Sebagai usaha untuk terus menyokong, memperkenal dan memperkasakan produk-produk warisan Bumi Kenyalang, Kerajaan Sarawak telah melaksanakan satu inisiatif dengan mewujudkan Heritage Central Gallery di bangunan Yayasan Sarawak Jalan Masjid, Kuching sebagai pusat penjualan dan promosi pelbagai jenis produk warisan Sarawak.
Heritage Central Gallery tersebut telah dibangunkan oleh Kerajaan Sarawak dengan kerjasama Old Kuching Smart Heritage (OKSHE), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).

Heritage Central Gallery yang dikendalikan oleh Centexs Commercial Services (CCS), anak syarikat Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) beroperasi setiap hari dan akan mula dibuka pada pukul 7 pagi hingga 6 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat dan pukul 8 pagi hingga 5 petang setiap hari Sabtu dan Ahad.
Pelbagai jenis produk warisan Sarawak yang dihasilkan oleh usahawan tempatan Sarawak seperti sambal lada hijau, pes laksa Sarawak, beras Bario, acar limau, kuih muih tradisi dan sebagainya yang mempunyai potensi besar untuk dipasarkan sehingga ke luar negara boleh didapati di galeri ini.
Langkah mewujudkan Heritage Central Gallery ini bukan hanya sebagai usaha untuk membangun serta memperkenalkan produk warisan Bumi Kenyalang kepada orang ramai khususnya kepada para pelancong, namun secara tidak langsung inisiatif ini akan membantu menjana pendapatan tambahan usahawan tempatan.

Dengan bertapaknya galeri ini di pusat Bandar Raya Kuching, kini para pelancong yang berasal dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan luar negara mudah untuk membeli pelbagai produk warisan Bumi Kenyalang yang menarik untuk dibawa pulang ke negeri masing-masing dan boleh dijadikan sebagai buah tangan buat saudara-mara dan kawan-kawan.
Sebagai usaha untuk membolehkan produk warisan Bumi Kenyalang yang memiliki nilai tinggi ini dipasarkan ke Semenanjung Malaysia, Sabah bahkan sehingga ke luar negara, CCS telah membangunkan platform digital atau e-dagang iaitu laman sesawang Saratage.com.
Penciptaan laman sesawang Saratage.com ini merupakan strategi terbaik untuk mempromosi serta memasarkan produk warisan Bumi Kenyalang ke pasaran antarabangsa secara dalam talian kerana pelbagai produk dapat dipasarkan ke serata tempat tanpa sempadan dan sudah pasti perniagaan berpotensi untuk berkembang dengan lebih pantas.

Sehubungan itu, CCS turut membuka peluang kepada seluruh usahawan di Sarawak yang berminat dan berhasrat untuk memperluaskan produk-produk tempatan yang dihasilkan untuk mendaftar sebagai peniaga dengan CCS.
Baru-baru ini, Kerajaan Sarawak melalui inisiatif OKSHE telah melakar satu kejayaan dengan membuka Galeri Songket dan Keringkam yang pertama terletak di bangunan yang sama dengan Heritage Central Gallery.
Galeri Songket dan Keringkam ini mengetengahkan penggunaan teknologi digital seperti QR Code di mana pengunjung boleh menggunakan aplikasi Sarawak Pay dan ia dibuka kepada orang awam setiap hari, bermula pada pukul 9 pagi hingga 6 petang.
Selain itu, galeri ini juga menggunakan branding “SARATAGE” yang bermaksud Sarawak dan Heritage dan di bawah jenama SARATAGE, pihak galeri telah bekerjasama dengan pelbagai pengeluar seperti SaraPride, Centexs Heritage Fashion (CHF), Komuniti Songket dan Komuniti Keringkam di seluruh Sarawak.








