spot_img
HomeGaleri Foto | Photo GalleryPelajar Perlu Dilengkapi Kemahiran Bagi Memenuhi Keperluan Industri

Pelajar Perlu Dilengkapi Kemahiran Bagi Memenuhi Keperluan Industri

Institusi Pengajian Tinggi (IPT) perlu menghasilkan graduan yang lengkap dengan kemahiran selain daripada kempetensi akademik bagi mempersiapkan mereka ke alam pekerjaan dan dapat memenuhi keperluan industri.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi YB Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, untuk memenuhi kehendak pasaran pekerjaan, para pelajar perlu melengkapkan diri dengan kemahiran termasuk mampu berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dengan baik.

Menurut beliau, penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar sangat penting kerana ia amat membantu dalam proses untuk mendapatkan pekerjaan di samping membentuk keyakinan diri mereka.

Kemahiran ini sangat penting kerana, meskipun mereka mempunyai latar akademik yang baik, namun sekiranya kurang keyakinan dan gagal menjawab soalan semasa temuduga dengan tepat menyebabkan mereka tersingkir daripada senarai.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran #Innovate Sarawak, Cabaran Reka Bentuk 2018 di Dewan Syarahan, Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 11 Disember 2017.

Bagi memastikan graduan yang sepenuhnya dapat memenuhi keperluan industri hari ini, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa komited membantu IPT di Sarawak untuk melahirkan modal insan yang kompeten dan memenuhi keperluan industri.

Kerajaan Negeri turut membantu pihak IPT dalam menyediakan program yang komprehensif untuk pelajar bagi melengkapkan mereka dengan ilmu kemahiran yang dikehendaki oleh industri.

Dalam mendukung usaha tersebut, Kerajaan Negeri bersama Kementerian Pendidikan Tinggi telah menganjurkan #Innovate Sarawak, Cabaran Reka Bentuk 2018 di bawah Inovasi Malaysia, Edisi Khas Sarawak.

#Innovate Sarawak, Cabaran Reka Bentuk 2018 merupakan satu inisiatif usahasama antara UNIMAS, Tabung Gagasan Ekonomi Bumiputera Sarawak (TEGAS) dan Dream Cather bersama rakan-rakan industri lain.

#Innovate Sarawak, Cabaran Reka Bentuk 2018 akan diadakan pada 14 dan 15 Mei 2018 yang terdiri daripada dua kategori iaitu Big Data Challenge dan Internet Of Things (IOT) Challenge.

- Advertisement -

spot_img

RAKAN Sarawak, more than a bulletin - SUBSCRIBE NOW!

spot_img

- Advertisement -