Kerajaan Digital Mampu Beri Khidmat Terbaik Kepada Rakyat

0
40

Tidak dinafikan bahawa perkhidmatan dan sumbangan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) kepada rakyat dan sektor awam amat besar impaknya.

Sebagai sebuah agensi pusat, MAMPU bertanggungjawab sebagai perancang dan peneraju agenda pendigitalan dan pemodenan sektor awam.

Oleh itu, MAMPU sentiasa komited untuk menyumbang kepada kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dengan cara meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat khususnya melalui pemodenan dan pendigitalan.

Pelbagai pendekatan pentadbiran terkini mahupun produk teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) telah diperkenalkan oleh MAMPU kepada jabatan-jabatan bagi memastikan rakyat akan menerima perkhidmatan kerajaan yang lebih baik dan seterusnya hidup lebih selesa.

Antara inisiatif digital yang telah dilaksanakan oleh MAMPU dalam Rancangan Malaysia Ke-Sebelas (RMK-11) ialah membangunkan sistem MyGov*Net.

MyGov*Net merupakan Rangkaian Telekomunikasi Bersepadu Kerajaan (Government Integrated Telecommunication Network) yang diuruskan secara berpusat bagi menyokong sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan.

MyGov*Net menyediakan satu platform rangkaian bagi membolehkan capaian kepada aplikasi-aplikasi kerajaan elektronik, aplikasi dalaman agensi atau intranet dan capaian ke internet yang disediakan untuk Kementerian, Jabatan atau Agensi Kerajaan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan di bawah saraan Kementerian.

Untuk rekod, sebanyak 1,129 agensi di Sarawak telah menggunakan sistem perkhidmatan rangkaian MyGov*Net.

Inisiatif ini diterangkan oleh Pengarah MAMPU Sarawak, Encik Mohamad Anuardi bin Hajani ketika ditemur amah RAKAN Sarawak.

Inisiatif seterusnya ialah, sistem pengurusan rekod elektronik kerajaan iaitu Digital Document Management System 2.0 (DDMS) yang telah diperkenalkan pada tahun 2014.

Pembangunan DDMS melibatkan MAMPU sebagai pembangun sistem dan Arkib Negara Malaysia sebagai pakar rujuk dalam bidang pengurusan rekod.

Sistem ini membolehkan semua rekod kerajaan ditawan dan diakses melalui internet di mana-mana sahaja selama 24 jam sehari.

DDMS digunakan di MAMPU pada 3 Mac 2014 dan telah diperluaskan ke 24 Kementerian dan 6 jabatan serta agensi dengan jumlah pengguna telah mencecah 20,000 orang.

Bengkel Digital Document Management System 2.0 (DDMS)

Sistem ini telah diguna pakai di beberapa agensi persekutuan dan kerajaan negeri seperti MAMPU Sarawak; Biro Pengaduan Awam (BPA) Sarawak; INTAN Kampus Sarawak; JAKIM Sarawak; Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA); Bahagian Pencen Cawangan Sarawak;

Perbendaharaan Malaysia Sarawak; Jabatan Penyiaran Sarawak (RTM); Institut Kemahiran Mara (IKM) Bintulu; Pejabat Mara Negeri Sarawak; Arkib Negeri Sarawak; Lembaga Pelabuhan Bintulu; RISDA Sarawak; dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Sarawak.

DDMS 2.0 dibangunkan mengikut kriteria pengurusan rekod elektronik seperti mana yang ditetapkan dalam MS ISO 16175-2:2012 Information and Documentation – Principles and functional requirements for records in electronic office environments – Part 2: Guidelines and functional requirements for digital records management systems.

Kriteria ini memastikan DDMS setanding dengan sistem pengurusan rekod elektronik yang menepati standard piawaian antarabangsa.

Inisiatif seterusnya yang telah diperkenalkan ialah, Malaysia Government Unified Communications (MyGovUC) yang merupakan perkhidmatan komunikasi dan kolaborasi bersepadu yang diuruskan secara berpusat oleh MAMPU.

