Projek Padi Stumbin–Bijat di Sri Aman bukan sekadar satu projek pertanian baharu, tetapi suatu langkah strategik yang mencerminkan bagaimana pembangunan wilayah dan sekuriti makanan negara perlu bergerak seiring dalam era ketidaktentuan global hari ini.
Ketika dunia berdepan risiko perubahan iklim, gangguan rantaian bekalan dan tekanan geopolitik, Malaysia tidak lagi mampu berpuas hati dengan kedudukan semasa dalam pengeluaran makanan ruji.
Inisiatif berani kerajaan Sarawak memperuntukkan RM1 bilion untuk membangunkan 10,000 hektar sawah padi di Stumbin-Bijat merupakan satu ikhtiar penting ke arah mengukuhkan ketahanan makanan nasional.
Setakat 2023, Malaysia dicatatkan menghasilkan sekitar 2.5 juta tan metrik padi setahun, namun angka ini hanya mencukupi untuk menampung kira-kira 63 peratus keperluan domestik.
Realitinya, negara masih bergantung kepada import dari Thailand, Vietnam, India dan Pakistan bagi memenuhi baki keperluan.
Lebih membimbangkan, negara terlalu bergantung kepada satu wilayah iaitu Kedah, yang menyumbang hampir 1 juta tan metrik atau lebih 40 peratus daripada keseluruhan pengeluaran padi negara.
Kebergantungan sebegini menjadikan Malaysia terdedah kepada risiko sekiranya negeri tersebut berdepan bencana alam atau gangguan pengeluaran.
Keadaan ini membuktikan keperluan segera untuk memperluaskan tapak pengeluaran padi negara, bukan sahaja untuk menampung permintaan, tetapi sebagai strategi jangka panjang menjamin keselamatan makanan.
Sarawak, dengan populasi kira-kira 2.5 juta serta keluasan tanah yang luas dan sumber air yang stabil, memiliki kelebihan tersendiri.
Walaupun pengeluaran padi negeri ketika ini masih rendah, aspirasi untuk menjadi pengeksport beras tidak lagi kedengaran mustahil.
Namun, hasil positif dapat dilihat daripada pelaksanaan projek rintis di bawah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Batang Lupar iaitu Projek SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang dilaksanakan di Tanjung Bijat dengan kerjasama Padiberas Nasional (BERNAS) dan Advansia (Sarawak) Sdn. Bhd.
Pada musim kedua 2023 purata tuaian meningkat kepada 5.5 tan/hektar berbanding hanya 2.8 tan/hektar sebelum ini.
Peningkatan ini justeru menjadi penanda baik bagi kerajaan memulakan usaha lanjutan bagi memajukan sektor pertanian padi melalui projek mega Stumbin–Bijat yang diiktiraf sebagai salah satu usaha terpenting di bawah agenda pembangunan pertanian negeri.
Projek ini melibatkan peruntukan besar sebanyak RM1 bilion, yang diagihkan secara berfasa iaitu RM500 juta pada tahun 2025 dan RM500 juta lagi pada 2026.
Menariknya, peruntukan ini tidak termasuk kawasan Simunjan dan Lundu, menandakan fokus penuh kerajaan negeri untuk mewujudkan sebuah zon pengeluaran padi yang benar-benar komprehensif dan berdaya saing di Sri Aman.
Pelaburan ini difokuskan kepada pembangunan sistem pengairan moden, yang menjadi tulang belakang kejayaan penanaman padi berskala besar.
Infrastruktur pengairan bersepadu membolehkan pengurusan air lebih cekap, mengurangkan risiko banjir dan kemarau, selain membuka ruang kepada potensi dua hingga tiga musim penanaman setahun, sesuatu yang sukar dicapai melalui kaedah tradisional.
Sri Aman pula berada di kedudukan strategik dalam perancangan ini.
Kawasan seperti Lingga, yang telah menghasilkan 1,421 tan metrik padi dengan 750.9 tan metrik jualan, membuktikan tanahnya subur dan produktif.
Oleh itu, Stumbin dan Bijat yang memiliki kawasan tanah datar yang sesuai untuk pembinaan empangan, saliran dan sistem irigasi moden sangat bersesuaian untuk pelaksanaan projek mega ini.
Keseluruhan kluster ini dirancang untuk meningkatkan pengeluaran padi Sarawak sehingga 250,000 tan metrik setahun apabila siap sepenuhnya dan menjadi satu lonjakan besar yang mampu memberi impak signifikan kepada bekalan makanan nasional.
Selain meningkatkan pengeluaran beras, projek ini juga berperanan menyelesaikan masalah-masalah lama yang mengekang sektor padi negara.
