spot_img
HomeNewsDari RAKAN SarawakTeknologi Sistem Pemantauan Kualiti Air Kolam Ternakan Akuakultur

Teknologi Sistem Pemantauan Kualiti Air Kolam Ternakan Akuakultur

Penggunaan Teknologi Pengawasan Jauh (TPJ) dalam aktiviti pengurusan penternakan akuakultur berpotensi meningkatkan kecekapan operasi, meningkatkan hasil ternakan dan mengurangkan risiko jangkitan penyakit.

Syarikat Pacton Technologies menampilkan teknologi sistem pemantauan air kolam yang boleh memeriksa kualiti air kolam ternakan akuakultur ikan dan udang pada jarak jauh secara efektif dengan menggabungkan penggunaan kamera dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Teknologi sistem AI Aquaculture Assistant yang dinamakan FishPeak menggunakan kamera sebagai komponen utama yang dipasang di tepi kolam, berfungsi untuk memeriksa kualiti air dengan hanya menangkap gambar yang akan dianalisis oleh AI yang telah diprogram lebih awal.

Menurut Pegawai Pemasaran Digital dan Penjenamaan, Pacton Technologies, Encik Syahrul Aiman, sistem berkenaan berupaya memeriksa kualiti air dari segi parameter air, oksigen, pH (kuasa hidrogen), saliniti (kemasinan) dan suhu yang dibaca berdasarkan warna serta pantulan cahaya.

Encik Syahrul Aiman menunjukkan produk FishPeak, iaitu sistem kamera yang digabungkan dengan teknologi AI bagi memantau serta menganalisis kualiti air kolam ternakan akuakultur secara jarak jauh

Seterusnya, data bacaan kualiti air akan dihantar terus ke telefon pintar melalui aplikasi WhatsApp ataupun ke papan pemuka yang dipasang khas.

Selain membaca kualiti air, sistem tersebut juga mampu menganalisis tingkah laku dan pergerakan ikan dan udang pada masa sebenar bagi membolehkan penternak memantau kesihatan ternakan serta mengambil tindakan awal bagi mengurangkan kematian.

Jelas Encik Syahrul, teknologi berkenaan penting untuk diketengah dan diperluas penggunaannya memandangkan para penternak sering menghadapi cabaran dalam menentukan kualiti air kolam dan mengenal pasti punca kematian ternakan.

Sistem tersebut juga berupaya memberi cadangan kepada penternak supaya mengambil tindakan perlu seperti meningkatkan kualiti suhu, oksigen, pH dan sebagainya.

Sebagai contoh, jika berlaku kekurangan dalam pH air, sistem akan mencadangkan penternak untuk menambah kuantiti sodium bikarbonat mengikut sukatan dan jumlah yang sesuai.

Sistem turut berfungsi dalam mengemas kini, misalnya 30 ikan mati, sistem akan mencadangkan penternak supaya menambah 500 biji benih ke dalam kolam selain mampu menyimpan resit dan rekod menerusi WhatsApp.

Inovasi terbaharu itu mula diperkenalkan pada tahun 2020 sebagai penambahbaikan kepada sistem sensor fizikal yang dipasang di dalam kolam ternakan.

Setakat ini, FishPeak telah dipasang di tiga (3) daripada kira-kira 50 kolam ternakan di seluruh Malaysia yang masih menggunakan sistem sensor yang dibiayai oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Di Sarawak, kolam ternakan akuakultur yang masih menggunakan sistem sensor terdapat di Bahagian Kuching dan Serian.

Secara ringkasnya, sistem tersebut mempunyai kelebihan yang memudahkan pemantauan kualiti air serta jauh lebih murah, iaitu sekitar RM2,000 berbanding dengan sistem sensor yang memerlukan kos penentukuran (calibration) dan penyelenggaraan yang boleh mencecah sehingga RM20,000.

Kaedah pemantauan termasuklah penjadualan makanan ternakan akuakultur melalui inovasi terbaharu itu juga boleh dikendalikan oleh seorang individu sahaja berbanding kaedah lama yang memerlukan beberapa orang pekerja bagi melakukan penyelenggaraan termasuklah kos upah pekerja.

Teknologi sistem FishPeak daripada Pacton Technologies telah dipamerkan di acara Sarawak Agrofest 2025 yang telah berlangsung di bandar Bintulu pada 22 hingga 31 Ogos 2025.

- Advertisement -

spot_img

RAKAN Sarawak, more than a bulletin - SUBSCRIBE NOW!

spot_img

- Advertisement -

Previous article
Next article