spot_img
HomeNewsDari RAKAN SarawakMenjamin Privasi dan Perluas Akses Dalam Ekosistem Digital Negeri

Menjamin Privasi dan Perluas Akses Dalam Ekosistem Digital Negeri

Dalam era digital yang semakin berkembang pesat, pengurusan data, maklumat dan privasi menjadi isu yang kian penting, terutama apabila semakin banyak urusan harian dan perkhidmatan awam berpindah ke ruang maya atau dilakukan secara dalam talian (online).

Pengurusan data merujuk kepada proses mengumpul, menyimpan, mengatur dan melindungi data mentah, manakala maklumat merujuk kepada data yang telah diproses agar lebih bermakna serta mudah difahami.

Di sebalik itu, privasi pula menumpukan kepada hak individu terhadap kawalan dan perlindungan data peribadi mereka daripada akses tanpa kebenaran, sama ada oleh entiti kerajaan mahupun swasta.

Di Sarawak, perhatian terhadap aspek ini semakin meningkat apabila Kerajaan Sarawak telah mula mengambil pendekatan berwaspada dalam memastikan setiap inisiatif digital melindungi kedaulatan data dan hak warganegara.

Pada Oktober 2024, Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah melancarkan inisiatif CyberSarawak sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2024.

Inisiatif yang diterajui oleh Sarawak Multimedia Authority (SMA) ini membawa slogan “Kekal Selamat, Kekal Pintar, Kekal Terjamin”, dan dirangka sebagai langkah menyeluruh untuk meningkatkan kepercayaan awam serta penyertaan rakyat dalam ekosistem ekonomi digital.

Tiga komponen utama inisiatif ini memberi fokus berbeza dimana ‘Kekal Selamat’ menyediakan platform berpusat untuk orang awam melaporkan insiden keselamatan siber;

‘Kekal Pintar’ menekankan pendidikan keselamatan siber kepada komuniti kurang liputan; manakala ‘Kekal Terjamin’ memfokuskan penilaian dan penambahbaikan infrastruktur maklumat kritikal, khususnya agensi kerajaan.

Menurut laporan Utusan Sarawak pada Oktober 2024, Pengurus Besar SMA, Datuk Dr Anderson Tiong Ing Heng menyatakan bahawa inisiatif ini mengukuhkan lagi usaha berterusan menerusi penubuhan Unit Keselamatan Siber Sarawak selaras dengan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030

Unit ini berperanan untuk menjalankan sembilan fungsi utama termasuk khidmat keselamatan siber dan panduan teknikal kepada badan kerajaan, perniagaan dan orang awam.

Menurut beliau, lonjakan jenayah siber yang dijangka berkembang sebanyak 15 peratus setahun, dengan kerugian global mencecah AS$10.5 trilion menjelang 2025, membuktikan pentingnya tindakan pencegahan yang sistematik dan berskala besar.

Justeru, CyberSarawak menjadi jawapan Sarawak untuk menangani risiko ini secara strategik merentasi semua sektor.

Portal data terbuka Sarawak memperkukuh ketelusan dan inovasi digital untuk semua

Dalam usaha mendepani era digital dan memperkukuh budaya keterbukaan juga, Kerajaan Sarawak telah membangunkan Portal Data Terbuka Sarawak sebagai sebuah pusat perkhidmatan dalam talian yang komprehensif.

Infografik menunjukkan Portal data terbuka Sarawak yang menawarkan akses kepada lebih 200 set data merentasi 12 topik utama

Portal ini menjadi gerbang utama bagi orang awam, penyelidik, agensi kerajaan dan komuniti perniagaan untuk mengakses serta memuat turun data kerajaan yang dibuka secara rasmi kepada umum.

Dengan semangat untuk kekal relevan dalam landskap digital global, portal ini sentiasa dinaik taraf dari semasa ke semasa.

Penambahbaikan ini melibatkan pelaksanaan ciri-ciri baharu yang selaras dengan trend semasa data terbuka di peringkat antarabangsa.

Matlamatnya jelas iaitu untuk memastikan set data yang ditawarkan lebih mudah dicapai, tersusun dan mesra pengguna, sekali gus memperkukuh nilai guna maklumat dalam pelbagai sektor.

Antara objektif utama portal ini ialah untuk memudahkan perkongsian data secara meluas kepada pelbagai golongan pengguna, di samping meningkatkan ketelusan perkhidmatan kerajaan.

Langkah ini membolehkan rakyat melihat sendiri bagaimana dasar dan keputusan kerajaan digerakkan, lantas membina kepercayaan awam terhadap pentadbiran yang terbuka dan bertanggungjawab.

Dalam masa yang sama, portal ini turut menjadi pemangkin kepada kreativiti dan inovasi, khususnya dalam kalangan rakyat dan komuniti perniagaan.

