Pendapatan hasil negeri untuk tahun 2025 telah diunjurkan semula dengan sedikit penurunan daripada unjuran awal, iaitu RM14.2 bilion.
Semakan tersebut dibuat berikutan kejatuhan harga minyak mentah global yang berterusan serta kesan dagangan berkaitan tarif import yang dikenakan oleh pentadbiran Amerika Syarikat.
Jumlah pendapatan yang diperolehi Sarawak tetap mencerminkan prestasi kewangan yang kukuh walaupun dalam suasana ekonomi semasa yang sarat dengan cabaran di peringkat global.
Kekukuhan kewangan negeri banyak disumbangkan oleh kutipan hasil cukai jualan negeri (SST) berjumlah RM3.9 bilion yang meliputi pelbagai sumber hasil.
Produk petroleum merupakan penyumbang cukai jualan terbesar dengan jumlah sebanyak RM2.9 bilion diikuti minyak sawit mentah dan isirung sawit sebanyak RM801 juta dan aluminium RM64 juta.
Selain itu, kutipan pampasan pengoperasian ke atas hak minyak dan gas diperolehi sebanyak RM2.2 bilion manakala hasil dividen pula mencecah RM1.1 bilion.
Hari ini, hasil kutipan SST produk petroleum menyumbang secara signifikan kepada lebihan belanjawan negeri sehingga mencecah jumlah berbilion ringgit setiap tahun.
Tarikh 13 Mac 2020 menjadi detik bermakna kepada Sarawak apabila Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan bahawa Sarawak berhak mengenakan SST terhadap produk petroleum seperti yang termaktub di bawah Perkara 95B (3) Perlembagaan Persekutuan.
Peruntukan perlembagaan tersebut secara jelas menyatakan bahawa Badan Perundangan Sabah dan Sarawak juga boleh membuat undang-undang bagi mengenakan cukai jualan dan apa-apa cukai jualan yang dikenakan di kedua-dua negeri hendaklah disifatkan sebagai antara perkara yang dinyatakan dalam Senarai Negeri dan bukannya dalam Senarai Persekutuan.
Keputusan itu dibuat susulan rayuan yang dikemukakan oleh Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) untuk mencabar keputusan Kerajaan Sarawak mengenakan SST ke atas produk petroleum dari sumber negeri bermula 1 Januari 2019 berdasarkan peruntukan di bawah Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998.
Langkah berani yang diambil oleh Kerajaan Sarawak dalam memperjuangkan hak berlandaskan undang-undang sedia ada yang sah akhirnya diakui dan telah membuahkan hasil lalu mengukuhkan lagi kedudukan fiskal Kerajaan.
Lebih mengujakan, Bank Dunia telah mengiktiraf Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi sejak tahun 2022 berdasarkan Pendapatan Negara Kasar (GNI) per kapita yang melebihi paras ambang yang ditetapkan.
Tahun 2024 menyaksikan GNI per kapita Sarawak mencatat jumlah RM73,100 atau bersamaan dengan USD17,000, jauh mengatasi nilai ambang RM63,800 (USD15,000) yang menjadi penanda aras status berpendapatan tinggi untuk tahun tersebut.
Pengiktirafan itu juga meletakkan Sarawak di kedudukan keempat wilayah berpendapatan tinggi selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Pulau Pinang, sekali gus mengatasi Selangor yang merupakan antara negeri termaju di Malaysia.
Mengimbas fasa suram ekonomi global akibat pandemik COVID-19 pada tahun 2020, ekonomi Sarawak ketika itu bertumbuh perlahan, iaitu pada kadar 6.7 peratus.
Namun demikian, kepimpinan negeri telah mengambil langkah proaktif dengan melancarkan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) pada Julai 2021 yang pada masa sama meletakkan visi Sarawak mencapai status berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.
Bangkit dari kesuraman ekonomi dengan berkompaskan pelan PCDS 2030 yang strategik, ekonomi negeri mula berkembang 7.1 peratus pada 2022.
