Untuk mencapai visi menjadi universiti terkemuka dunia, UiTM Cawangan Sarawak menggandakan usaha penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatannya dengan menekankan penyediaan pendidikan berkualiti, pemerkasaan bakat, kecemerlangan akademik dan penyampaian perkhidmatan yang cemerlang agar dapat memastikan ekosistem akademik dan pentadbiran yang mampan, responsif dan relevan dalam menghadapi perubahan persekitaran pendidikan tinggi.
Menurut Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Prof. Dr. Firdaus Abdullah, penambahbaikan dilaksanakan melalui gabungan strategi, pendekatan dan teknologi yang berfokuskan pada pengukuhan tadbir urus, kecekapan operasi serta pengalaman pelanggan.







