spot_img
HomeNewsDari RAKAN SarawakSiapsiaga Hadapi Kecemasan dan Bencana

Siapsiaga Hadapi Kecemasan dan Bencana

Malaysia sering berhadapan dengan beberapa jenis bencana alam yang memberi kesan kepada rakyatnya. Antara bencana yang paling kerap berlaku seperti banjir, tanah runtuh, jerebu, ribut, kebakaran besar.

Kerap kali, berlaku banjir besar dan banjir kilat, terutamanya semasa musim monsun timur laut. Hujan lebat yang berpanjangan boleh menyebabkan limpahan sungai dan sistem saliran  tidak  berfungsi sepenuhnya dan ini memburukkan lagi keadaan.

Lebih merisaukan, kejadian tanah runtuh boleh berlaku akibat hujan lebat dan pergerakan tanah, ia turut disebabkan aktiviti perladangan, pembalakan dan pembangunan yang tidak terancang.

Begitu juga dengan jerebu, kebakaran terbuka terutama di negara jiran boleh menjejaskan kualiti udara dan kesihatan rakyat Malaysia.

Keadaan diburukkan lagi dengan pelbagai insiden kebakaran luar jangka yang memerlukan pelan tindakan kecemasan untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda.

Ada bencana yang boleh dijangka seperti banjir dan kemarau berdasarkan data-data daripada Jabatan Meteorologi Malaysia serta ramalan meteorologi, iklim dan geofizik.

Namun kita tidak berupaya mengelak bencana  yang berlaku secara tiba-tiba seperti kebakaran, tanah runtuh ataupun banjir kilat.

Definisi membezakan kejadian bencana dan bukan bencana

Malaysia merekodkan kerugian sebanyak RM933.4 juta akibat banjir tahun 2024, bersamaan 0.05 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menurut Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)

Kajian turut menunjukkan kerugian terbesar dicatatkan bagi tempat kediaman melonjak kepada RM372.2 juta berbanding RM168.3 juta pada 2023, diikuti aset awam dan infrastruktur sebanyak RM303.4 juta (2023: RM380.7 juta).

Kerugian dalam sektor pertanian turut meningkat kepada RM185.2 juta (2023: RM120.6 juta) manakala premis perniagaan mencatatkan kerugian RM54.1 juta (2023: RM53.2 juta).

Sementara itu kerosakan kenderaan berjumlah RM17.3 juta (2023: RM22.3 juta) manakala sektor pembuatan mencatatkan kerugian paling kecil iaitu RM1.2 juta (2023: RM10.3 juta).

Jenis-jenis banjir yang kerap berlaku

Sarawak pernah mencatatkan sejarah banjir paling teruk iaitu pada tahun 2009 yang mana telah mencatatkan kerugian berjumlah lebih kurang RM300 juta dan yang terkini 2024 banjir besar di Sarawak yang menyebabkan kerugian RM27 juta dengan menjejaskan sejumlah 618,108 buah rumah kediaman terutama di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu.

Banjir besar yang berlaku di Sarawak pada tahun 2024 telah menyebabkan kerugian RM27 juta dengan menjejaskan sejumlah 618,108 buah rumah kediaman terutama di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu

Apabila berbicara tentang kesiapsiagaan menghadapi kecemasan, dikaitkan dengan persiapan sebelum sesuatu kejadian bencana itu berlaku,

Mengambil contoh bencana banjir, salah satu agensi yang bertanggungjawab bagi mengurus dan merancang infrastruktur saliran dan pengairan serta menyiasat punca-punca banjir dan tanah runtuh ialah Jabatan Pengairan dan Saliran (DID)

Berdasarkan angka-angka dan data-data kejadian yang telah berlaku seharusnya dijadikan asas dalam menentukan pembangunan pada masa datang dan bagaimana kita meminimumkan kesan kerosakan akibat daripada banjir tersebut.

Walaupun Rancangan Tebatan Banjir (RTB), sistem perparitan, pengairan dan kawalan pintu air telah dilaksanakan bagi mengurangkan impak banjir tetapi ia dilihat tidak mencukupi disebabkan pembangunan terlalu pesat yang berlaku di sekitarnya yang menganggu sistem saliran dan perparitan.

Pembangunan tidak terkawal serta mengabaikan sistem saliran turut menyumbang kepada kejadian banjir kilat

Tanggungjawab bersama daripada pihak berkuasa tempatan, pemaju dan masyarakat dilihat masih lagi kurang dan tidak lagi selari dengan usaha kita menanganinya, yang mungkin berpunca daripada kekurangan sumber manusia dan kesedaran masyarakat.

