- Advertisement -spot_img
Thursday, 29 February 2024 7:32pm

MIKM Terap Nilai Integriti Peringkat Akar Umbi

Must read

Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Kerajaan Sarawak melalui Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak, Jabatan Premier Sarawak (UNIONS)  telah melancarkan Modul Integriti Kepimpinan Masyarakat (MIKM) bersempena penganjuran Majlis Amanat Perdana Integriti (MAP-i) 2023.

MIKM Bersama-sama Model Integriti Penguatkuasa Kepimpinan Masyarakat (MIPS) telah dilancarkan secara rasmi oleh Premier Sarawak YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg  pada 14 September 2023 di Kuching.

Menurut Setiausaha Kerajaan Sarawak yang dipetik daripada manual tersebut, menyifatkan penghasilan modul ini merupakan satu usaha mekanisme pendidikan dan pendedahan ke arah mengukuhkan kualiti peranan serta memupuk kesedaran penerapan nilai integriti semua warga pemimpin masyarakat di Sarawak.

Melalui pendedahan berterusan kepada pemimpin masyarakat yang menjadi tulang belakang sesebuah komuniti, sudah pasti dapat menyokong visi dan misi Sarawak dalam membangunkan Ketua Masyarakat & Ketua Kaum yang cakna serta menjadi jambatan antara komuniti dan pihak Kerajaan selaras dengan Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID 2030 (PCDS 2030).

MIKM yang mula dilaksanakan sejak 14 Jun 2023 di Sibu, Sarawak ini telah membantu lebih 30 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) yang terdiri daripada Penghulu, Kapitan, Tuai Rumah dan Ketua Kampung.

Modul ini secara langsung dilihat dapat meningkatkan tahap pemahaman nilai-nilai integriti di kalangan KMKK di Sarawak sebagai panduan dalam membina kompetensi asas bagi membentuk pemimpin masyarakat yang berintegriti, mempunyai kepimpinan yang baik serta mampu menjadi ikon kepada komuniti setempat.

MIKM (Tahap 1) merupakan modul asas peringkat pertama yang memfokuskan kepada aspek penerangan dan pendedahan kepada elemen institusi KMKK, elemen etika dan integriti serta elemen pembinaan ikon pemimpin berintegriti.

Matlamat utama modul ini adalah bertujuan untuk memberi kefahaman secara dasar mengenai peranan dan tanggungjawab KMKK dalam menerapkan elemen integriti sebagai pemimpin kepada penduduk dan komuniti setempat.

Beberapa pendekatan pengajaran dan pembelajaran modul seperti ceramah pengukuhan serta Aktiviti Refleksi Diri (ARD)  akan dijadikan sebagai kaedah penyampaian serta perkongsian yang menjurus kepada pemahaman dan pembinaan pengetahuan tentang pembinaan kepimpinan berintegriti yang berkesan dalam kalangan pemimpin Masyarakat.

Maklumat Tambahan

Institusi Ketua Masyarakat & Ketua Kaum (KMKK) di Sarawak telah wujud dan diiktiraf seawal zaman pemerintahan Kerajaan Brooke bermula pada tahun 1839 lagi dan digelar sebagai Native Chiefs. Secara dasarnya, institusi Ketua Kaum merangkumi Ketua Kampung, Tuai Rumah/ Tuai Uma dan Kapitan.

Pada awalnya peranan KMKK adalah untuk menjadi penjaga adat resam dan budaya kaum masing-masing, kemudian seiring arus pemodenan dan pembangunan, peranan serta tanggungjawab mereka telah diperluaskan bagi membantu mengeratkan hubungan di antara masyarakat dengan pihak Kerajaan.

Pada tahun 1973, Kerajaan Negeri Sarawak secara rasminya mengiktiraf perkhidmatan KMKK melalui, Pekeliling Terms and Conditions of Perkhidmatan Ketua Masyarakat (Headmen Service) bertarikh 24 Mac 1973 dan Terms and Conditions of Service of Ketua Kaum bertarikh 2 Oktober 1980 sebagai jentera pentadbiran Kerajaan di peringkat akar umbi.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article