spot_img
HomeSarawakBintuluBermula Kecil-kecilan

Bermula Kecil-kecilan

Rasanya seakan ayam kampung tetapi saiz serta rupanya mirip ayam daging. Demikian keistimewaan ayam daging kacukan iaitu sejenis ayam yang terhasil dari kacukan ayam kampung dan ayam daging.

Justeru tidak menghairankan apabila harganya lebih tinggi berbanding ayam daging yang biasa terdapat di pasaran. Di Bintulu harga pemborong adalah kira-kira RM10 sekilogram berbanding kira-kira RM4.50 bagi ayam daging.

Agak mahal tetapi peminatnya tetap ada dan sentiasa mendapat permintaan.

Demikian menurut En. Mamat Juna, 53 tahun, salah seorang pengusaha ayam daging kacukan yang beroperasi di Batu 15 Jalan Bintulu-Miri.

Beliau merupakan salah seorang peserta di bawah program ternakan komersil anjuran Bahagian Veterinar, Jabatan Pertanian Bintulu.

Katanya, setiap hari sejumlah kira-kira 30 hingga 60 ekor ayam yang dibawanya ke Pasar Tamu Bintulu menggunakan van laris dibeli pelanggan.

Jelasnya, sebelum pukul 10 pagi lagi beliau sudah pulang dari Pasar Tamu kerana biasanya stok yang dibawa telah habis dibeli pelanggan.

Sesampai di rumah beliau akan menguruskan hal-hal lain di reban ayam yang terletak berhampiran dengan rumahnya termasuk memberikan makanan dan membersihkan reban.

Menurutnya, perbelanjaan makanan ayamnya mencecah RM200 sehari (tiga guni). Selalunya beliau akan membeli makanan secara pukal daripada pemborong.

Pada sebelah petang pula, En. Mamat menguruskan kebun sayur (pelbagai jenis sayur daun) dalam kelambunya yang seluas kira-kira setengah ekar terletak berhampiran rumahnya. Kebun sayur beliau ini mampu menghasilkan sejumlah kira-kira 2,000 kilogram sebulan.

En. Mamat memulakan usaha menternak ayam kacukan ini sekitar tahun 1997 dan 1998 iaitu dengan mengusahakan satu reban yang memuatkan kira-kira 200 ekor ayam. Anak ayam kacukan itu pula diperoleh dari Karambungan dengan harga RM0.60 seekor.

Walau bagaimanapun, minatnya untuk membesarkan usahanya memelihara ayam daging kacukan meningkat setelah beliau mendapat pelbagai maklumat tentang bantuan yang ada disediakan Jabatan Pertanian ketika menghadiri kursus anjuran jabatan itu di Stesen Pertanian Karambungan, Miri.

Beliau kemudiannya memohon bantuan pada tahun 2000 untuk membesarkan usahanya melalui program ternakan komersil.

Tanpa sebarang masalah, En. Mamat telah diberi bantuan dalam bentuk satu unit reban ayam yang bersamaan dengan RM10,000.

Hari ini En. Mamat menternak kira-kira 3,000 ekor ayam bagi satu-satu pusingan. Ayam ternakannya itu diletakkan dalam empat reban mengikut usianya bagi memudahkan pengurusan stok jualan.

Setiap pusingan ayam kacukan adalah kira-kira 70 hari sebelum dapat dijual. Pada ketika itu setiap ayam daging kacukan mencapai berat antara satu setengah sehingga dua kilogram.

Dengan bantuan serta sokongan ahli keluarga, En. Mamat akan meneruskan usahanya dan berkeyakinan usahanya akan terus berdaya maju pada masa hadapan.

Penghargaan: Encik Lawrence Mamat, Pembantu Pertanian Bahagian Bintulu

- Advertisement -

spot_img

RAKAN Sarawak, more than a bulletin - SUBSCRIBE NOW!

spot_img

- Advertisement -