Kerap kali juga kedengaran, masih ada di pihak berkuasa tempatan (kawasan penyeliaan di bawah pentadbiran mereka) yang “masih lagi tercari-cari” dan belum mempunyai kaedah penyelesaian terbaik terutama sistem perparitan dan pintu air yang berkesan.

Pun begitu, ada juga pihak berkuasa tempatan yang proaktif dengan mempersiapkan beberapa bulan lebih awal kerja penyelenggaraan perparitan secara intensif untuk memastikan aliran air lebih lancar serta mengenal pasti sekiranya terdapat kawasan baharu yang mungkin terjejas akibat banjir kilat, air pasang, dan hujan lebat.

Keadaan begitu mencabar buat Sarawak yang berhadapan dengan bentuk geografi yang mencabar dan ada lokasi penempatan yang jauh terpencil menyukarkan pergerakan dan penempatan logistik penyelamat.

Kegagalan turut berpunca daripada kelemahan kita yang masih lagi berpegang kepada pendekatan  konvensional dalam menangani risiko bencana.

Pendekatan konvensional dalam kesiapsiagaan menghadapi bencana biasanya melibatkan strategi yang lama yang masih digunakan oleh pihak berkuasa dan masyarakat. Antara pendekatan utama ialah Sistem amaran awal – Penggunaan teknologi seperti siren, pengumuman radio, dan aplikasi amaran cuaca untuk memberi maklumat kepada penduduk sebelum bencana berlaku.

Grafik menunjukkan bagaimana teknologi dapat dimanfaatkan untuk menangani banjir

Latihan dan simulasi – Program latihan berkala untuk masyarakat dan pasukan penyelamat bagi memastikan mereka bersedia menghadapi situasi kecemasan.

Pelan pemindahan – Penyediaan laluan pemindahan dan pusat perlindungan bagi mangsa bencana.

Pembangunan infrastruktur tahan bencana – Pembinaan bangunan dan sistem saliran yang mampu mengurangkan kesan bencana seperti banjir dan gempa bumi.

Kerjasama antara agensi – Koordinasi antara pihak berkuasa tempatan, badan bukan kerajaan (NGO), dan organisasi antarabangsa dalam usaha bantuan dan pemulihan.

Bukanlah bermaksud, pendekatan tersebut tidak berkesan, tetapi seiring dengan perubahan iklim yang ekstrem, ia memerlukan beberapa strategi baharu agresif dengan penggunaan teknologi moden perlu dirangka dalam sebagai kesiapsiagaan menghadapi bencana pada masa akan datang.

Visual menggambarkan kaitan penggunaan teknologi membantu menangani banjir

Malaysia berada di landasan yang tepat apabila sudah mula mengadaptasi pengguna teknologi moden seperti Sistem Ramalan Banjir Berasaskan AI – Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia telah membangunkan Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRABN) yang menggunakan data cuaca, aliran sungai, dan paras air untuk memberikan ramalan banjir secara masa nyata.

Bagi tujuan ini juga, Jabatan Meteorologi Malaysia telah membangunkan Aplikasi Mudah Alih untuk Amaran Awal – Aplikasi seperti MyCuaca memberikan maklumat cuaca terkini serta amaran cuaca ekstrem kepada penduduk.

Bagi negara-negara maju seperti Jepun, kunci utama kecekapan mereka dalam menghadapi krisis bencana alam adalah penggunaan teknologi terkini seperti teknologi dron, peninjau robotik, peramalan cuaca, pengimejan satelit, sensor pengesanan bencana dan sistem amaran awal perlu dipertingkatkan.

Jepun juga memanfaatkan teknologi komunikasi dan pengimejan satelit yang mampu menyalurkan maklumat sangat penting untuk pemantauan serta menghadapi bencana.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat daerah perlu lebih agresif  dalam menjangka  situasi terburuk  dengan merangka pelan kecemasan bersepadu (mengikut tempat masing-masing iaitu setempat) melibatkan penduduk, agensi kerajaan, sektor swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO)

Pengetahuan asas survival (secara individu dan berkumpulan) sangat penting berhadapan dengan situasi genting di awal tempoh bencana selain tindak balas awal sebelum bantuan daripada agensi lain sampai.

Setiap bandar dan desa juga wajib menyediakan pelan menyelamat dan pasca bencana menyeluruh untuk menghadapi kemungkinan berlakunya bencana di samping memastikan pihak pemaju tidak melanggar peraturan yang boleh merosakkan alam sekitar dan wajib menyediakan sistem saliran mesra alam.

- Advertisement -

spot_img

RAKAN Sarawak, more than a bulletin - SUBSCRIBE NOW!

spot_img

- Advertisement -