Dengan akses kepada data sah yang diperoleh daripada sumber kerajaan, pengguna dapat mencipta produk dan perkhidmatan baharu yang lebih responsif terhadap keperluan semasa masyarakat.

Lebih daripada itu, portal ini berfungsi sebagai saluran rasmi untuk rakyat memperoleh maklumat sahih, di samping memberikan ruang untuk maklum balas yang konstruktif terhadap dasar dan program kerajaan.

Inisiatif ini bukan sahaja menjadikan proses perundingan awam lebih terbuka, malah turut merapatkan jurang antara kerajaan dan rakyat.

Dari sudut pengurusan sumber, penyediaan data terbuka juga berperanan dalam membantu agensi-agensi kerajaan menjimatkan kos pembangunan aplikasi.

Dengan data yang telah tersedia secara sistematik, proses reka bentuk dan pembangunan sistem digital menjadi lebih efisien dan kurang bergantung kepada sumber luaran.

Secara keseluruhannya, Portal Data Terbuka Sarawak bukan sekadar platform digital, tetapi mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam membina ekosistem digital yang inklusif, telus dan berdaya cipta selaras dengan aspirasi Sarawak ke arah negeri maju menjelang 2030.

Dalam pada itu, institusi pendidikan tinggi seperti Swinburne Sarawak telah lama menerapkan dasar privasi yang sejajar dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA), memberikan hak kepada pelajar dan staf untuk mengakses, mengubah atau menarik balik data mereka daripada sistem kampus.

Akta Perlindungan Data Peribadi (Pindaan) 2024 menjadikan data dan hak anda lebih terjamin

Syarikat swasta pula diwajibkan melantik Pegawai Perlindungan Data dan melaporkan sebarang pelanggaran keselamatan data kepada Suruhanjaya Perlindungan Data dalam masa 72 jam.

Undang-undang ini kini ditambah baik dengan denda lebih tinggi serta peruntukan tanggungjawab yang lebih jelas kepada pengendali data.

Di tengah gelombang digital ini, Sarawak mengambil langkah-langkah proaktif ke arah membina masa depan yang selamat dan berdaulat dari sudut pengurusan maklumat.

Pembangunan bakat digital tempatan dilihat sebagai strategi jangka panjang yang penting bagi memupuk budaya berasaskan data yang kukuh di Sarawak sebagai teras kepada pembangunan ekonomi digital negeri.

Kerjasama strategik antara Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) dengan institusi seperti The Centre of Applied Data Science (CADS) melalui program Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE) dan Sarawak Talent Enrichment Programme (STEP) telah melahirkan lebih 2,500 bakat data profesional tempatan pada tahun 2022.

Pelaburan berterusan dalam bidang ini akan mengurangkan kebergantungan kepada pakar luar dan mengukuhkan sistem siber negeri dengan kepakaran sendiri.

Penyelesaian jangka panjang terhadap cabaran privasi dan pengurusan maklumat ini tidak hanya bergantung kepada teknologi, tetapi juga kepada dasar, undang-undang, dan kesedaran awam.

Sarawak harus terus memperjuangkan rang undang-undang negeri yang memberi kawalan ke atas data yang dikumpul di dalam sempadan negerinya.

Masyarakat pula perlu diberikan pendidikan tentang hak digital mereka iaitu siapa boleh mengakses data mereka, untuk tujuan apa, dan bagaimana untuk menolak sekiranya mereka tidak bersetuju.

Akhirnya, pengurusan data, maklumat dan privasi bukanlah isu teknikal semata-mata, tetapi mencerminkan sejauh mana sebuah kerajaan menghormati rakyatnya.

Sarawak, dengan pendekatan progresif dan berhati-hatinya, sedang membina satu naratif baharu, bahawa dalam dunia digital, kuasa sebenar terletak pada hak untuk tahu dan hak untuk dilindungi.

Sumber rujukan:

  1. Dasar Privasi Portal Data Sarawak

https://data.sarawak.gov.my/home/article/view/15

  • Pelancaran CyberSarawak
  • Data Sharing Act 2025 dan sokongan Sarawak

https://www.jdn.gov.my/wp-content/uploads/2025/06/Akta-864.pdf

  • Swinburne Sarawak Privacy Notice

https://www.swinburne.edu.my/privacy/privacy-collection-notice

  • Personal Data Protection

https://www.swinburne.edu.my/wp-content/uploads/2021/09/Personal-Data-Protection.pdf

  • Pembangunan Bakat Digital CADS

https://www.theborneopost.com/2018/05/16/scope-cads-partnership-aims-to-nurture-strong-data-driven-culture-in-sarawak

- Advertisement -

spot_img

RAKAN Sarawak, more than a bulletin - SUBSCRIBE NOW!

spot_img

- Advertisement -