spot_img
HomeNewsPaparan Semasa | News FeatureKerajaan Negeri Peruntuk RM2.8 Bilion Untuk Pembangunan Infrastruktur Luar...

Kerajaan Negeri Peruntuk RM2.8 Bilion Untuk Pembangunan Infrastruktur Luar Bandar

Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Abang Haji Openg memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM2.8 bilion bagi melaksanakan pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas di kawasan luar bandar.

Antaranya ialah sambungan bekalan air di kawasan-kawasan kritikal, pembinaan sistem rangkaian pengedaran air dan loji rawatan air yang akan dilaksanakan dalam tempoh dua (2) tahun.

Demi kepentingan masyarakat luar bandar, beliau menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri akan menangguh buat sementara waktu Projek Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) kerana mahu memberi keutamaan kepada projek sambungan bekalan air ke kawasan luar bandar yang dianggap lebih penting.

Sehubungan itu, beliau turut memaklumkan sebanyak 247 projek akan dilaksanakan dan dijadualkan siap dalam tempoh dua tahun akan datang.

Sejumlah 247 projek tersebut merangkumi loji rawatan air, sistem rangkaian pengedaran air, kerja-kerja penambahbaikan, penggantian paip, pengurusan air tanpa hasil (NRW), inisiatif pemodenan dan Bekalan Air Luar Bandar Alternatif Sarawak (SAWAS).

Bagi melaksanakan projek-projek tersebut, beliau juga mahu memberi keutamaan kepada  kontraktor  serta pembekal tempatan.

Hal ini kerana, dengan mengambil pekerja tempatan untuk melaksanakan projek-projek tersebut, ia akan memberi kesan positif terhadap ekonomi melalui peluang pekerjaan dan perniagaan tempatan seterusnya akan memberi kesan kepada ekonomi domestik negeri.

Ketua Menteri berkata demikian ketika merasmikan Majlis Persidangan dan Pameran Air dan Kumbahan Borneo (BWWEC) yang Ke-4 di Kuching pada 10 Oktober 2018.

BWWEC yang berlangsung selama dua hari dari 10 hingga 11 Oktober bertemakan “Grid Air Pintar Menerusi Inovasi, Perkongsian dan Pendigitalan” selari dengan visi Ketua Menteri ke arah negeri pendigitalan sepenuhnya.

Berdasarkan tema tersebut, ia akan memberi fokus kepada pengguna akhir dalam industri air dan kumbahan dan membawa masa depan baharu platform pengurusan air di bawah grid air pintar.

Persidangan selama dua hari itu menampilkan tujuh (7) penceramah antarabangsa dan 21 penceramah tempatan merupakan pakar dalam bidang bekalan air dan kumbahan termasuk dari kalangan akademik, pakar industri dan agensi berkaitan.

- Advertisement -

spot_img

RAKAN Sarawak, more than a bulletin - SUBSCRIBE NOW!

spot_img

- Advertisement -

Previous article
Next article