Sarawak kini berada di fasa baharu pembangunan berimpak besar dengan keluasan geografi yang luas serta jurang kesalinghubungan antara bandar dan luar bandar.
Keperluan infrastruktur baharu untuk menyokong industri bernilai tinggi seperti logistik maritim, tenaga bersih dan mobiliti pintar menjadikan negeri ini perlu mencari pendekatan yang lebih pantas dan berkesan.
Tidak dinafikan, dengan bergantung hanya kepada dana kerajaan semata-mata, ia sememangnya tidak mencukupi, justeru model kerjasama awam–swasta atau Public–Private Partnership (PPP) muncul sebagai jalan terbaik melalui perkongsian risiko, modal dan kepakaran.
Di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), Kerajaan Sarawak memberi isyarat jelas dengan membuka ruang seluasnya kepada pelaburan dan pemain industri, termasuk dalam sektor utiliti dan tenaga.
Sasaran besar telah ditetapkan, iaitu campuran tenaga boleh diperbaharui (renewal energy) sekurang-kurangnya 60 peratus menjelang 2030, pengurangan pelepasan karbon sebanyak 600,000 tan setahun melalui elektrifikasi mobiliti, serta pendapatan eksport tenaga boleh baharu sebanyak 15 peratus.
Hal ini membuktikan bahawa PPP bukan lagi projek sementara, sebaliknya menjadi pemangkin kepada hasil pembangunan yang boleh diukur dengan jelas.
Contoh paling dekat dengan rakyat ialah usaha memperluaskan capaian internet luar bandar dimana Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) telah menggabungkan menara telekom, fiber optik dan satelit bagi merapatkan jurang digital.
Kerjasama antara SDEC, Measat, Sacofa, Telekom Malaysia dan penyedia telco lain melalui mekanisme Multi-Operator Core Network (MOCN) telah mempercepat pembangunan infrastruktur, serta mengurangkan kos pelaksanaan.
Sehingga Mac 2024, sebanyak 511 menara telekom dibangunkan di bawah projek MySRBN, dengan 307 daripadanya sudah beroperasi termasuk 251 menara yang menyediakan liputan 4G.
Tambahan pula, teknologi perkongsian rangkaian MOCN membolehkan CelcomDigi, Maxis dan U Mobile berkongsi infrastruktur, manakala satelit Measat digunakan untuk kampung tanpa liputan sementara menunggu fiber siap sepenuhnya.
Pendekatan berlapis ini mempercepat akses, menurunkan kos, dan memberi peluang masyarakat luar bandar menikmati capaian digital tanpa perlu menunggu bertahun-tahun.
Sarawak turut melakar sejarah dalam bidang tenaga bersih dengan pelancaran Sarawak H2 Hub di Bintulu pada Jun 2024.
Hab hidrogen berskala global ini dibangunkan melalui usaha sama SEDC Energy dan Gentari (Petronas).

Hab tersebut bertindak sebagai pusat tunggal yang membangunkan, memiliki dan mengoperasikan kemudahan hidrogen hijau, di samping mengamalkan konsep ‘plug-and-play’ yang memudahkan kemasukan pengeluar baharu.
Projek antarabangsa seperti H2biscus yang melibatkan Samsung Engineering, Lotte Chemical dan KNOC, serta H2ornbill oleh ENEOS dan Sumitomo, sudah pun menjadi sebahagian daripada ekosistem hab dengan sasaran pengeluaran komersial menjelang 2027.
Usaha ini penting kerana penyahkarbonan industri memerlukan bekalan hidrogen yang stabil dan kos efektif.
Dengan Gentari membawa pengalaman komersialisasi serantau, manakala SEDC Energy memainkan peranan sebagai penggerak negeri, risiko dapat diagihkan dengan lebih seimbang, menggambarkan satu formula PPP yang mantap.
Dalam bidang logistik maritim, keputusan Kerajaan Sarawak pada April 2024 untuk membangunkan dua pelabuhan laut dalam di Tanjung Embang, Kuching dan luar pesisir Kuala Baram, Miri menunjukkan kesungguhan Sarawak dalam menarik pelaburan asing dan menyokong industri berat.
MoU antara kerajaan Sarawak dengan Pelabuhan Antwerp-Bruges dari Belgium serta syarikat tempatan Hubline pada 2022 menandakan keterbukaan kepada kepakaran global.
Kini, kajian teknikal dan ekonomi untuk Tanjung Embang sedang giat dijalankan, termasuk kajian batimetri, arus, tanah dan penilaian impak alam sekitar.
Dengan adanya pelabuhan laut dalam, Sarawak mampu mengatasi masalah perairan cetek yang menyukarkan kapal besar berlabuh, membuka laluan kapal besar, mengurangkan kos logistik, dan menampung kargo industri baharu termasuk terminal khas untuk hidrogen dan derivatifnya.
