spot_img
HomeSkim Baucar Tuisyen (SBT) Bantu Murid Miskin

Skim Baucar Tuisyen (SBT) Bantu Murid Miskin

artikel sumbangan : George Langat Ngau

Kemiskinan bukanlah perkara baru dalam kehidupan masyarakat di negara kita.
Faktor kemiskinan sememangnya antara penyebab utama keciciran dan kemunduran
dalam pelajaran sesebuah kaum atau bangsa itu.

Negara kita bertuah kerana kerajaan sentiasa prihatin tentang masalah ini
dan melakukan pelbagai usaha yang berterusan sehinggalah jurang pemisah di
antara golongan yang berada dan yang miskin semakin berkurangan.

Namun, golongan miskin ini sentiasa diberi perhatian dalam projek atau
program pembangunan untuk mempertingkatkan taraf kehidupan dan sosioekonomi
mereka. Salah satu program kerajaan yang dijangka akan dapat membela golongan
ini adalah dengan memberi skim tuisyen percuma kepada anak-anak mereka. Bantuan
yang diberikan oleh kerajaan ini dinamakan Skim Baucer Tuisyen (SBT).

SBT adalah merupakan satu bentuk intervensi pendidikan yang disasarkan
kepada murid miskin yang lemah atau terkebelakang di peringkat awal pendidikan.
Peringkat ini adalah kritikal bagi murid-murid tersebut dalam menentukan
pencapaian dan masa depan mereka.

SBT dilaksanakan melalui kerjasama kerajaan, sekolah dan ibubapa murid
tersebut. Melalui intervensi ini adalah diharapkan supaya peluang dan pencapaian di antara murid daripada keluarga
miskin dan murid daripada keluarga berada dapat diseimbangkan.

Objektif SBT diadakan adalah bertujuan untuk memberi bimbingan tambahan
atau tuisyen kepada murid miskin yang lemah dalam mata pelajaran Bahasa
Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains bagi membolehkan murid tersebut
menguasai pengetahuan dan kemahiran asas dalam mata pelajaran berkenaan.

Oleh itu, melalui SBT adalah diharapkan agar Contact hour murid dan guru akan bertambah dan kadar penyertaan
murid daripada keluarga miskin pada peringkat pendidikan yang lebih tinggi akan
meningkat.

Keyakinan dan motivasi murid juga diharapkan untuk memperbaiki kelemahan
mereka dan menguasai pengetahuan dan kemahiran asas dalam mata pelajaran akan turut
meningkat. Pencapaian akademik murid juga diharapkan akan meningkat dan jurang
pencapaian antara murid daripada keluarga miskin dan keluarga berada akan
berkurangan.

Sebelum pemilihan untuk murid yang layak menerima bantuan SBT ini, terdapat
syarat kelayakan yang harus diambilkira. Antaranya adalah murid mesti
warganegara Malaysia, belajar di tahun 4, 5 atau 6 di sekolah rendah kerajaan
atau sekolah rendah bantuan kerajaan dan pendapatan bulanan keluarga adalah
RM530.00 dan ke bawah bagi Semenanjung Malaysia, RM585.00 dan ke bawah bagi
Sarawak dan RM685.00 dan ke bawah bagi Sabah/WP.Labuan.

Selain itu, murid-murid yang terlibat juga harus diperakukan oleh guru yang
mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains
sebagai lemah dan memerlukan bimbingan tambahan dalam mana-mana bahagian, sub
topik atau topik dalam mana-mana atau kesemua mata pelajaran yang dinyatakan.

Dalam melaksanakan SBT, Jawatankuasa Bantuan Murid Sekolah (JKBMS) terlebih
dahulu menyediakan data peringkat awal daripada Sistem Maklumat Murid (SMM)
untuk menyenarai dan memperakukan murid yang layak diberikan bantuan SBT (Rujuk
surat pekeliling Ikhtisas Bil.8/2006 berterikh 21 Ogos 2006).

Murid yang disenaraikan layak daripada SMM akan diperakukan oleh guru mata
pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains akan diberikan
bantuan tuisyen dalam mata pelajaran berkenaan. Bantuan tuisyen yang diberikan
bagi setiap mata pelajaran pula adalah selama empat jam sebulan, bagi tempoh
sembilan bulan dalam tahun persekolahan semasa. Bagi meningkatkan kehadiran dan
kesediaan murid untuk mengikuti kelas tuisyen SBT, mulai tahun 2007 ‘Rancangan
Makanan SBT’ di sekolah ‘pusat tuisyen’ telah disediakan.

Di bawah rancangan ini, murid SBT kecuali murid SBT yang tinggal di asrama
mendapat manfaat makanan sebelum kelas tuisyen dimulakan. (Rujuk surat siaran
Bahagian Sekolah Bil.KP(BS/HEP)9614/006Jld.5(41) berterikh 8 Mei 2007).

Peruntukan kewangan bagi penyediaan makanan ini pula adalah pada kadar
RM1.80 bagi setiap murid SBT di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan
RM2.05 bagi negeri Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Peruntukan kewangan RMSBT adalah berdasarkan asas perkiraan RM1.80 atau RM2.05
sekali makan per murid x 2 kali makan seminggu (untuk dua sesi tuisyen
seminggu) x 4 minggu sebulan x 9 bulan.

