- Advertisement -spot_img
Thursday, 29 February 2024 7:25pm

100 Hektar Kawasan Penanaman Alga Baharu di Gedong

Must read

Kerajaan Sarawak telah mengenal pasti Gedong sebagai kawasan baharu untuk penanaman dan pembangunan alga dengan Syarikat Chitose dari Jepun akan menerajui usaha tersebut.

Perkara ini diumumkan Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg selepas mempengerusikan Mesyuarat Projek Agrihub@Gedong di Gedong pada 3 Februari 2024.

YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg sebelum mempengerusikan Mesyuarat Projek Agrihub@Gedong di Gedong pada 3 Februari 2024 Kredit foto: UKAS

Menurut Premier Sarawak, Gedong dipilih disebabkan kesesuaian tanahnya dan pembangunan alga dari kawasan ini nanti akan mengkhususkan kepada produk makanan, farmaseutikal dan bahan api penerbangan mampan (SAF).

Dengan kepakaran Syarikat Chitose, yang sudah pun mempunyai loji perintis seluas 5 hektar di Sejingkat untuk pengeluaran biojisim mikro alga, jelas Premier Sarawak akan membangunkan fasa pertama di kawasan baharu seluas 100 hektar di Gedong.

Syarikat Chitose akan menjalankan kajian di Gedong dan menjadikannya makmal untuk tujuan perniagaan seluruh dunia yang setakat ini telah mengenal pasti kajian untuk pengekstrakan, penanaman, perkembangan dan pembangunan alga.

Selain di Kuching,  jelas Premier Sarawak kita juga mempunyai kemudahan di Bintulu menggunakan teknologi lain, menggunakan alga untuk menghasilkan SAF.

Premier Sarawak mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membuat kajian dan kini telah  pun menampakkan hasil yang positif.

Langkah ini jelas Premier Sarawak akan meletakkan Gedong menjadi pusat tumpuan untuk kawasan pesisir dengan memanfaatkan tanah yang sedia ada bagi membangunkan sektor agro pertanian.

Pembangunan alga di Gedong menjadi salah satu daripada 3 perkara dibincangkan pada mesyuarat tersebut selain penglibatan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam pembangunan penanaman padi, penglibatan UPM dan Universiti Swinburne dalam projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pembangunan  fizikal dan infrastruktur Semenanjung Ithmus Gedong.

Langkah berpandangan jauh Kerajaan Sarawak akan meletakkan Gedong menjadi pusat tumpuan untuk kawasan pesisir dengan memanfaatkan tanah yang sedia ada bagi membangunkan sektor agro pertanian khususnya penanaman padi berteknologi tinggi, pembangunan alga dan pembangunan R & D serta digitalisasi dalam pertanian. Kredit foto: UKAS

Premier Sarawak semasa membentangkan Belanjawan Sarawak 2024 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada 20 November 2023,  telah mengumumkan Kerajaan Sarawak akan membangunkan sebuah kemudahan penyelidikan dan pengeluaran alga di Gedong.

Kemudahan tersebut adalah untuk menguji dan membuktikan kebolehlaksanaan penanaman alga di peringkat komuniti di Gedong.

Bagi tujuan itu juga, sejumlah RM19 juta akan diperuntukkan kepada Pusat Biodiversiti Sarawak pada tahun 2024 untuk operasi dan pelbagai projek R & D.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article