Antaranya termasuklah kos input yang tinggi, serangan penyakit tanaman, risiko iklim melampau, hasil yang tidak stabil, pendapatan pesawah kecil yang rendah serta minat generasi muda yang semakin merosot terhadap sektor pertanian.
Dengan penerapan teknologi moden seperti dron pembajaan, sensor tanah, benih tahan cuaca ekstrem, serta penggunaan mesin seperti transplanter dan combine harvester, projek ini membuka era baharu “pertanian pintar” yang lebih produktif, cekap dan menarik kepada generasi muda.
Lebih penting, manfaat projek ini tidak hanya terhad kepada angka pengeluaran.
Ia membawa nilai sosial dan ekonomi yang besar kepada penduduk setempat di Sri Aman.
Pembinaan infrastruktur asas seperti jalan ladang, rumah pam, terusan dan pusat pengumpulan padi akan merancakkan pembangunan kawasan luar bandar.
Pekan kecil seperti Stumbin dan Bijat berpotensi menjadi pusat pertumbuhan ekonomi dengan wujudnya permintaan terhadap perkhidmatan logistik, pembekalan input pertanian, pemprosesan hasil, perniagaan kecil dan peluang pekerjaan baharu dalam skop teknikal dan keusahawanan.
Bagi pesawah tempatan, projek ini menjanjikan peningkatan pendapatan melalui produktiviti lebih tinggi, kos operasi yang lebih rendah dan rantaian nilai yang lebih tersusun.
Belia tempatan pula berpeluang menceburi kerjaya baharu dalam operasi jentera moden, pengurusan data pertanian dan teknologi dron.
Wanita di kawasan luar bandar juga berpotensi memperluas aktiviti perusahaan kecil berasaskan hasil padi, termasuk produk makanan, pemprosesan dan pemasaran digital.
Ini sekali gus menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup masyarakat tempatan.
Dari sudut strategik pula, projek ini memberi Malaysia satu bentuk insurans makanan jangka panjang.
Ketika banyak negara mengehadkan eksport beras akibat cuaca ekstrem atau keselamatan makanan domestik, Malaysia tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada import.
Sarawak berpotensi menjadi benteng hadapan dalam menjamin bekalan beras negara, seterusnya menyumbang kepada kestabilan harga dan mengurangkan risiko kejutan pasaran.
Secara keseluruhannya, Projek Mega Padi Stumbin–Bijat adalah manifestasi bagaimana sebuah wilayah boleh diperkasakan melalui pembangunan berasaskan pertanian moden yang berimpak tinggi.
Ia bukan sahaja menambah keluasan sawah negara, tetapi turut mengubah landskap pertanian Sarawak menjadi lebih moden, profesional dan berdaya tahan.
Lebih daripada itu, ia memberi sinar baharu kepada penduduk Sri Aman melalui penciptaan peluang ekonomi, peningkatan pendapatan dan pembangunan sosial yang lebih seimbang antara bandar dan luar bandar.
Dengan perancangan teliti, pelaksanaan berfasa dan penggunaan teknologi moden, tidak mustahil Sarawak akan menjadi salah satu pusat pengeluaran padi yang paling penting di Malaysia malah berpotensi besar muncul sebagai pengeksport beras pada masa depan.
Projek ini adalah bukti bahawa sekuriti makanan bukan semata-mata tentang menghasilkan beras, tetapi tentang membina masa depan yang lebih stabil, berkualiti dan inklusif untuk seluruh rakyat.
Annuar Roshad. (2025). ISU PADI DAN BERAS NEGARA: DI MANA PENGHUJUNGNYA? Laman Web MKN. https://www.mkn.gov.my/web/ms/2025/06/12/isu-padi-dan-beras-negara-di-mana-penghujungnya/
Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. (2024). Perangkaan Agromakanan Malaysia 2023. https://www.kpkm.gov.my/images/08-petak-informasi/penerbitan/perangkaan-agromakanan/Perangkaan-Agromakanan-Malaysia-2023.pdf
EDISI UKAS. (2025). News – Laman Web Jabatan Premier Sarawak. Sarawak.gov.my. https://premierdept.sarawak.gov.my/web/subpage/news_view/24567/UKAS
https://www.facebook.com/iloveborneomy. (2024). I Love Borneo. I Love Borneo. https://www.iloveborneo.my/sarawak-peruntuk-rm1-bilion-projek-padi-sri-aman/
Malaysia, D. of S. (2023). Malaysia – Populasi Penduduk Malaysia | OpenDOSM. Open.dosm.gov.my. https://open.dosm.gov.my/ms-MY/dashboard/population







