- Advertisement -spot_img
4,846
published news
and counting

Budaya Kualiti Pemangkin Penyampaian Perkhidmatan Cemerlang PANS

Must read

Perkhidmatan Awam Sarawak (PANS), yang telah diiktiraf dalam Malaysia Book of Records untuk kejayaan pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015, sekali lagi membuktikan komitmennya terhadap kecemerlangan dengan menerima Anugerah Khas dalam Majlis SIRIM Industri 2024.

Sijil SIRIM yang diiktiraf dalam Perkhidmatan Awam Sarawak (PANS), dapat memastikan sistem pengurusan kualiti yang berkesan di samping dalam masa yang sama berupaya meningkatkan sistem penyampaian pentadbiran kerajaan kepada rakyat.

Dalam perkhidmatan awam, kualiti ditakrifkan sebagai memenuhi kehendak pelanggan dan pihak berkepentingan mengikut standard kecemerlangan.

Pada Disember 2005, Setiausaha Kerajaan Negeri telah melancarkan program amalan 5S untuk Sarawak. Dengan pelancaran tersebut, semua ketua agensi kerajaan, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan di negeri Sarawak diminta untuk melaksanakan amalan 5S dalam organisasi masing-masing.

Pencapaian 5S telah dibuktikan oleh Lembaga Pelabuhan Miri apabila berjaya memperoleh pensijilan amalan 5S pada 11 September 2007 daripada Perbadanan Produktiviti Negara (NPC) Kuala Lumpur.

Pelaksanaan amalan 5S secara menyeluruh di Lembaga Pelabuhan Miri telah berjaya menghasilkan perubahan positif dalam beberapa aspek, antaranya ialah peningkatan produktiviti, peningkatan kualiti kerja, penurunan kos operasi, penambahbaikan keselamatan dan peningkatan semangat kerja.

PANS berusaha dalam menyampaikan perhidmatan terbaik bagi setiap pelanggan dan masyarakat di Sarawak. Sumber: Fail arkib RAKAN Sarawak

Secara keseluruhannya, pelaksanaan 5S telah berjaya mewujudkan budaya kerja yang lebih teratur dan produktif di organisasi tersebut.

Kerajaan turut menyedari bahawa peningkatan sistem dan prosedur akan membantu mengurangkan, jika tidak menghapuskan sepenuhnya, rasuah dalam semua organisasi di Malaysia.

Oleh itu, perhatian serius diberikan untuk menjadikan sistem penyampaian perkhidmatan awam lebih efisien dan telus bagi menekankan aspek pencegahan dalam memerangi rasuah dan urusan tidak beretika dalam masyarakat kita.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan Sarawak telah mengambil langkah-langkah penting untuk membantu membendung ketidakcekapan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan berkualiti dalam PANS.

Kerajaan Sarawak merupakan kerajaan negeri pertama menubuhkan Unit Audit Dalamnya sendiri. Penubuhan Jawatankuasa Audit pada tahun 2001 dan pengalamannya telah menjadi model bagi kerajaan negeri-negeri lain untuk diikuti.

Sarawak menyokong dan mempercepat amalan ESG dalam industri Malaysia. Sumber: Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak

Unit Audit Dalam bertanggungjawab sehingga kini memainkan peranan penting dalam memperbaiki proses pentadbiran organisasi agar lebih berkesan dan “cost-effective” serta selaras dengan objektif organisasi. Untuk mencapai matlamat ini, Unit Audit Dalam menyediakan:

  1. Laporan Analisis: Menyediakan analisis yang mendalam mengenai aktiviti yang diaudit.
  2. Laporan Penilaian: Menilai prestasi dan keberkesanan proses pentadbiran yang ada.
  3. Cadangan Membina: Memberikan cadangan untuk penambahbaikan berdasarkan analisis dan penilaian.
  4. Maklumat Aktiviti: Memberikan maklumat yang relevan tentang aktiviti-aktiviti yang dikaji dari masa ke semasa.

Dengan pendekatan ini, Bahagian Audit Dalam berperanan penting dalam memastikan proses pentadbiran lebih efisien, menjimatkan kos dan mencapai objektif organisasi dengan lebih baik.

Seterusnya, Pelan Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (SEAC) yang bertujuan mentransformasikan Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030 dengan fokus pada penyediaan perkhidmatan sosial berkualiti turut menjadi kayu ukur dalam usaha membudayakan amalan kualiti dalam PANS.

Antara bantuan kebajikan yang tersedia di Sarawak adalah Kad Emas Kenyalang untuk warga emas Sarawak yang membolehkan golongan berkenaan menikmati keistimewaan dan diskaun daripada peniaga yang mengambil bahagian.

Semasa pandemik COVID-19, bantuan kebajikan diberikan kepada rakyat melalui pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) bagi memastikan kebajikan mereka terjaga.

Secara umumnya, matlamat perkhidmatan sosial berkualiti yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak adalah untuk membantu meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup kumpulan sasaran dan ini sekali gus membudayakan kualiti perkhidmatan dalam PANS.

Dengan hanya enam (6) tahun lagi sebelum Sarawak menjadi negeri maju berpendapatan tinggi, PANS komited untuk meningkatkan usaha bagi menyokong matlamat Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg dalam merealisasikan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Menurut Premier Sarawak, RMKe-12 adalah langkah permulaan Kerajaan Sarawak dalam melaksanakan strategi PCDS 2030, manakala persiapan untuk RMKe-13 akan dimulakan pada 2024 dengan fokus pada fasa kedua PCDS 2030.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article