Kerajaan Sarawak komited hendak mempromosikan sukan silat secara profesional ke peringkat antarabangsa.
Perkara ini dinyatakan Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg semasa berucap merasmikan Majlis Pembukaan Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 di Stadium Perpaduan, Kuching pada 28 Februari 2023.
Mengulas kenyataan tersebut, beliau menegaskan bahawa sukan silat pada hari ini bukan lagi hanya untuk orang-orang kampung sebaliknya, ia telah menjadi satu acara sukan yang besar dan diiktiraf di peringkat antarabangsa seperti Asia, Eropah, Amerika dan Afrika.
Memandangkan acara seperti silat ini sudah pun menjadi sukan global justeru, beliau memberitahu bahawa Kerajaan Sarawak akan terus bekerjasama dengan persatuan dan perguruan silat dalam usaha melahirkan atlet silat antarabangsa.
Sehubungan itu, beliau menggesa golongan muda untuk terus komited berlatih agar boleh muncul sebagai atlet silat antarabangsa kerana pada pandangan beliau, silat merupakan satu acara sukan yang sangat baik sebagai salah satu langkah ketahanan diri sekali gus mempromosikan budaya kita.
Semasa menyampaikan ucapan perasmian, beliau turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Presiden Rumpun Silat Sarawak (RSS), Encik Muhammad Haneef Ali, di atas dedikasi dan kecekalan beliau dalam memelihara warisan, seni dan budaya silat di Sarawak.

Menurut beliau, tumpuan utama Sarawak bukan sahaja untuk memastikan warisan, seni dan budaya silat di Sarawak semakin kuat malah beliau percaya di bawah pimpinan presiden RSS, akan lebih ramai lagi pesilat yang akan dilahirkan demi mengharumkan nama Sarawak di pentas dunia.
Dalam pada itu, beliau yakin bahawa Sarawak akan kembali menjadi kuasa besar dalam menjulang warisan, seni dan budaya silat lebih-lebih lagi Sarawak berada dalam kedudukan strategik di kalangan negara rantau Asia Tenggara seperti Indonesia, Brunei dan Singapura.


Tidak dilupakan juga ucapan penghargaan beliau kepada persatuan RSS yang telah bertungkus lumus mempersiapkan perancangan bagi memastikan kejohanan berkelas antarabangsa ini dapat dijayakan sekali gus berjaya menyahut cabaran beliau untuk mengangkat martabat silat di Sarawak.
Komitmen RSS dalam penganjuran acara ini terserlah apabila pihak mereka tidak mahu menjadikan kejohanan ini sebagai ‘one-off’ sahaja, sebaliknya berhasrat menganjurkan Kejohanan Siri Silat Sarawak sekali gus bakal mencipta sejarah kerana Malaysia belum pernah menganjurkan kejohanan seperti itu,
Sudah tentu, RSS selaku penganjur kejohanan ini bakal menjadi penanda aras dan perintis untuk pihak mereka menganjurkan kejohanan siri silat Sarawak secara tahunan di masa akan datang.
Premier Sarawak juga turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih beliau kepada Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), YBhg Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin kerana telah memberikan sokongan kepada Sarawak untuk menganjurkan kejuaraan silat berkelas dunia.

Untuk rekod, sebanyak 16 buah negara dengan hampir 800 pesilat merangkumi 21 pasukan akan menghangatkan saingan Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 yang bermula pada 27 Februari 2023 dan akan berakhir pada 5 Mac 2023.
Daripada jumlah itu, 11 pasukan adalah dari luar Malaysia manakala selebihnya dari Sarawak dan negeri lain yang turut merangkumi pasukan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Antara negara-negara yang turut serta dalam Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 ini termasuklah Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Kyrgyzstan, India dan Uzbekistan yang
Selaku tuan rumah pula, Sarawak turut menghantar dua pasukan dengan 60 eksponen antaranya bekas peserta Sukan Malaysia (SUKMA) dan juga ahli SUKMA terkini dari Sarawak.

Kejuaraan ini sudah pasti akan menarik lebih ramai peminat silat mahupun pesilat-pesilat dari Sarawak termasuk yang baru sahaja berjinak dalam seni warisan ini, ataupun yang telah bergiat lama daripada pelbagai rukun-rukun silat dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Kejohanan julung kali ini turut menawarkan hadiah wang tunai sehingga AS$20,000 yang merangkumi lebih kurang RM88, 600 sebagai hadiah Kejuaraan.
Bagi menambahkan kemeriahan Kejuaraan Silat Antarabangsa Premier Sarawak 2023, pelbagai program sampingan yang menarik turut diadakan seperti acara Larian Pendekar, Pesta Makanan dan Festival Kebudayaan anjuran Majlis Seni Sarawak.








