- Advertisement -
5,254
published news
and counting

Wanita Menguasai Pendidikan, Namun Belum Menguasai Industri

Must read

“Buat apa belajar tinggi-tinggi kalau hujungnya di dapur juga nanti,”

Ungkapan ini mungkin kedengaran seperti gurauan ringan.

Namun bagi ramai wanita, ia adalah ayat yang sering diulang sejak kecil di meja makan, dalam perbualan keluarga, malah kadangkala di ruang kelas.

Tanpa disedari, kata-kata seperti ini membina satu sempadan tidak kelihatan yang menghadkan impian wanita.

Hakikatnya, dalam wacana pembangunan moden, wanita bukan sekadar pelengkap masyarakat namun mereka adalah pemacu penting perubahan sosial, ekonomi dan intelektual.

Secara biologi, wanita merujuk kepada individu berjantina perempuan.

Namun dalam konteks sosial, konsep wanita jauh lebih kompleks kerana ia berkait dengan peranan gender yang dibentuk oleh norma masyarakat, budaya serta struktur ekonomi.

Oleh itu, penting untuk membezakan antara jantina yang merujuk kepada ciri biologi, dan gender yang merujuk kepada peranan sosial yang diberikan kepada lelaki dan wanita dalam masyarakat.

Peranan sosial inilah yang sering mempengaruhi pilihan pendidikan, kerjaya, dan masa depan wanita.

Dalam masyarakat moden, wanita memainkan peranan yang semakin penting dalam pembangunan negara kerana mereka bukan sahaja menjadi tonggak keluarga, malah turut mampu menyumbang dalam bidang pendidikan, ekonomi dan pembangunan sosial.

Di Malaysia, statistik menunjukkan bahawa wanita mendominasi lebih separuh daripada populasi negara.

Setakat 2024, kira-kira 16.2 juta wanita daripada keseluruhan 34.1 juta penduduk Malaysia direkodkan berdasarkan Statistik Pemerkasaan Wanita Malaysia 2025.

Angka ini membawa satu mesej yang jelas iaitu masa depan negara tidak boleh dibincangkan tanpa mengambil kira peranan wanita.

Namun apabila kita melihat kepada dunia pendidikan tinggi, satu pola yang tidak seimbang dapat dilihat.

Seiring dengan perkembangan pendidikan dan perubahan sosial, semakin ramai wanita melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.

Malah, statistik menunjukkan wanita kini mendominasi kemasukan ke institusi pengajian tinggi.

Pada tahun 2024, enrolmen pelajar wanita di institusi pengajian tinggi awam meningkat kepada 413,872 orang, berbanding 404,620 pada tahun sebelumnya.

Bagi institusi swasta pula, seramai 345,845 wanita direkodkan mendaftar, meningkat sebanyak 44,620 orang berbanding tahun sebelumnya.

Jumlah ini jauh mengatasi enrolmen lelaki, iaitu 295,464 orang di institusi awam dan 293,909 orang di institusi swasta.

Namun dominasi ini tidak berlaku secara seimbang merentasi semua bidang pengajian.

Statistik menunjukkan dominasi wanita yang ketara dalam bidang perniagaan, pentadbiran, dan perundangan dengan enrolmen mencecah 247,536 pelajar, diikuti bidang pendidikan sebanyak 98,911 orang.

Wanita mendominasi bidang pengajian pendidikan dengan bilangan enrolmen seramai 98,911 orang setakat tahun 2024 Kredit Gambar : XTRA

Sebaliknya, bidang kejuruteraan, pembuatan, dan pembinaan kekal sebagai domain lelaki dengan 137,641 pelajar berbanding hanya 71,140 wanita.

Jurang ini bukan sekadar angka, malah merupakan indikator awal kepada fenomena pengasingan jantina dalam pasaran buruh iaitu satu keadaan  di mana tenaga kerja tertumpu mengikut gender.

Ironinya, penglibatan wanita dalam bidang teknikal bukanlah perkara baharu kerana sejarah membuktikan wanita pertama iaitu Maimunah binti Sulaiman telah memecah tradisi sebagai jurutera elektrik wanita Melayu pertama di Kuala Lumpur seawal tahun 1960-an lagi.

Persoalannya, mengapa wanita cenderung memilih bidang seperti pendidikan, perniagaan atau pentadbiran berbanding bidang teknikal seperti kejuruteraan?

Kejuruteraan bukan milik lelaki sahaja namun wanita juga mampu cemerlang dalam bidang ini Kredit Gambar : Sinar Harian

Jawapannya sering berkait rapat dengan stereotaip gender yang telah lama berakar dalam masyarakat.

Sejak dahulu lagi, wanita sering digambarkan sebagai “pengasuh semula jadi”.

Oleh itu, bidang seperti pendidikan dan kesihatan dianggap selari dengan sifat kewanitaan yang lembut, sabar dan penyayang.

Sebaliknya, bidang teknikal seperti kejuruteraan atau industri berat sering digambarkan sebagai dunia yang kasar, mencabar dan memerlukan kekuatan fizikal.

