1,109 Koperasi di Sarawak Jana Perolehan Lebih RM300 Juta

0
24

Sebanyak 1,109 koperasi dengan 297,000 keanggotaan dan perolehan berjumlah RM311.1 juta direkodkan di Sarawak oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk tempoh sehingga Disember 2021.

Manakala kekuatan aset koperasi di negeri ini pula direkodkan sebanyak RM636.4 juta dengan pemilikan syer dan yuran berjumlah RM216.5 juta.

Menurut Timbalan Premier Sarawak, YB Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan, statistik tersebut jelas menunjukkan gerakan koperasi mampu memacu perkembangan ekonomi negara, khususnya Sarawak ke tahap yang lebih mantap.

Tambahan pula, peralihan negara memasuki fasa endemik COVID-19 jelas beliau akan merancakkan lagi aktiviti ekonomi termasuk gerakan koperasi, terutama koperasi-koperasi yang menjalankan aktiviti berasaskan pelancongan yang terjejas sepanjang pandemik COVID-19 dua tahun lepas.

Beliau memberitahu perkara tersebut ketika berucap merasmikan sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) 2022 Peringkat Negeri Sarawak sempena Sambutan 100 Tahun Gerakan Koperasi di Malaysia di Dewan Masyarakat Serian pada 20 Jun.

Sambutan HKN 2022 Peringkat Negeri Sarawak berlangsung dari 19 hingga 21 Jun 2022 bertempat di perkarangan Dewan Masyarakat Serian

Datuk Amar Haji Awang Tengah yang merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan juga memaklumkan, gerakan koperasi di Sarawak telah bermula pada tahun 1949, iaitu selama 73 tahun sejak penubuhan tiga koperasi terawal yang masih aktif hingga ke hari ini.

Antaranya ialah Koperasi Pekerja-pekerja Pedagang Sarawak Berhad yang didaftar pada 23 Mei 1949, Koperasi Polis DiRaja Malaysia Sarawak Berhad (KOPODIMS) dan Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad yang masing-masing didaftar pada 6 September 1949.

Majlis Perasmian HKN 2022 Peringkat Negeri Sarawak oleh Timbalan Premier Sarawak YB Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan bertempat di Dewan Masyarakat Serian pada 20 Jun 2022

Tambah beliau, Kerajaan Sarawak mengalu-alukan kerjasama strategik di antara SKM dengan agensi negeri seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) dalam membantu ekonomi rakyat melalui gerakan koperasi.

Kerjasama tersebut bertepatan dengan objektif Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang antaranya turut memfokuskan kepada merangsang pemulihan ekonomi dan meningkatkan ekonomi rakyat.

PCDS 2030 yang dilancarkan pada Julai 2021 dengan peruntukan RM63 bilion ujar beliau diharap akan memperkasa ekonomi Sarawak sebanyak dua kali ganda bagi mencapai aspirasi Sarawak maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Antara koperasi yang menyertai ekspo jualan pada sambutan HKN 2022 Peringkat Negeri Sarawak di perkarangan Dewan Masyarakat Serian

Terdahulu, Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YBhg Datuk Haji Zamri bin Salleh memaklumkan, statistik gerakan koperasi di Malaysia telah mencapai peningkatan yang baik pada 2021 berbanding 2020.

Bilangan koperasi meningkat sebanyak 1.40% manakala anggota koperasi pula meningkat sebanyak 9.13%.

Jelas beliau, penghujung 2021 juga merekodkan sebanyak 14,834 bilangan koperasi berdaftar dengan keanggotaan seramai 7.08 juta orang, modal syer dan yuran berjumlah RM16.5 bilion, aset bernilai RM155 bilion dan perolehan koperasi sebanyak RM37.9 bilion.

Statistik SKM menunjukkan gerakan koperasi di Malaysia telah mencapai peningkatan yang baik pada 2021

Beliau turut memberitahu, SKM telah memudahkan pendaftaran koperasi dengan pindaan terkini, iaitu daripada 50 orang bakal anggota kepada hanya 20 orang untuk menubuh dan mendaftar koperasi.

Dalam keadaan tertentu, SKM juga membenarkan keanggotaan hanya lima orang untuk menubuhkan koperasi dalam kalangan profesional dan permohonan boleh dilakukan secara dalam talian.

Hari Koperasi Negara pada tahun ini yang mengangkat tema ‘100 Tahun Gerakan Koperasi Malaysia, Membangun Keluarga Malaysia’ bertepatan dengan usaha Kerajaan untuk mentransformasi koperasi sebagai entiti sosioekonomi yang lebih efisien, mampu bersaing dan berupaya menjana pendapatan dalam kalangan anggota dengan mengekalkan konsep, falsafah dan nilai-nilai berkoperasi.

Gerakan koperasi juga boleh berperanan sebagai entiti perusahaan sosial dalam membantu anggota, masyarakat dan pemuliharaan alam sekitar, tambah beliau.

Gerakan koperasi mampu memacu perkembangan ekonomi negara

Majlis Perasmian HKN 2022 Peringkat Negeri Sarawak menyaksikan tiga koperasi di Sarawak yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang memenangi Anugerah Koperasi Terbaik untuk tahun ini.

Tempat pertama dimenangi Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad, tempat kedua dimenangi Koperasi SESCO Sarawak Berhad dan ketiga, koperasi Al-Bait Sarawak Berhad dari Tabung Baitulmal Sarawak.

Datuk Amar Haji Awang Tengah menyampaikan hadiah kepada wakil daripada Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad yang memenangi tempat pertama Anugerah Koperasi Terbaik Sarawak 2022

Selain itu, beberapa koperasi telah menerima Anugerah Koperasi Terbaik mengikut kategori, iaitu kategori EPP (Projek Penggerak Ekonomi) Kewangan dimenangi oleh KOPODIMS, EPP Pembangunan dimenangi Koperasi Song Kapit Berhad dan EPP Pertanian dan Industri Asas Tani dimenangi Koperasi Penanam Sawit Mampan Daerah Meradong Sarikei Berhad.

Anugerah Koperasi Sekolah Terbaik dimenangi oleh Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Merbau Miri Berhad.

Turut disampaikan ialah Geran Pembangunan dan Pembiayaan Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM) kepada koperasi-koperasi yang layak.

Sambutan HKN 2022 Peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung dari 19 hingga 21 Jun 2022 dimeriahkan dengan ekspo jualan, demonstrasi dan promosi produk keluaran koperasi tempatan serta klinik konsultansi oleh agensi Kerajaan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]