Jabatan Ketua Menteri mensasarkan untuk mencapai penarafan lima (5) bintang bagi tahun 2011, demikian harapan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani yang mengajak para penjawat awam negeri ini untuk mencapai taraf Lima Bintang bagi tahun 2011.
Bagi tahun sebelumnya, pencapaian empat (4) bintang yang diperolehi bolehlah dikatakan antara pencapaian terbaik di Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika memberikan amanat dalam Perhimpunan Jabatan Ketua Menteri Sarawak (JKM) yang pertama bagi tahun 2011 di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak lama, Petra Jaya pada 6 Januari 2011.
Jelas beliau kepada kira-kira 600 anggota kerja JKM yang terdiri daripada 21 buah unit dan unit kecil jabatan berkenaan dan sambil menambah kerjasama di kalangan warga penjawat awam dan berbekalkan aspirasi ‘1JKM’ yang diumumkan beliau semasa perhimpunan itu, di samping budaya kecemerlangan dalam tugas, ianya sesuatu yang boleh dicapai.
“Jadikanlah ia sebagai sasaran bagi kita. Kita dapat melakukannya (mencapai taraf Lima Bintang), kerana kita berkebolehan (dari segi sumber tenaga manusia) untuk mencapai,” kata YB Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi.
Perhimpunan juga dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, YBhg Datu Ose Murang serta pemangku Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, YBhg Datu Haji Misnu Taha, dan juga ketua-ketua unit di bawah JKM.
Sebelum itu, YB Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi menyatakan rasa gembira beliau kerana dapat berkumpul dalam perhimpunan yang julung kali diadakan.
“Perhimpunan seperti ini amat penting untuk menjelaskan tentang hala tuju dan harapan bagi tahun 2011, terutama untuk mentransformasi perkhidmatan awam dan meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” jelas beliau lagi.
Beliau turut menyatakan penghargaan beliau kepada para anggota JKM yang telah melakukan tugas cemerlang pada tahun 2010, dan menyifatkan banyak kejayaan telah dicapai bagi JKM khususnya dan perkhidmatan awam amnya.
Jelas beliau lagi, kesinambungan visi iaitu iaitu mentransformasikan organisasi kepada berprestasi tinggi perlulah dipertingkatkan dan semua pihak harus memainkan peranan masing-masing dalam mencapainya disamping menilai sumbangan mereka terhadap negeri, organisasi dan diri sendiri.






