HIKMAH Exchange merupakan bangunan pintar ataupun “Smart Building” yang pertama di negeri ini akan dilengkapi sepenuhnya dengan sistem sentuhan elektronik atau e-switch akan menjadi perintis sistem digital sepenuhnya pada bangunan moden lain di Sarawak.
Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg berkata demikian sewaktu merasmikan Pusat Konvensyen HIKMAH Exchange pada 5 Ogos 2023.

Bangunan pintar pejabat setinggi 22 tingkat tersebut, menurut beliau bakal menjadi tempat terkemuka untuk pusat pentadbiran kerajaan negeri dan juga perniagaan selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk memperluaskan penggunaan teknologi dalam segala urusan.
Beliau berkata lagi dengan kemajuan teknologi dalam komunikasi membolehkan agensi-agensi kerajaan negeri mengurus serta mentadbir dan memberi perkhidmatan yang lebih pantas dan efisien kepada masyarakat.
Jelas beliau lagi, semua urusan tidak lagi dilakukan secara manual, hanya di atas talian dan semua maklumat berada di hujung jari sahaja selaras dengan objektif kerajaan dalam pelaksanaan program “Old Kuching Smart Heritage” iaitu “Untuk mewujudkan infrastruktur pintar melalui IT dan teknologi termaju”.
Pada masa yang sama, membangunkan daya saing “Old Kuching Smart Heritage sebagai destinasi pelancongan sekali gus menaik taraf sosio-ekonomi masyarakat setempat.
Manakala Pusat Konvensyen Hikmah Exchange pula bakal menjadi tempat menganjurkan pelbagai aktiviti seperti majlis-majlis perkahwinan, mesyuarat, seminar, konvensyen dan banyak lagi seumpamanya baik untuk peringkat tempatan mahupun yang bertaraf antarabangsa.
Dilengkapi dengan infrastruktur pintar dan teknologi termaju, akan menjadi daya tarikan kepada pelancong asing melibatkan kehadiran para delegasi dari luar negara, sudah pasti akan memeriahkan Industri Pelancongan di kawasan Satok dan Bandar Raya Kuching keseluruhannya.
Bukan itu sahaja, HIKMAH Exchange juga akan menempatkan stesen untuk perkhidmatan Kuching Autonomous Rail Transit (ART) dan sekali gus akan mengubah landskap di kawasan Satok ke arah bandar yang moden
Pada perspektif lain, HIKMAH Exchange akan menjadi ikon yang mengabdikan sejarah penempatan masyarakat Melayu di kawasan Satok (setanding dengan peranan serta fungsi Medan Bina Mara yang pernah dibangunkan di kawasan Jalan Haji Taha suatu ketika dahulu)
Tambah beliau lagi, HIKMAH Exchange juga menjadi titik penting dalam usaha untuk mempertahankan hartanah milik masyarakat Melayu di bandar kerana tidak banyak lagi hartanah masyarakat Melayu yang ada akibat hakisan pemilikan berikutan kepesatan pembangunan yang berlaku sejak beberapa tahun lalu.

Di samping itu, Hikmah Exchange bakal menyediakan dan meningkatkan pelabur bumiputera untuk menyertai dan menjadi sebahagian daripada pelaburan hartanah komersial; REITs.
Pada dasarnya, pendapatan dari sewa hartanah dapat memberi peluang kepada masyarakat untuk menikmati pulangan dari segi dividen dan konsep ini menepati idea asal pembangunan Hikmah Exchange iaitu memberi manfaat kepada masyarakat.
HIKMAH Exchange yang bernilai RM300 juta telah dibangunkan oleh Permodalan Satok Berhad (PSB) yang merupakan anak syarikat milik Yayasan Hartanah Bumiputera Sarawak.