Perkhidmatan ini menggabungkan saluran-saluran komunikasi seperti e-mel, persidangan video dan audio, instant messaging, faksimili, sistem pesanan ringkas (SMS) serta Sistem Pengurusan Identiti.

Selain itu, perkhidmatan ini turut menyediakan kemudahan perkongsian maklumat melalui Portal Kolaboratif serta Portal Maklumat Awam melalui Portal MyGovUC dan hampir kesemua agensi persekutuan di Sarawak menggunakan perkhidmatan e-mel MyGovUC.

Kemudian, MAMPU turut membangunkan inisiatif MyMesyuarat yang merupakan sistem pengurusan mesyuarat dan pemantauan keputusan mesyuarat secara dalam talian.

Taklimat Pengenalan Sistem MyMesyuarat 2.0 secara dalam talian kepada Agensi Persekutuan Sarawak pada 28 Oktober 2021
Sesi Taklimat Pengenalan Sistem MyMesyuarat 2.0 kepada Pejabat Perbendaharaan Malaysia Sarawak pada 28 Oktober 2021

MyMesyuarat telah diguna pakai oleh 20 agensi persekutuan di Sarawak dan ia berfungsi untuk;

  1. Mentransformasikan sistem pengurusan mesyuarat daripada secara manual kepada elektronik.
  2. Memudahkan kerja keurusetiaan.
  3. Meningkatkan pemantauan status maklum balas dan tindakan selepas mesyuarat.
  4. Meningkatkan keberkesanan komunikasi dan perkongsian maklumat mesyuarat.
  5. Mempercepatkan proses membuat keputusan.
  6. Menjurus ke arah ICT tanpa kertas dan hijau.
Latihan Sistem MyMesyuarat 2.0 pada 4 Mei 2021

Sistem Perkhidmatan Prasarana Kunci Awam Kerajaan (GPKI) turut diperkenalkan dan ia merupakan salah satu perkhidmatan keselamatan ICT bagi memantapkan tahap keselamatan data dan maklumat bagi sistem ICT kerajaan.

Prasarana Kunci Awam (PKI) membolehkan data serta maklumat dilindungi dari aspek kerahsiaan, integriti serta kebolehsediaan dan sebarang transaksi atau aktiviti terhadap data dan maklumat tidak boleh disangkal.

Sesi Latihan Sistem Perkhidmatan Prasarana Kunci Awam Kerajaan (GPKI)

Dalam konteks perkhidmatan awam Malaysia, PKI telah mula dilaksanakan pada tahun 2002 dalam pelaksanaan projek-projek Kerajaan Elektronik (EG), dan ia selaras dengan Akta Tandatangan Digital 1997 dan Peraturan-Peraturan Tandatangan Digital 1998.

Perkhidmatan ini dibekalkan dan diuruskan secara berpusat oleh MAMPU dan ia disediakan untuk menjamin keselamatan transaksi data, maklumat dan perkhidmatan ICT sektor awam secara dalam talian.

MAMPU memainkan peranan dalam menyokong dimensi utama yang dikelaskan di bawah Kerangka Keberhasilan RMK-12 iaitu Dimensi Pemerkasaan Ekonomi yang meliputi tiga fokus utama iaitu pemacu dan pemboleh pertumbuhan, ekosistem dan imperatif.

Dimensi ini turut merangkumi elemen pembangunan dan perkhidmatan ICT termasuklah Revolusi Perindustrian Keempat (Fourth Industrial Revolution [4IR]), ekonomi digital serta peningkatan inovasi dan produktiviti.

Peranan MAMPU melalui Jawatankuasa Teknikal ICT Sektor Awam (JTISA) bertindak sebagai agensi yang memastikan keberkesanan dan kecekapan pengurusan pembangunan projek menepati piawaian yang ditetapkan. Selain daripada itu, MAMPU juga merupakan pemangkin dalam melaksanakan Pembaharuan dan Transformasi bagi mengatasi kelemahan dalam pendekatan pembangunan, tadbir urus dan pelaksanaan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]