31.8 C
Kuching
Tuesday, April 20, 2021

Warisan Adat dan Budaya Sebagai Tarikan Muzium di Sarawak

Kepelbagaian etnik dengan latar belakang budaya berbeza merupakan keunikan identiti masyarakat Sarawak yang menjadi tarikan pelancongan negeri ini.

Memiliki lebih 30 suku kaum bumiputera, semestinya banyak yang boleh diketengahkan dan ditawarkan untuk menarik perhatian orang luar.

Pada masa yang sama, warisan adat dan budaya nenek moyang perlu didedahkan kepada generasi muda dan akan datang tempatan.

Kompleks Muzium Sarawak

Inilah antara usaha yang sedang giat dijalankan oleh Jabatan Muzium Sarawak (JMS) dalam memainkan peranannya mempromosi warisan dan budaya masyarakat Sarawak sebagai produk utama pelancongan dan tarikan muzium-muzium yang terdapat di Sarawak.

Menurut Pengarah Muzium Sarawak, Encik Tazudin bin Mohtar, koleksi muzium sebenarnya bermula dari pengumpulan bahan-bahan oleh para pengkaji dan mereka yang berminat dalam bidang penyelidikan, sama ada dalam bidang antropologi, arkeologi mahupun ilmu alam semula jadi.

Jelas beliau, Sarawak amat bertuah kerana perkembangan dan tarikan institusi muzium di negeri ini adalah legasi yang ditinggalkan oleh pentadbiran Rajah Brooke dan berkisar tentang adat dan kehidupan masyarakat pribumi melalui koleksi-koleksi yang dipamerkan.

Barangan kraftangan etnik pribumi Sarawak merupakan antara bahan pameran muzium yang menjadi tarikan

Seperti yang terdapat di Muzium Ethnologi (Bangunan Lama) yang telah wujud sejak 1891, bahan-bahan pamerannya merupakan bahan pengumpulan spesimen-spesimen masyarakat pribumi yang dijalankan oleh Pakar Alam Semulajadi, Alfred Wallace.

JMS berhasrat untuk terus menjadikan koleksi warisan pribumi Sarawak sebagai produk utama dan tarikan di Kompleks Muzium Sarawak baharu yang bakal dibuka secara rasmi pada April tahun ini.

Tambah Encik Tazudin, bahan-bahan pameran di muzium berkenaan akan menepati piawaian antarabangsa dan dilengkapi dengan sistem keselamatan yang tinggi.

Beliau menganggap bahawa pembinaan Kompleks Muzium Sarawak yang baharu merupakan satu pencapaian tertinggi JMS sejak lebih 100 tahun kewujudan institusi muzium di Sarawak.

Pengarah Jabatan Muzium Sarawak, Encik Tazudin bin Mohtar

Antara persiapan terkini JMS bagi menambah tarikan muzium berkenaan termasuklah membawa masuk ‘Kelidieng’, iaitu tiang pengebumian kaum Melanau berusia 200 tahun dari lokasi asal di Sungai Ud, Dalat.

Tiang tersebut juga merupakan antara 200 barangan pameran bersaiz besar yang akan dipamerkan di Kompleks Muzium Sarawak.

Persiapan lain termasuklah membawa masuk sebuah bot perang kaum Iban dan dua tiang pengebumian kaum Punan.

Muzium Ethnologi

Secara keseluruhan, sebanyak 1,660 bahan pameran yang bakal dipamerkan kepada para pengunjung.

Muzium tersebut yang menjadi mercu tanda baharu Bandar Raya Kuching dengan keluasan 6,726meter persegi bakal menjadi muzium terbesar di Malaysia dan yang kedua terbesar di Asia Tenggara.

 
An eyewitness to Sarawak’s transformation

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

994FansLike
1,667FollowersFollow
21SubscribersSubscribe
- Advertisement -

Latest Articles