spot_img
HomeBermula Kecil-kecilan

Bermula Kecil-kecilan

En.
Mam
at memegang ayam kacukan yang telah matang
Penjagaan ayam En. Mamat tidak mendatangkan banyak masalah


Rasanya seakan ayam
kampung tetapi saiz serta rupanya mirip ayam daging. Demikian keistimewaan ayam
daging kacukan iaitu sejenis ayam yang terhasil dari kacukan ayam kampung dan
ayam daging.

Justeru tidak
menghairankan apabila harganya lebih tinggi berbanding ayam daging yang biasa
terdapat di pasaran. Di Bintulu harga pemborong adalah kira-kira RM10
sekilogram berbanding kira-kira RM4.50 bagi ayam daging.

Agak mahal tetapi
peminatnya tetap ada dan sentiasa mendapat permintaan.

Demikian menurut En.
Mamat Juna, 53 tahun, salah seorang pengusaha ayam daging kacukan yang
beroperasi di Batu 15 Jalan Bintulu-Miri.

Beliau merupakan
salah seorang peserta di bawah program ternakan komersil anjuran Bahagian
Veterinar, Jabatan Pertanian Bintulu.

Katanya, setiap hari
sejumlah kira-kira 30 hingga 60 ekor ayam yang dibawanya ke Pasar Tamu Bintulu
menggunakan van laris dibeli pelanggan.

Jelasnya, sebelum
pukul 10 pagi lagi beliau sudah pulang dari Pasar Tamu kerana biasanya stok
yang dibawa telah habis dibeli pelanggan.

Sesampai di rumah
beliau akan menguruskan hal-hal lain di reban ayam yang terletak berhampiran
dengan rumahnya termasuk memberikan makanan dan membersihkan reban.

Menurutnya,
perbelanjaan makanan ayamnya mencecah RM200 sehari (tiga guni). Selalunya
beliau akan membeli makanan secara pukal daripada pemborong.

Pada sebelah petang
pula, En. Mamat menguruskan kebun sayur (pelbagai jenis sayur daun) dalam
kelambunya yang seluas kira-kira setengah ekar terletak berhampiran rumahnya.
Kebun sayur beliau ini mampu menghasilkan sejumlah kira-kira 2,000 kilogram
sebulan.

En. Mamat memulakan
usaha menternak ayam kacukan ini sekitar tahun 1997 dan 1998 iaitu dengan
mengusahakan satu reban yang memuatkan kira-kira 200 ekor ayam. Anak ayam
kacukan itu pula diperoleh dari Karambungan dengan harga RM0.60 seekor.

Walau bagaimanapun,
minatnya untuk membesarkan usahanya memelihara ayam daging kacukan meningkat
setelah beliau mendapat pelbagai maklumat tentang bantuan yang ada disediakan
Jabatan Pertanian ketika menghadiri kursus anjuran jabatan itu di Stesen
Pertanian Karambungan, Miri.

Beliau kemudiannya
memohon bantuan pada tahun 2000 untuk membesarkan usahanya melalui program
ternakan komersil.

Tanpa sebarang
masalah, En. Mamat telah diberi bantuan dalam bentuk satu unit reban ayam yang
bersamaan dengan RM10,000.

Hari ini En. Mamat
menternak kira-kira 3,000 ekor ayam bagi satu-satu pusingan. Ayam ternakannya
itu diletakkan dalam empat reban mengikut usianya bagi memudahkan pengurusan
stok jualan.

Setiap pusingan ayam
kacukan adalah kira-kira 70 hari sebelum dapat dijual. Pada ketika itu setiap
ayam daging kacukan mencapai berat antara satu setengah sehingga dua kilogram.

Dengan bantuan serta
sokongan ahli keluarga, En. Mamat akan meneruskan usahanya dan berkeyakinan
usahanya akan terus berdaya maju pada masa hadapan.

Penghargaan: Encik
Lawrence Mamat, Pembantu Pertanian Bahagian Bintulu

- Advertisement -

spot_img

RAKAN Sarawak, more than a bulletin - SUBSCRIBE NOW!

spot_img

- Advertisement -