Hakikatnya, persepsi ini semakin tidak relevan dalam era teknologi dan automasi.

Namun bayangannya masih mempengaruhi cara pelajar wanita melihat potensi diri mereka.

Selain itu, ramai wanita juga membuat pilihan pendidikan berdasarkan pertimbangan masa depan.

Bidang seperti pendidikan atau pentadbiran sering dianggap menawarkan keseimbangan kerja dan kehidupan yang lebih stabil.

Pilihan ini jarang dibuat kerana kekurangan kemampuan, tetapi lebih kepada strategi jangka panjang untuk mengimbangi peranan sebagai profesional dan sebagai ibu pada masa hadapan.

Satu lagi faktor yang jarang dibincangkan ialah proses sosialisasi sejak kecil.

Alat permainan, buku cerita, dan bahkan galakan daripada guru sering membentuk minat yang berbeza antara kanak-kanak lelaki dan perempuan.

Robot dan mesin sering dikaitkan dengan lelaki, manakala peranan penjagaan sering dikaitkan dengan perempuan.

Apabila seorang pelajar perempuan tidak melihat contoh wanita yang berjaya dalam bidang teknologi atau kejuruteraan, sukar baginya untuk membayangkan dirinya berada di tempat tersebut.

Ketiadaan suri teladan ini secara tidak langsung mengehadkan impian mereka.

Implikasinya, apabila wanita tertumpu dalam bidang tertentu, kesannya bukan hanya kepada individu, tetapi juga kepada ekonomi negara.

Bidang yang didominasi wanita seperti pendidikan dan pentadbiran lazimnya menawarkan tangga gaji yang lebih rendah berbanding bidang teknikal dan kejuruteraan.

Keadaan ini menyumbang kepada fenomena jurang upah jantina.

Lebih membimbangkan, walaupun ramai wanita memiliki kelayakan akademik yang tinggi, sebahagian daripada mereka akhirnya bekerja dalam sektor informal atau pekerjaan separuh masa.

Antara faktor yang menyumbang kepada situasi ini termasuk:

i)     Ketidakpadanan kelayakan, apabila bidang pengajian mempunyai lambakan graduan tetapi peluang pekerjaan terhad.

ii)    Kekurangan jawatan formal yang fleksibel, menyebabkan wanita memilih pekerjaan kontrak atau bekerja sendiri demi menjaga kebajikan keluarga.

Secara tidak langsung, negara berisiko kehilangan sebahagian besar potensi modal insan yang sangat berharga.

Terdapat satu lagi pandangan tradisional yang sering diulang: “tempat wanita adalah di rumah”.

Namun dalam konteks pembangunan moden, peranan wanita dan lelaki tidak lagi boleh dilihat secara terpisah kerana kedua-duanya adalah penggerak tamadun.

Wanita bukan sekadar pelengkap keluarga, tetapi juga pemacu ekonomi, inovasi dan pembangunan masyarakat.

Dominasi wanita dalam bidang pendidikan tertentu adalah bukti kecerdasan dan dedikasi mereka.

Namun pada masa yang sama, ia juga mencerminkan keterhadapan pilihan yang dibentuk oleh norma sosial.

Jika kita mahu melihat lebih ramai wanita memimpin dalam sektor ekonomi berimpak tinggi seperti teknologi, tenaga atau kejuruteraan, kita perlu mula mencabar stereotaip yang menentukan “bidang mana yang sesuai untuk wanita”.

Pendidikan seharusnya membuka pintu kepada semua kemungkinan, bukan hanya pintu yang dianggap tradisional.

Sempena sambutan Hari Wanita Sedunia, sudah tiba masanya kita memberi ruang kepada wanita untuk terbang lebih tinggi.

Bukan sekadar dalam bidang yang kita jangka mereka akan berjaya, tetapi dalam setiap bidang yang mereka impikan kerana apabila seorang wanita terdidik menguasai bidang ekonomi, teknologi dan kepimpinan, yang diperkasakan bukan hanya dirinya.

Mungkin suatu hari nanti, ungkapan seperti “buat apa belajar tinggi-tinggi kalau akhirnya di dapur juga” akan kedengaran asing kepada generasi akan datang.

Bukan kerana dapur itu tidak penting, tetapi kerana wanita tidak lagi dipaksa memilih antara peranan tradisional dan potensi intelektual mereka.

Wanita boleh menjadi ibu, jurutera, pemimpin, saintis, atau apa sahaja yang mereka aspirasikan.

Dan apabila masyarakat akhirnya memahami hakikat ini, barulah kita boleh mengatakan bahawa pendidikan benar-benar telah memerdekakan separuh daripada populasi negara.

- Advertisement -

Rujukan :

Malaysia Gender Gap Index (MGGI), 2025, Department of Statistics Malaysia (DOSM)

Statistics on Women Empowerment in Selected Domains, Malaysia, 2024, Department of Statistics Malaysia (DOSM

Statistics on Women Empowerment, Malaysia, 2025, Department of Statistics Malaysia (DOSM)

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article