Sambutan yang mengalakkan turut menyaksikan program ini diperluaskan ke sekolah rendah dan sekolah menengah pada tahun berikutnya (2007) yang melibatkan sebanyak 81 buah tadika, 34 buah sekolah rendah dan 21 buah sekolah menengah terlibat dalam program pada kali ini. Pada majlis tersebut, Datuk Bandar telah menyampaikan beberapa anugerah antaranya Anugerah Sekolah Menengah Sejahtera Terbaik (SMK ST Thomas), Anugerah Sekolah Rendah Sejahtera Terbaik (SK Rancangan Perumahan Rakyat Fasa 1, Jalan Astana) dan Anugerah Tadika Sejahtera Terbaik (Tadika Tunku Putra). Tiga anugerah lain, iaitu Anugerah Landskap Sekolah Terbaik, Anugerah Tandas Sekolah Terbaik dan Anugerah Kelab Pencinta Alam Sekitar Sekolah Terbaik dimenangi oleh SMK ST Thomas manakala Anugerah Program Jom Kitar Semula Sekolah Terbaik ( SJK Chung Hua No.6) dan Anugerah Kantin Sekolah Terbaik (SMK Tunku Abdul Rahman) Terdahulu, pada majlis yang sama Pengetua SMK ST Thomas, Encik Wong Hiong Foo berkongsi kejayaan yang merangkul (empat) anugerah, berkata ia bukanlah mudah seperti yang disangka kerana ia melibatkan kerjasama menyeluruh daripada semua pelajar, guru dan ibu bapa. Hasilnya, pada kali ini, sekolah tersebut meraih empat (4) anugerah antaranya Anugerah Landskap Sekolah Terbaik, Anugerah Tandas Sekolah Terbaik, Anugerah Kelab Pencinta Alam Sekitar Sekolah Terbaik dan Anugerah Sekolah Menengah Sejahtera Terbaik. Menurutnya lagi, bagi mencapai kejayaan tersebut pengurusan sekolah telah merangka pelan lima (5) tahun untuk mewujudkannya suasana sejahtera tersebut melalui PBSS (Program Bersepadu Sekolah Sihat). Jelasnya lagi, beberapa perkara telah dipertingkatkan untuk mencapai tahap “sejahtera” antaranya faktor fizikal dari segi kebersihan tandas, penyediaan kantin sekolah dan kemudahan tempat letak basikal bagi pelajar. Sekolah tersebut juga prihatin terhadap alam sekitar dengan melaksanakan beberapa projek kompos dan program kitar semula yang dilaksanakan melalui Kelab Pencinta Alam. Malah sekolah tersebut juga mesra pelawat dengan beberapa kemudahan disediakan antaranya papan tanda khas untuk pelajar dan ibu bapa dan kemudahan tempat menunggu bagi ibu bapa. Selain kemudahan perpustakaan, ia turut memiliki 10 pusat sumber berlainan mengikut matapelajaran memberi keselesaan kepada pelajar untuk mengulangkaji pelajaran. Salah satu perkara yang menarik mengenai sekolah ini adalah aspek keindahan landskap dan taman yang menghimpunkan 160 jenis spesis tumbuhan. Pengenalan program doktor muda yang dilaksanakan di sekolah ini turut menjadikan sebahagian daripada pendedahan awal kepada aspek kesihatan. Selain akademik, ia turut memfokuskan kepada keseimbangan aktiviti ko-kurikulum serta mewujudkan sukan tumpuan (sukan elit) bagi menyerlahkan keupayaan sekolah tersebut dalam sukan tertentu dan melahirkan pelajar yang aktif. Menurutnya, usaha ini dilakukan bagi mewujudkan suasana kondusif kepada pelajar, di samping meningkatkan motivasi dan semangat guru dan pelajar untuk mencapai kecemerlangan. Tidak mustahil jika keadaan ini dipertahankan, menurutnya ia mampu mewujudkan perasaan kepunyaan dan bangga terhadap sekolah mereka.
Info
Bilangan Tadika dan Sekolah dalam kawasan DBKU
• Tadika KEMAS P.193 – 24 buah
• Tadika KEMAS P.194 -18 buah
• Tadika Perpaduan -12 buah
• Tadika Swasta -27 buah
• Sekolah Rendah – 34 buah
• Sekolah Menengah – 21 buahInfo Ringkas
Program Sekolah Sejahtera adalah lanjutan daripada Program “Catch Them Young” yang telah dilaksanakan sejak tahun 1993 bertujuan mendidik generasi muda supaya peka terhadap persekitaran