Ini bermakna peruntukan makanan bagi setiap murid SBT selama 9 bulan
berjumlah RM129.60 bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan RM147.60 bagi
negeri Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Bagi membiayai bayaran khidmat guru tuisyen pula, sekolah pusat tuisyen
akan diperuntukkan RM10.00 sebulan, bagi tempoh sembilan bulan bagi setiap
murid dan matapelajaran dalam tahun persekolahan semasa.

Berdasarkan peruntukan ini, jika seseorang murid itu layak menerima dalam
semua empat matapelajaran tuisyen, makaperuntukan yang disalurkan kepada
sekolah pusat tuisyen bagi murid tersebut adalah RM360.00 (1 murid x 4
matapelajaran x RM10.00 sebulan x 9 bulan).

Pelaksanaan kelas tuisyen di sekolah juga melibatkan kos operasi. Di bawah
SBT, peruntukan operasi tuisyen disalurkan ke sekolah ‘pusat tuisyen’ pada
kadar RM20.00 setahun bagi murid yang mengikuti tuisyen.

Peruntukan ini adalah bagi membiayai operasi tuisyen yang dijalankan oleh
sekolah termasuklah kertas dan percetakan sekolah, bahan mengajar tuisyen bagi
guru seperti kapur dan pen papan putih bagi setiap murid SBT setahun.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk penyediaan lembaran kerja atau hands out atau bahan fotokopi yang
diberikan kepada murid pada kadar RM15.00 bagi setiap murid SBT setahun.


Berdasarkan peruntukan ini, jika seseorang murid
itu layak menerima tuisyen dalam semua empat matapelajaran tuisyen, maka jumlah
peruntukan SBT yang disalurkan kepada sekolah ‘pusat tuisyen’ adalah seperti
jadual berikut:

Bil.

Peruntukan

Semenanjung

(RM)

Sarawak,
Sabah dan W.P.Labuan

(RM)

1.

Bayaran
Guru Tuisyen bagi empat matapelajaran (BM,BI,Matematik & Sains)

360.00

360.00

2.

Rancangan
Makanan SBT

129.60

147.00

3.

Kos
Operasi Tuisyen

20.00

20.00


Jumlah
Peruntukan SBT:

509.60

527.60

Sumber: Bahagian Sekolah,Jabatan Sekolah, Kementerian
Pelajaran Malaysia.

Bagi sekolah yang berenrolmen kecil, kelas SBT boleh diadakan mengikut zon
di mana murid dan guru di beberapa buah sekolah boleh dikumpulkan bersama-sama
untuk menerima tuisyen di sesebuah sekolah ‘pusat tuisyen’ yang ditetapkan oleh
PPD/PPG/PPDK.

Pelaksanaan SBT oleh sekolah juga memberikan Guru Besar budi bicara dalam
memutuskan dan menyelaraskan tentang perkara-perkara berikut di sekolah
masing-masing:

  1. Pemilihan murid.
  2. Peruntukan tuisyen yang diperlukan oleh sekolah ‘pusat
    tuisyen’.
  3. Pemilihan guru tuisyen.
  4. Pelaksanaan dan pemantauan dalaman kelas SBT.
  5. Menentukan sasaran tuisyen yang hendak dicapai.
  6. Memproses tuntutan bayaran tuisyen oleh guru tuisyen SBT
    yang dilantik bagi mengajar tuisyen di sekolah.

Bagi menentukan SBT dilaksanakan dengan lancar di sekolah, pihak sekolah
hendaklah menubuhkan Jawatankuasa SBT sekolah bertujuan membantu Guru Besar
merancang, melaksana dan memantau SBT di sekolah. Jawatankuasa SBT sekolah
boleh dianggotai oleh guru-guru dan wakil PIBG. Jawatankuasa SBT Sekolah boleh
mengambil tindakan menarik balik pemberian bantuan tuisyen jika murid tidak
mematuhi peraturan-peraturan sekolah.

Dalam khidmat tuisyen SBT ini, kaedah memperakukan murid miskin yang lemah
untuk diberikan bantuan tuisyen di bawah SBT adalah berdasarkan prestasi murid
dalam ujian bulanan, peperiksaan penggal, akhir tahun atau kaedah penaksiran
khas yang diarahkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dari semasa ke semasa.

Kelas SBT pula hendaklah dijalankan di luar jadual waktu sekolah sama ada
waktu pagi, petang, malam, hujung minggu atau semasa cuti penggal sekolah
berdasarkan perkiraan 2 sesi tuisyen seminngu, 4 minggu sebulan dan 9 bulan
dalam setahun.

Di mana setiap sesi tuisyen adalah selama 2 jam bagi setiap murid yang
layak menerima tuisyen dalam empat mata pelajaran. Tuisyen bagi murid Tahun 6
hendaklah dijadualkan tamat sebelum peperiksaan UPSR. Saiz kelas tuisyen SBT
hendaklah kecil dan bilangan murid dihadkan tidak melebihi 25 orang.

Dengan adanya skim bantuan SBT, kerajaan di suatu pihak telah pun memainkan
peranannya. Setakat mana kejayaan program SBT ini mencapai objektif dan
matlamatnya adalah bergantung kepada komitmen dan kerjasama antara pihak
sekolah, guru tuisyen dan ibubapa murid-murid yang terlibat.Peluang dan bantuan
yang diberikan oleh pihak kerajaan ini tidak harus dipersiakan terutamanya oleh
murid-murid yang sememangnya memerlukan bantuan sebegini.

- Advertisement -

spot_img

RAKAN Sarawak, more than a bulletin - SUBSCRIBE NOW!

spot_img

- Advertisement -