinan Sivil Khas, Pendaftaran Probet, Pengurusan Senapang Patah, Pendaftaran Nama-Nama Perniagaan dan Perlesenan Perniagaan, Profesion dan Perdagangan, Pengurusan Sijil Anak Angkat, Tadbir Urus Projek Kecil Luar Bandar (PKLB), Mahkamah Bumiputera, Pengurusan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum dan lain-lain.

Sijil pengiktirafan tersebut disampaikan oleh pihak MBOR kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Operasi), YBhg Datu Hii Chang Kee dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Wisma Bapa Malaysia 30 Januari 2024 yang lepas.

Semasa majlis tersebut, YBhg Datu Hii menekankan bahawa pensijilan ini menandakan pencapaian yang signifikan  kerana ia merangkumi semua proses utama, khususnya yang berkaitan dengan penyediaan perkhidmatan kepada rakyat.

Jelas beliau, proses tersebut melibatkan standard atau piawaian dengan semua proses perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat adalah sama walaupun di mana-mana agensi tersebut beroperasi.

Pada majlis yang sama, beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada Pengarah Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU), Encik Superi Awang Said dan warga kerja yang gigih berusaha  mendapatkan pengiktirafan tersebut.

STIU merupakan unit di bawah Jabatan Premier Sarawak yang menyelia semua perkara berkaitan transformasi dan inovasi perkhidmatan awam Sarawak.

Kesemua agensi tersebut telah memperolehi Sijil MS ISO 9001:2015 (di bawah Sistem Pengurusan SIRIM QAS) ini pada 13 Disember 2023  yang  disampaikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa Majlis SIRIM Industri 2023 di Kuala Lumpur.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article