Momentum itu dapat dikekalkan dengan purata pertumbuhan 4.1 peratus sehinggalah pendapatan negeri meningkat hampir dua kali ganda daripada RM7.6 bilion pada tahun 2021 kepada RM14.2 bilion pada tahun 2024.
Lebih memberi makna, pulangan ekonomi ini disalurkan kembali kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif dan bantuan kebajikan termasuklah pembangunan pendidikan, kesihatan dan infrastruktur asas yang tertumpu di luar bandar.
Hal ini mencerminkan tanggungjawab fiskal dan kewangan awam yang berhemat, telus dan berimpak dengan memastikan agihan pendapatan dinikmati secara saksama justeru menjunjung prinsip keadilan sosial.
Program seperti Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Bantuan Ibu Bersalin (BIB) dan bantuan khas kewangan untuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sedikit sebanyak membantu meringankan beban kos sara hidup golongan berpendapatan rendah.
Tahun ini juga menyaksikan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) akan mula dilaksanakan di IPT milik negeri.
Inisiatif ini bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, tetapi juga berupaya meningkatkan akses pendidikan tinggi untuk anak Sarawak.
Lain daripada itu, projek jalan pesisir termasuk pembinaan beberapa rangkaian jambatan serta Projek Jalan Banang Kedua juga dibangunkan bertujuan untuk menjana pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
Keupayaan Sarawak membiayai sendiri projek-projek berimpak tinggi itu adalah impak nyata hasil daripada kebijakan dasar dan tindakan dalam mencari sumber pendapatan tambahan dengan berlandaskan undang-undang dan perlembagaan.
Atas usaha tersebut, Sarawak kini mampu ‘berdikari’ dan tidak lagi terlalu bergantung dengan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan, terutama dalam membangunkan infrastruktur asas.
Namun, kelebihan yang dimiliki itu tidak bererti tiada usaha sampingan dilaksanakan bagi meningkatkan pendapatan negeri.
Sebaliknya, Sarawak mengorak langkah strategik membangunkan ekonomi dan menarik pelaburan bernilai tinggi, khususnya dalam industri berasaskan gas, tenaga hijau dan tenaga boleh baharu.
Pelan jangka panjang Sarawak Gas Roadmap (SGR) oleh PETROS misalnya, dijangka menarik pelaburan mencecah RM300 bilion serta menjana pengeluaran bernilai RM120 bilion menerusi rantaian produk dan perkhidmatan berkaitan.
Pelan itu yang dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun bermatlamat utama untuk meningkatkan penggunaan gas domestik daripada 6 peratus kepada 30 peratus menjelang tahun 2030 sebagai sebahagian daripada strategi yang lebih besar dalam memanfaatkan sumber gas asli untuk transformasi sosioekonomi.
Matlamat ini akan memainkan peranan dalam mencapai visi Sarawak yang lebih luas untuk menjana 1GW elektrik menjelang 2030, seterusnya 1.5GW menjelang 2035 dengan memanfaatkan gabungan sumber tenaga hidro, gas, hidrogen dan solar.
Melihat secara keseluruhan, pertumbuhan ekonomi Sarawak mampu berdaya tahan biarpun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
Sebagai sebuah wilayah yang kaya sumber, Sarawak bijak mencari peluang meningkatkan pendapatan tambahan berlandaskan peruntukan undang-undang dan hak yang telah termaktub.
Keupayaan Sarawak mengukuhkan kewangannya adalah hasil daripada dasar ekonomi yang jelas, berpandangan jauh dan pragmatik dengan mengutamakan kebajikan rakyat.
Memiliki asas ekonomi yang kukuh, Sarawak berada di landasan tepat menjadi wilayah maju menjelang tahun 2030.
Rujukan:
- Penyata Rasmi Persidangan Dewan Undangan Negeri, Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Keempat, 24 November – 3 Disember 2025
- https://www.tvsarawak.my/2026/01/12/pendapatan-sarawak-melonjak-kepada-rm13-5-bilion-tahun-lepas/
- https://www.tvsarawak.my/2025/07/22/bank-dunia-iktiraf-sarawak-berpendapatan-tinggi-tiga-tahun-berturut-turut/