Kemajuan juga berlaku dalam bidang kewangan digital dimana pada November 2024, S Pay Global iaitu e-dompet milik Kerajaan Sarawak telah berjaya diintegrasikan dengan DuitNow QR (PayNet).

Langkah ini membolehkan pengguna dan peniaga Sarawak melakukan transaksi merentas ekosistem nasional dengan lebih mudah.
Ketika diumumkan, S Pay Global telah memiliki lebih 770,000 pengguna, 91,000 peniaga dan mencatatkan transaksi terkumpul bernilai RM4.2 bilion sejak 2017.
Aplikasi ini bukan sekadar dompet digital, tetapi satu gerakan ekonomi tanpa tunai yang memperkasa rakyat dari bandar besar hingga ke kawasan luar bandar mahupun pedalaman.
Dengan lebih 770,000 pengguna, 91,000 peniaga, dan transaksi melebihi RM4.2 bilion setakat Januari 2025, impaknya sudah sangat jelas
Dengan integrasi ini, peniaga kecil termasuk di kawasan luar bandar dapat menerima pembayaran tanpa perlu menanggung kos terminal tinggi, manakala Kerajaan Sarawak pula memperoleh data transaksi agregat yang berguna bagi merangka dasar keusahawanan yang lebih inklusif.
Dalam masa yang sama, penyelarasan sektor tenaga turut diperkuatkan dimana pada 2025, Kerajaan Sarawak dan Persekutuan telah bersetuju untuk menyusun semula peranan Petros sebagai pengagregat gas negeri, manakala tanggungjawab LNG kekal di bawah Petronas.
Walaupun bukan PPP dalam bentuk tradisional, kejelasan peranan ini penting untuk memastikan keyakinan pelabur kekal tinggi kerana projek tenaga dan hidrogen memerlukan kepastian dari sudut perundangan dan perniagaan.
Namun, PPP di Sarawak masih perlu diperkukuh kerana cabaran utama ialah memastikan struktur pulangan projek atau pembiayaan yang jelas (bankability) agar pelabur yakin, di samping mewujudkan penanda aras prestasi yang telus seperti projek MySRBN.
Selain itu, syarat pemindahan teknologi dan pembangunan bakat tempatan perlu ditetapkan, manakala projek-projek besar mesti mematuhi piawaian kelestarian termasuk audit bebas serta penilaian impak alam sekitar.
Dari menara telekom dan satelit yang menyalakan internet desa, ke hab hidrogen yang menarik gergasi industri Jepun dan Korea, Sarawak membuktikan kemampuan membina asas pembangunan moden yang strategik.
Melalui pelabuhan laut dalam yang membuka laluan perdagangan antarabangsa, Sarawak turut menunjukkan bagaimana PPP mampu menterjemah visi PCDS 2030 kepada hasil nyata.
Kuncinya terletak pada reka bentuk perkongsian yang adil, laporan data yang telus, serta disiplin dalam pelaksanaan.
Jika formula ini dikekalkan, tidak mustahil kerjasama awam–swasta akan terus menjadi pemacu kemakmuran inklusif di Bumi Kenyalang.
Rujukan:
- BP Editor 10. (2025, February 20). SDEC strengthens Sarawak’s digital connectivity through public-private partnerships. Borneo Post Online. https://www.theborneopost.com/2025/02/20/sdec-strengthens-sarawaks-digital-connectivity-through-public-private-partnerships/
- Premier Launches Sarawak H2 Hub: Pioneering Hydrogen Initiative to Propel State’s Clean Energy Ambitions. (2024). Gentari.com. https://www.gentari.com/insight/premier-launches-sarawak-h2-hub-pioneering-hydrogen-initiative-propel-states-clean-energy-ambitions
- Approval for Sarawak’s two new deep-sea ports. (n.d.). The Star. https://www.thestar.com.my/business/business-news/2024/04/22/approval-for-sarawaks-two-new-deep-sea-ports
- editorLC. (2025, May 28). Feasibility study underway for Tanjung Embang Deep Sea Port project. DayakDaily. https://dayakdaily.com/feasibility-study-underway-for-tanjung-embang-deep-sea-port-project/
- MEDIA RELEASE FOR IMMEDIATE RELEASE. (n.d.). https://paynet.my/press-release/2024/Sarawaks-SPAY-GLOBAL-Integrated-With-PayNets-DuitNowQR.pdf
- Malaysia PM says Petronas retains national role after Sarawak gas deal. (2024). CNA. https://www.channelnewsasia.com/business/malaysia-pm-says-petronas-retains-national-role-after-sarawak-gas-deal-4859691







